Misteri Kisah Seram Rumah Agam Agnes Keith, Sandakan

SEKIRANYA
anda melakukan kunjungan ke Bandar Sandakan adalah tidak lengkap sekiranya tidak
berkunjung ke Rumah Agam Agnes Keith yang terletak di Jalan Istana, Sandakan,
Sabah.  Rumah ini pernah menjadi kediaman
Agnes Newton Keith, penulis buku tersohor dari Amerika Syarikat bersama suami
beliau, Harry Keith dan anaknya, George Keith. Rumah ini satu masa dahulu
pernah terbiar dan hampir musnah sebelum Jabatan Muzium Negara Sabah mengambil
inisiatif memulihara rumah ini pada tahun 2001. Satu proses pemuliharaan yang
masih lagi mengekalkan struktur asal agar ianya tidak jauh berbeza berbanding
yang dahulu.

Sekiranya anda meneliti senarai individu yang pernah mendiami rumah berkenaan, terdapat lebih daripada 26 orang yang pernah menetap di situ, namun anehnya, mengapa nama Agnes Keith yang diangkat sebagai penghormatan dalam menamakan rumah berkenaan? Ada cerita mengenainya yang mungkin anda tidak mengetahui.

Agnes Newton Keith dilahirkan pada 6 Julai 1901 di Illinois, Amerika Syarikat. Beliau cenderung menulis cerita-cerita fiksyen sejak di usia remaja lagi dan ada antara hasil karya beliau dimuatkan dalam beberapa majalah dan akhbar terkenal pada masa itu termasuk Reader’s Digest.  Minat beliau pada bidang penulisan menuntunnya menjadi wartawan di ‘The San Francisco Examiner’ pada tahun 1924 sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian dari University of California, Berkeley.

Pada tahun 1934, Agnes Keith mengahwini Harry Keith, Pegawai British yang bertugas sebagai Pegawai Konservasi Hutan di Sandakan. Asalnya mereka mendiami rumah bujang yang disediakan untuk Harry namun kemudian mereka memilih untuk berpindah ke sebuah rumah agam di atas bukit yang jauh lebih selesa.

Penghuni
sebelum mereka adalah M M Clark, Agnes Keith dan suaminya merupakan penghuni
kedua di rumah berkenaan. Di rumah inilah Agnes Keith menghasilkan buku
berjudul ‘Land Below The Wind’ pada tahun 1939 yang menceritakan serba sedikit
mengenai kehidupan masyarakat tempatan yang kaya dengan rencah adat resam serta
keindahan semulajadi yang terdapat di Sabah. Buku ini pernah mengalahkan 600
buah buku yang lain dan berjaya memenangi Anugerah Buku Bukan Fiksyen terbaik
yang dianjurkan ‘Atlantic Monthly’.

Agnes Keith
turut diangkat sebagai duta kepada Borneo Utara apabila menjadi inspirasi
kepada gelaran ‘Bumi Di Bawah Bayu’ yang masih disandang negeri Sabah sehingga
ke hari ini. Apabila perang dunia kedua meletus, Agnes Keith dan keluarganya
pulang ke Amerika Syarikat. Apabila perang berakhir, mereka kembali ke Borneo
Utara pada tahun 1946 namun malangnya rumah yang mereka diami musnah teruk
sepanjang perang berlangsung.

Rumah agam
berkenaan dibina kembali untuk didiami keluarga Keith dan mendapat nama sebagai
‘Newlands’. Sekembalinya Keith sekeluarga ke rumah berkenaan, beliau
menghasilkan sebuah buku berjudul ‘Three Came Home’ pada tahun 1946 dan ‘White
Man Returns pada tahun 1951. Pada tahun 1952, Agnes Keith sekeluarga kembali ke
Amerika Syarikat buat selama-lamanya namun jasa dan sumbangan beliau tetap
menjadi ingatan dan dikenang masyarakat Sabah. 
Dek kerana itulah pihak Jabatan Muzium Negara Sabah mengangkat nama
beliau dan memberikan penghormatan rumah agam berkenaan diberikan nama bersempena
dengan nama Agnes Keith.

Sepanjang
mendiami rumah agam diatas bukit, Agnes Keith dipetik sebagai senantiasa berada
dalam keadaan gembira. Adalah menjadi satu idaman bagi beliau untuk mendiami
rumah berkenaan dan sangat bahagia sepanjang menjadi penghuninya. Namun tak lupa,
Agnes Keith turut meninggalkan sebuah catatan seram sebagai perkongsian
sepanjang menjadi penghuni di rumah berkenaan.

“Saya tidak
percaya pada hantu. Tetapi setiap hari saya melihat seorang wanita tinggi
lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun
ke jalan seorang diri, berdiri di hujung jalan dan menoleh ke belakang.” Begitu
antara catatan bertulis yang ditinggalkan Agnes Keith sebelum pulang ke Amerika
Syarikat.

Bukan hanya
Agnes Keith, kejadian aneh dan misteri turut dialami beberapa orang penghuni
yang pernah mendiami rumah berkenaan selepas itu. Rosemary, isteri kepada G L
Carson yang menetap di rumah berkenaan selama 12 tahun bermula dari tahun 1955
sehingga tahun 1967 turut mempunyai perkongsian misteri saat ditinggalkan
seorang diri ketika suaminya bertugas di Kota Kinabalu.

Menurutnya, dia terbangun ketika waktu Subuh, mendengar pintu bilik di hujung rumah tertutup dan terbuka beberapa kali. Tidak lama setelah itu beliau mendengar tapak kaki berjalan menuju ke arah biliknya. Apabila membuka mata, dia melihat lembaga seorang wanita berdiri di hujung katilnya, beliau tidak tahu apa yang berlaku setelah itu kerana pengsan akibat ketakutan.

Lain pula
halnya dengan pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles menghuni rumah
berkenaan bermula tahun 1967 sehingga tahun 1968. Pada satu hari ketika
melakukan tugas beliau tak semena-mena beliau terserempak dengan lembaga
seorang wanita yang sedang berdiri di atas tangga.

Sejauh mana
kebenaran cerita-cerita mereka ini? Wallahualam. Apapun banyak lagi
cerita-cerita seram yang diabadikan dalam bentuk himpunan-himpunan makalah yang
turut disediakan kepada para pengunjung yang mengunjungi rumah agam Agnes
Keith. Bukan sahaja himpunan cerita seram malah para pengunjung akan
diperlihatkan pada beberapa foto milik ahli keluarga Agnes Keith beserta
beberapa keterangan serta barang-barang antik yang menjadi sebahagian perhiasan
di rumah berkenaan.

-SAM-

#saiasayangsabah

RUJUKAN:

  • History of Sandakan. https://www.malaysia-traveller.com/agnes-keith-house.html
  • Harian Metro, Kisah Misteri Penuh Sejarah, Rumah Agam Agnes Keith. https://www.hmetro.com.my/…/232…/kisah-misteri-penuh-sejarah

The post Misteri Kisah Seram Rumah Agam Agnes Keith, Sandakan appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots