Kerajaan Terengganu Bakal Perkenalkan Tahfiz Mandarin Bermula Awal Tahun Depan

Kerajaan Terengganu dengan kerjasama daripada Yayasan Terengganu baru-baru ini mengumumkan usaha untuk menubuhkan sebuah Tahfiz Mandarin pertama di negeri itu yang dijangka akan mula beroperasi tahun depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, inisiatif ini dirancang setelah kerajaan mendapati ada permintaan kerana ketika ini terdapat seramai 530 orang pelajar Muslim yang menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Para pelajar di Tahfiz Mandarin itu kelak dikehendaki belajar salah satu mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia dalam bahasa Mandarin selain wajib menghafaz Al-Quran.

Ketika ini, kerja-kerja baik pulih sebuah bangunan yayasan di Dungun giat dijalankan yang bakal menempatkan operasi pusat tahfiz berkenaan.

Bagi Tahfiz Mandarin ini, pengambilan pelajar ditetapkan seramai 12 orang untuk setiap kelas.

Menurut Satiful lagi, pembukaan pusat tahfiz berkenaan tidak akan menelan belanja yang besar memandagkan ia menggunakan bangunan sedia ada selain model pembelajaran sama dengan model Imtiaz.

Dalam pada itu, Yayasan Terengganu juga akan mengadakan sesi temu duga dalam kalangan pelajar-pelajar yang sedang belajar di SJK (C) tidak lama lagi.

Katanya, usaha penubuhan Tahfiz Mandarin ini dijangka akan merancakkan lagi perkembangan aktivitu ilmu di negeri tersebut.

Sumber: Teganukita

Sumber : SiakapKeli