Benarkah Pedang Nabi Ditempa Di Kedah Tua?

Ada beberapa kali ketika membuat pembentangan, saya ditanya oleh hadirin bahawa benarkan pedang Nabi berasal dari Kedah Tua?

Sebagai makluman, dakwaan bahawa pedang Nabi yang bernama al-Qal’i (القلعى) dinisbahkan dari Kedah Tua bukan dibuat oleh orang-orang Melayu semata-mata. Dakwaan ini juga telah dibuat oleh beberapa orang penulis Arab. Termasuk penulis kitab yang masyhur tentang Pedang-pedang Nabi iaitu Muhammad Hassan at-Tuhami.

Muhammad Hassan at-Tuhami menulis dalam bukunya yang bertajuk سيوف الرسول صلى الله عليه وسلم وعدة حربه bahawa pedang Nabi yang bernama al-Qal’i dinisbah dari sebuah tempat yang terletak di timur al-Hind (India) dan tempat yang banyak lombong timah itu menghasilkan pedang al-Qal’i yang masyhur.

Dalam nota kakinya, Muhammad Hassan at-Tuhami menyatakan bahawa tempat itu kini terletak di barat Pulau Melayu (Semenanjung Malaysia) atau di timur Bengal. Dalam buku ini, Muhammad Hassan at-Tuhami jelas sekali merujuk kepada catatan pengembaraan Abu Dulaf al-Muhalhil.

Jika kita merujuk pula catatan pengembaraan Abu Dulaf al-Muhalhil yang bertajuk Ar-Risalatul Ula (sekitar 952 M), beliau jelas sekali menamakan tempat di mana pedang Al-Qal’i yang masyhur itu dihasilkan adalah di Kalah (Kedah Tua). Namun pentahqiq kitab ini iaitu Dr. Said Muraizin meletakkan Kalah sebagai Kuala Lumpur pada hari ini. Sedangkan ahli-ahli akademik seperti Paul Wheatley jelas sekali menamakan Kalah sebagai Kedah Tua.

Di samping itu, terdapat beberapa orang penulis Arab yang lain yang menyatakan bahawa pedang Nabi bernama Al-Qal’i itu dinisbah dari sebuah tempat di Syam. Ada juga yang mendakwa ia nisbah kepada tempat menempa besi di Yaman.

Namun penemuan arkeologi tapak peleburan besi di Sungai Batu telah membuktikan kebenaran catatan Abu Dulaf al-Muhalhil bahawa Kalah (Kedah Tua) adalah pusat pengeluar pedang al-Qal’i yang masyhur.

Walau bagaimanapun, apabila sesuatu yang bersangkutan dengan Nabi, saya secara peribadi mengambil sikap berhati-hati iaitu tidak meyakininya secara jazam atau hakiki. Takut-takut kita termasuk dalam hadith larangan berdusta ke atas Nabi. Tambahan pula di sana wujudnya kepelbagaian pendapat. و الله اعلم

The post Benarkah Pedang Nabi Ditempa Di Kedah Tua? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots