Model Felda Baharu: Selamatkah Tanah Dan Kepentingan Peneroka?

Penulisan
pada minggu lepas lebih menumpukan kepada usaha untuk memberikan keadilan
kepada pentadbiran dan pengurusan FELDA dibawah Tan Sri Shahrir Samad yang
mereka telah lebih awal memulakan usaha untuk memulihkankan FELDA. Motto Tan
Sri Shahrir Samad ketika itu adalah FELDA #BalikAsal dan #MuafakatKembali berjaya
meraih keyakinan warga peneroka dan menarik lebih dari 90% peneroka FELDA untuk
kembali bersama FELDA.

Maka
kali ini kita lebih memfokus kepada perincian Kertas Putih Kearah Kelestarian
FELDA iaitu Model FELDA Baharu. Diharapkan artikel kali ini sedikit sebanyak
boleh merancakkan perdebatan diantara rakyat dan sekaligus memantau pelaksanaan
kerajaan agar institusi penting Bumiputera ini terus kekal milik Bumiputera
serta tidak dipecah-pecahkan seperti yang berlaku pada Tabung Haji.

Felda Memajak Tanah Peneroka

Antara
komponen penting Kertas Putih FELDA yang dibentangkan pada 10 April 2019 tempoh
hari adalah cadangan untuk FELDA untuk memajak semua tanah-tanah peneroka FELDA
yang berkeluasan hampir 450,000 hektar. Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat
Zaharuddin juga mengesahkan di satu temuramah oleh akhbar arus perdana bahawa
FELDA akan memajak semua tanah-tanah peneroka di dalam model baharu ini dan
ianya semua akan diuruskan sepertimana ladang-ladang estet komersil diuruskan.
Kita boleh lihat United Plantation, Sime Darby dan Kuala Lumpur Kepong (KLK).

Tetapi
perlu dingatkan tanah-tanah ladang peneroka kebanyakkan kontur tanahnya tidak
seperti ladang-ladang estet swasta yang kebanyakkannya adalah yang terbaik dari
segi kontur tanah dan amalan perladangan. Tanah-Tanah mereka rata dan landau,
lalu memudahkan pokok-pokok kelapa sawit dijaga dan dituai dengan kos yang
minima. Malah penggunaan angkut rel boleh dilaksanakan kerana keadaan tanah
yang rata dan landai. Tanah-tanah peneroka pula beralun dan ada sebahagiannya
berbukit sekaligus memberikan cabaran kos bagi FELDA dan peneroka.

Sebelum
kita pergi lebih jauh, haruslah kita memahami mengapakah FELDA dan Kementerian
Hal Ehwal Ekonomi merasakan model ini adalah yang terbaik untuk FELDA dan
peneroka-penerokanya kini dan masa akan datang.

Sewaktu
di segmen Bicara Rakyat terbitan TV3, Timbalan Menteri YB Dr, Mohd Radzi Mohd
Jidin berkata diantara penyebab mengapakah kewangan FELDA lemah adalah
disebabkan kos pengeluaran sawit yang tinggi. Beliau berkata yang diperlukan
oleh pengurusan FELDA adalah ‘economic of
scale’
kerana menguruskan ladang-ladang sawit secara berpoket akan
meningkatkan kos pengurusan seperti racun, baja, tuaian dan pembersihan. Dengan
mencapai kos yang optimum, barulah keuntungan pengeluaran lebih tinggi dapat
dicapai oleh FELDA dan kemudiannya diagihkan kepada peneroka.

Antara
cabaran utama FELDA adalah untuk mengubah pemikiran peneroka-peneroka dari ‘Tuan
Tanah’ kepada ‘pekerja’ kembali. Sewaktu awal penubuhan FELDA,
peneroka-peneroka bergerak umpama pekerja dengan amalan seperti Block Roll-Call dari sebagainya. Oleh
kerana hak milik tanah yang diberikan oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri ketika itu
masih dipegang oleh FELDA, maka FELDA boleh berbuat sedemikian. Kini selepas
pusingan pertama tanaman sudah lengkap dan banyak ladang telah masuk pusingan
kedua tanam semula, ramai peneroka berkehendakkan pemilikan tanah yang
dijanjikan. Oleh yang demikian, sehingga hari ini, boleh dikatakan hampir 85%
telah menerima hak milik tanah mereka. Bolehkah FELDA mendapatkan kesemua tanah
yang dikehendaki bagi model ini?

Akta Tanah (Penempatan Berkelompok) 1960

FELDA juga terpaksa menghadapi Sekatan-Sekatan Kepentingan yang ada pada Akta Tanah (Penempatan Berkelompok) 1960 atau GSA 1960 yang jelas tidak membenarkan tanah-tanah GSA ini dipecah-pecah, dipajak mahupun dijual. Malah, GSA ini juga mengandungi syarat-syarat tanaman apa yang boleh ditanam dan dimajukan di atas tanah peneroka, Adakah ini bermakna Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan tergamak meminda GSA 1960, walhal akta ini lah antara hasil kebijaksanaan Tun Razak dan rakan-rakan untuk memastikan tanah-tanah ini kekal diwariskan dari peneroka kepada anak cucu daripada ia terlepas kerana dijual kepada pihak luar.

Kesan Kewangan kepada Felda dan Peneroka

Seimbas
apabila kita melihat gambar rajah model baharu ini, peneroka akan mendapat
pendapatan dari 4 sumber iaitu bayaran gaji, bayaran dividen koperasi, bayaran
sewaan dan peratusan keuntungan.

