Yasuke – Pahlawan Samurai Berketurunan Afrika

Selalunya
bila sebut pasal samurai, kita tahu ini antara legasi kepahlawanan negara Jepun
hari ini. Permainan senjata terutama pedang katana yang menjadi senjata pilihan
mereka di medan pertempuran dan peranan mereka menyokong kempen figura seperti
Oda Nobunaga dan Ieyasu Tokugawa menjadikan mereka legenda. Tetapi tidak ramai
tahu satu ketika dalam sejarah Jepun, ada satu pahlawan samurai berketurunan
Afrika yang menjadi sebahagian daripada jentera perang Nobunaga. Orang yang
saya maksudkan ialah Yasuke yang turut menjadi inspirasi kepada watak anime
Afro Samurai.

Tidak
diketahui asal-usul lelaki ini sekaligus mengakibatkan sejarawan berspekulasi
asal-usul Yasuke. Ada yang berpandangan beliau berasal dari Mozambique
berdasarkan teori Fujita Midori. Midori berpandangan sedemikian kerana orang
Afrika pertama yang tiba di Jepun pada tahun 1546 ialah orang Mozambique yang
berkhidmat sebagai krew atau hamba kepada peneroka Portugis Jorge Alvarez. Ada
pula yang berpandangan Yasuke sebenarnya berdarah Yao melalui namanya Yao yang
ditambah dengan perkataan suke yang dianggap sinonim dengan nama orang lelaki
(Yao-suke).

Sementara
Thomas Lockley dari Universiti Nihon pula berpandangan beliau sebenarnya
berdarah Habsyah dengan nama asalnya ialah Yisake/Isaque (Bahasa Portugis untuk
nama Isaac). Yasufe juga merupakan nama keluarga yang biasa didengar di negara
itu. Ada juga yang berpandangan Yasuke sebenarnya berdarah orang Dinka dari
Sudan Selatan. Teori ini dicadangkan kerana melihat ciri fizikal beliau yang
lebih tinggi dan lebih gelap berbanding orang Ethiopia dan Eritrea. Dan jika
ini benar, Yasuke berkemungkinan telah menjadi hamba sejak dari kecil lagi. Ini
kerana bagi orang Dinka, mereka perlu melukis corak pada muka mereka tetapi
melihat kepada rekod sejarahnya semasa di Jepun, perkara itu tidak berlaku
kepada Yasuke.

Yang
pasti, nama Yasuke mula muncul pada tahun 1579 apabila beliau tiba di Jepun
sebagai khadam mubaligh Jesuit berdarah Itali Alessandro Valignano yang ketika
itu memainkan peranan sebagai pemeriksa misi Jesuit di Hindia Timur. Beliau
menemani Valignano semasa tiba di ibu negara Matahari Terbit itu pada Mac 1581
dan penampilannya menarik perhatian penduduk tempatan yang berkunjung ke gereja
Jesuit yang diuruskan kumpulan mubaligh ketika itu. Dan sudah tentu, penampilan
unik Yasuke menjadi buah mulut orang ramai dan menarik perhatian Nobunaga.

Semasa
diperkenalkan di istana, beliau memerintahkan Yasuke dibogelkan dari paras
pinggang bagi menguji sama ada warna kulitnya itu memang asli atau sengaja diwarnakan
dengan warna hitam. Selepas berpuas hati bahawa penampilan fizikal Yasuke
memang asli, Nobunaga memerintahkan mereka diberi sejumlah besar wang emas
sebagai hadiah. Peristiwa ini direkodkan bukan saja dalam surat dan laporan
mubaligh Luis Frois tetapi juga dalam riwayat Shincho Koki yang berkisar
tentang riwayat hidup Nobunaga. Pada 14 Mei, Yasuke mengikut kumpulan mubaligh
Jesuit ke wilayah Echizen yang menyaksikan mereka bertemu dengan ramai tokoh
seperti Hashiba Hidekatsu dan Shibata Katsuie sebelum pulang pada 30 Mei. Tidak
diketahui bagaimana beliau menjadi sebahagian daripada pasukan Nobunaga tetapi
tidak mustahil daimyo yang menjadi penggerak usaha penyatuan Jepun itu membeli
atau memaksa Valignano menyerahkan Yasuke kepadanya.

Yasuke
menjadi antara penasihat yang dipercayai Nobunaga kerana fasih bertutur dalam
Bahasa Jepun dan Portugis (berkemungkinan diajar oleh Valignano) sehingga
diangkat martabatnya sebagai samurai, satu gelaran yang hanya boleh diwarisi
oleh keluarga kelas kepahlawanan itu. Beliau diberi sebuah kediaman, sebilah
pedang upacara katana yang pendek dan diberi tugas sebagai pengangkat senjata.
Salah satu pertempuran yang menyaksikan kelibat Yasuke ialah Pertempuran
Tenmokuzan, kempen terakhir Nobunaga dan sekutunya Ieyasu Tokugawa ke atas puak
Takeda. Selepas pertempuran berakhir, mereka memeriksa wilayah-wilayah yang
pernah menjadi hak milik puak Takeda dan di sinilah, Tokugawa melihat Yasuke
buat kali pertama. Menurut orang kanan Tokugawa Matsudaira Ietada, beliau
mempunyai ketinggian 188 cm dan mempunyai kulit berwarna hitam seperti arang.

Tetapi
langit tidak selalu cerah untuk Yasuke. Pada tahun 1582, Nobunaga dikhianati
oleh angkatan Akechi Mitsuhide semasa berada di sebuah kuil di Kyoto. Ini
memaksa beliau membunuh diri dengan kaedah seppuku. Selepas ketiadaan Nobunaga,
Yasuke menyertai angkatan perang putera Nobunaga, Oda Nobutada yang cuba
mengembalikan kekuatan puak Oda di Istana Nijo. Tetapi angkatan perang Nobutada
juga berjaya ditewaskan dengan putera sulung tokoh penggerak penyatuan Jepun
itu juga membunuh diri dengan kaedah seppuku. Tidak seperti tuannya, Yasuke
tidak melakukan perkara sama selepas ditawan. Dan ini sudah cukup untuk
mendorong Mitsuhide membebaskan Yasuke kerana merasakan dirinya seekor haiwan
liar dan bukan juga berdarah Jepun. Selepas dibebaskan, Yasuke dikatakan kembali
menyertai kumpulan mubaligh Jesuit di Kyoto dan namanya tidak lagi disebut
dalam lembaran sejarah.

Sebelum
Yasuke, wujud seorang lagi figura berdarah Afrika yang mendapat penghormatan
sebagai samurai. Orang yang dimaksudkan ialah Sakanouye No Tamuramaro yang
hidup semasa tempoh Heian (794 – 1185 Masihi) iaitu dari 758 hingga 811 Masihi
sebagai pengawal istana Maharaja Kammu yang memerintah antara 781 hingga 806
Masihi. Beliau dikatakan mengetuai angkatan perang maharaja yang dihantar
memerangi puak Ainu dan dikatakan mempunyai kulit berwarna hitam. Tetapi itu tidak
mengesahkan sama ada sudah wujud orang Afrika di Jepun sebelum abad ke-16.
Namun yang pasti, sejarah perhubungan Jepun dengan bahagian lain dunia mungkin
lebih kompleks berbanding apa yang kita sangkakan.

Sebut
pasal Yasuke, mungkin ketika ini namanya tidak memasuki budaya arus perdana
popular. Tetapi tidak mustahil ia menjadi inspirasi artis dan penulis manga
Takashi Okuzaki yang memperkenalkan watak Afro Samurai yang disuarakan oleh
pelakon legenda Samuel L. Jackson yang diterbitkan studio Gonzo pada tahun
2007. Dan kini, giliran Hollywood mengadaptasi kisah ini ke layar perak melalui
studio Metro-Goldwyn-Mayer (MGM). Filem biografi ini akan menampilkan
protagonis Black Panther Chadwick Boseman sebagai Yasuke dengan lakon layar
disediakan pencipta bersama Narcos Doug Miro.

SUMBER

1.
Strom, Caleb. (2017). The Amazing Story of Yasuke: The Forgotten African
Samurai. Ancient-Origins.net. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/amazing-story-yasuke-forgotten-african-samurai-007554

2.
Bartsch, Eric. (2019). Black Panther’s Chadwick Boseman Cast as Lead in Samurai
Film Yasuke. CBR.com. https://www.cbr.com/chadwick-boseman-samurai-film-yasuke/

The post Yasuke – Pahlawan Samurai Berketurunan Afrika appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots