“Kenapa Rambut Gugur Lepas Bersalin,” Jururawat Ini Jawab 5 Persoalan Tentang Rambut Sebelum Dan Selepas Bersalin

Semua orang tahu bahawa rambut adalah mahkota kecantikan bagi seseorang wanita, biarpun bertudung atau tidak. Tetapi ramai pula yang masih keliru dengan pembersihan rambut selepas bersalin.

Perasan atau tidak bahawa sewaktu anda mengandung, rambut anda sangat tebal daripada biasa tetapi selepas sahaja bersalin, rambut luruh dan semakin nipis. Purata rambut normal luruh hanya 100-150 helai rambut tetapi rambut luruh ketika pantang boleh mencapai sehingga 500 helai. Makanya, jika terdapat sedikit masalah berkaitan rambut, adatlah kan kalau kita mencari jalan penyelesaiannya.

Jururawat ini kongsikan beberapa soalan berkaitan rambut yang popular ditanyakan oleh para ibu yang mengandung kepada doktor atau jururawat.

1. Boleh tak saya mengubah gaya rambut atau mewarnakannya semasa hamil?

Seeloknya elakkan dari melakukan perkara demikian kerana dikhuatiri bahan kimia dari pewarna atau ubatan pengubah gaya rambut itu akan meresap ke dalam pori-pori dan kulit kepala ibu-ibu hamil.

2. Benarkah selama kita hamil, ibu hamil tidak boleh potong rambut kerana bimbang bayi akan cacat?

Tidak ada kaitan antara potong rambut dengan bayi yang dikandung. Ia adalah mitos. Ibu hamil boleh sahaja kalau mahu potong rambut. Baru nampak segar dan kemas kan.

3. Boleh atau tidak ibu-ibu baru melahirkan mencuci rambut. Benarkah ada larangan dari melakukan perkara demikian selama 40 hari?

Ia tidak benar. Sebenarnya, seeloknya ibu yang dalam berpantang terus menjaga kesihatan rambut. Sebenarnya larangan itu adalah bagi ibu-ibu yang mengalami komplikasi selepas melahirkan contohnya mudah pitam kerana dikhuatiri akan jatuh pengsan di dalam tandas. Cuba bayangkan kalau tak dibasuh selama 40 hari? Bau peluh yang terperangkap tu silap-silap akan buat kita pengsan.

4. Boleh tak kita mandi selepas bersalin. Tak masuk angin ke dalam badan? Bila waktu yang sesuai untuk mandi?

Selepas melahirkan, kebiasannya badan kita akan cepat melekit dan berbau. Yelah, dah kita guna tenaga kan semasa meneran dan mengeluarkan baby. Memang berpeluhlah semasa meneran tu.

Dengan mandi, badan kita akan berasa segar. Logiknya, badan yang melekit tu akan merimaskan kita kan. Jika tak dibersihkan sisa-sisa peluh atau ketuban bimbang pula kuman mudah menjangkiti kita. Mandi sahaja dengan air suam.

Jika ada larangan bahawa jangan mandi kerap-kerap semasa berpantang, ikutkan sahaja, tetapi sekurang-kurang mandilah sekali sehari dan basuhlah rambut selang 2/3 hari sekali. Saya sendiri mandi dan membasuh rambut saya kerana mahukan keselesaan dan kesegaran. Kemudian, keringkan rambut dengan sempurna.

5. Benarkah air liur yang disembur oleh bayi akan menyebabkan rambut banyak gugur selepas bersalin?

Rambut gugur selepas bersalin adalah normal. Ini disebabkan oleh penurunan hormon estrogen (yang mana semasa hamil ia telah meningkat dan menyebabkan rambut akan tumbuh dengan banyak). Jadi air liur bayi bukan penyebab kepada keguguran rambut. Mitos mengatakan bahawa dengan mandi/membasuh rambut selepas melahirkan akan menjemput angin meroyan adalah salah.

Meroyan bukanlah disebabkan oleh angin yang datang dan duduk di dalam badan. Tetapi lebih kepada masalah perubahan hormon; masalah peribadi seperti kurang pengalaman dalam menangani bayi bagi ibu yang kali pertama melahirkan selain kurang sokongan emosi dari suami dan keluarga dalam menjaga bayi.

Jadi janganlah bersifat pengotor sehingga tidak membasuh rambut, mungkin ini yang tidak sihat untuk anda dan anak bahkan orang sekeliling.

Sumber: Bel Nawhen

Sumber : SiakapKeli