Selama
ini pun kebanyakkan kerja-kerja ladang yang diuruskan FELDA dan Felda
Technoplan Sdn Bhd (FTP) menggunakan khidmat-khidmat pembekal dan pekerja
koperasi peneroka di tanah rancangan. Namun tidak semua koperasi-koperasi ini
dapat memberikan hasil kerja yang sama tarafnya, walaupun panduan dan arahan
boleh dikeluarkan oleh FELDA melalui Good
Agriculture Practise (GAP)
. Selain itu, adakah peneroka-peneroka ingin
bekerja untuk koperasi peneroka? Kebanyakkannya mereka telah berumur dan tidak
mampu lagi turun ke ladang. Bagaimanakah mereka ingin beroleh gaji?

Sekiranya
FELDA ingin memajak tanah-tanah peneroka untuk jangka masa panjang (hanya
apabila dibenarkan GSA 1960) sebagai contoh 25 tahun, FELDA terpaksa
menyediakan tunai yang mencukupi untuk memastikan bayaran sewa pajakan dibayar
secara tetap dan tepat pada waktunya berdasarkan Perjanjian Pajakan. FELDA
cukup yakin apabila tanah-tanah peneroka. Ini baru ketetapan mengenai disiplin
pembayaran, belum lagi dibincangkan pun dengan para peneroka mengenai berapakah
harga yang bakal ditawarkan oleh FELDA bagi pajakan ini.

FELDA
harus menetapkan bayaran sewa bulanan pajakan tanah itu dengan harga yang
munasabah walaupun ada aliran pendapatan dari peratusan keuntungan hasil
ladang. Sekiranya FELDA menetapkan bayaran sewa bulanan pada keadaan harga
minyak sawit dunia terkini, mungkin ianya ditetapkan cukup pada kadar melepasi
garis gaji minima RM1,100. Bagaimana jika harga minyak sawit global meningkat
ke paras tinggi dan stabil, adakah peneroka kena terima RM1,100 sebulan dan
peratusan keuntungan yang belum ditetapkan.

Jangan
lupa Perjanjian Pajakan Tanah (Land Lease
Agreement
) (LLA) diantara FELDA dan FGV Holdings selama 99 tahun itu juga
hanya memberikan 15% keuntungan hasil dari 300,000 hektar tanah tanah berkenaan
kepada FELDA. Apakah peneroka sanggup melepaskan hak mereka untuk menerima 100%
hasil dari tanah-tanah mereka yang mereka nikmati kini?

Selain
itu, FELDA harus ingat bahawa cadangan pajakan ini juga bakal meningkatkan
liabiliti terkumpul yang kini mencecah RM12 billion. Mana-mana piawaian
perakaunan sudah merekodkan pajakan ini sebagai liabiliti di dalam akaun FELDA.
Sebagai contoh, pada akaun FGV Holdings, nilai liabiliti LLA mereka adalah
sekitar RM4.067 billion. Sudah pasti nilai liabiliti pajakan tanah-tanah
peneroka di dalam akaun FELDA juga tidak kurang dari jumlah ini. Jangan pula
kita dengar nanti YB Menteri dan Timbalan beliau bersungguh menjual naratif
jumlah asset keseluruhan FELDA masih tinggi iaitu RM25 billion dan FELDA masih
mampu menyerap nilai liabiliti pajakan tanah peneroka ini.

FELDA harus
berterus terang mengenai model ini dan kesannya kepada FELDA juga. Gambar rajah
di atas boleh digunakan untuk meyakinkan peneroka, tetapi FELDA yang akan
menerima kesan jangka panjangnya. FELDA perlu ada kekuatan kewangan yang kukuh
terutamanya aliran tunai yang sihat jika mahu meneruskan rancangan pajakan
tanah peneroka ini.

Rumusan Dan Penutup

Pokoknya,
sekiranya harga minyak sawit mentah berada di tahap tinggi dan stabil seperti
sebelum 9 Mei 2018, cadangan seperti pajakan tanah peneroka ini tidak akan
timbul kerana peneroka akan menikmati pendapatan bulanan secara purata RM3,000
sebulan. Kita tidak boleh menyalahkan apa yang sedang dilakukan oleh Kesatuan
Eropah (EU) kepada kelapa sawit sebagai penyebab utama harga minyak sawit
mentah dunia jatuh. Bagi pengeksport minyak sawit di Malaysia, pasaran utama
eksport adalah India, China dan Pakistan.

Bukan
berniat untuk mengkritik dasar dan polisi Kerajaan sekarang, tetapi kita tidak
boleh nafikan beberapa keputusan domestik menyebabkan negara-negara pengimport
terbesar minyak sawit ini beralih ke Indonesia bagi mendapatkan bekalan minyak
sawit mereka walaupun minyak sawit oleh pengeluar Malaysia mempunyai lebih
banyak persijilan RSPO dan MSPO. Apabila Kerajaan merujuk kembali hubungan baik
dengan negara-negara ini, barulah permintaan terhadap minyak sawit kita
dipulihkan dengan beberapa syarat seperti saiz eksport yang dibenarkan.

Berkenaan
dengan cadangan pajakan ini, FELDA harus juga menyedari akan cabaran-cabaran
yang dinyatakan atau bakal berbangkit nanti. Ingatlah bahawa peneroka-peneroka
FELDA kini adalah tuan-tuan tanah. Sudah lama mereka berbakti pada tanah-tanah
mereka dan mereka amat menghargai 10 ekar dan suku ekar yang mereka terima.
Disinilah mereka membina keluarga dan mencipta legasi bagi anak-anak cucu
mereka. Kebanyakkan dari mereka adalah orang Bumiputera Melayu dan FELDA harus
mengambil kira soal melindungi asset orang-orang Melayu agar ianya tidak hilang
pada masa hadapan di tangan orang luar.

The post Model Felda Baharu: Selamatkah Tanah Dan Kepentingan Peneroka? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots