Analisis Trailer Spiderman: Far From Home

Ketika
ini, dunia dilanda demam Avengers: Endgame di mana ada yang masih menangis
(menyampah den terpaksa hulur tisu satu kotak) melihat pengorbanan Tony
Stark/Iron Man semasa melawan Thanos. Endgame sudah mengutip kutipan pecah
panggung $2.1 bilion (RM8.7 bilion) dan memecah pelbagai rekod termasuk filem
kutipan tertinggi tahun 2019 dan filem kedua paling laris sepanjang zaman. Dan
tidak lama lagi, giliran Spider-Man: Far From Home pula menjengah panggung pada
Julai nanti yang berperanan sebagai penutup fasa ketiga MCU.

Sebut
pasal Far From Home, berikut trailer rasmi filem ini. Sedikit ingatan, jika
anda belum menonton Endgame, sila tutup mata. Tetapi jika sudah, ini sedikit
kisah yang akan menjengah panggung Julai ini:

Sudah
tonton? Bagus. Dan saya tahu anda menggaru kepala tentang beberapa persoalan
yang ditimbulkan dalam filem berkenaan. Antara persoalan yang timbul ialah:

1.
Legasi Stark sebagai Iron Man. Bagi yang mengikuti Captain America: Civil War,
Spider-Man: Homecoming, Avengers: Infinity War dan Endgame, pasti sudah sedia
maklum hubungan rapat beliau dengan Peter Parker. Dan selepas Endgame, ramai
orang termasuk Parker amat terasa dengan kehilangan mentornya itu. Tetapi di
sinilah Far From Home mengemukakan soalan ini: mampukah Parker meneruskan
legasi Stark sebagai Iron Man baru? Tidak mustahil legasi ini diteruskan kerana
jika diamati dialog bekas pembantu dan pemandu Stark, Happy Hogan, lelaki yang
digelar Leonardo da Vinci moden itu tidak akan menggunakan sarung tangan
Infinitinya jika belum merasakan sesiapa boleh mengambil alih legasi Iron Man.
Dengan petikan jari itu, ia menandakan Stark tahu bahawa Parker sudah bersedia
meneruskan legasinya. Dari segi komersial pula, watak Spider-Man masih lagi
menjadi watak kegilaan ramai dan dengan meletakkan Parker sebagai tunjang baru
MCU (hak pemilikan masih di tangan Sony), ia sebenarnya indikator kepada
generasi baru adiwira pasca-Endgame.

2.
Doctor Strange (2016) bertanggungjawab memperkenalkan dunia realiti alternatif
(alternate universe) dan unsur magis dalam MCU sementara Endgame pula
memperkenalkan konsep pengembaraan masa (time travelling). Tetapi siapa sangka
dengan petikan jari sarung tangan Infiniti, ia juga mengoyakkan fabrik realiti
yang menjadikan MCU sebagai alam pelbagai realiti (multiverse). Far From Home
mengemukakan persoalan bagaimana ia boleh berlaku. Adakah ia disebabkan oleh ‘perjalanan’
Steve Rogers/Captain America semasa menghantar pulang batu-batu Infiniti? Atau
ia tercetus daripada petikan jari Thanos (Infinity War) atau Dr Bruce Banner
dan Stark (Endgame)? Yang pasti, situasi ini turut memaksa Nick Fury memanggil
Parker untuk melihat masalah ini dan mencari penyelesaian sama seperti
mentornya. Pengenalan alam pelbagai realiti ini juga boleh membantu
memperkenalkan watak-watak Marvel yang berjaya dibawa pulang Marvel Studios
seperti X-Men dan Fantastic Four.

3.
Mysterio sentiasa ditonjolkan dalam komik sebagai antara antagonis yang
memusuhi Spider-Man. Tetapi seperti dinyatakan dalam trailer, watak yang
dilakonkan Jake Gyllenhaal ini mendakwa dirinya datang dari dunia alternatif
semasa diperkenalkan Fury. Banyak persoalan menyelubungi Quentin Beck sama ada
dia benar-benar seorang yang baik bertaraf adiwira atau sebenarnya seorang
antagonis yang berpura-pura sebagai sekutu? Melihat kepada pelbagai petunjuk
yang disediakan, nampak banyak ke arah sebagai antagonis tetapi tidak mustahil
itu hanya satu lagi helah pihak studio untuk merahsiakan plot sebenar Far From
Home untuk tayangan Julai nanti.

4.
Apa perasaan anda bila orang yang anda minat tahu identiti adiwira anda? Ini
persoalan yang dihadapi Parker bila MJ, gadis yang diminatinya mendedahkan dia
tahu identitinya sebagai Spider-Man. Persoalannya, apakah itu sebenarnya yang
cuba ditanyakan MJ atau satu lagi helah studio bagi memastikan peminat tidak
sabar berkunjung ke panggung Julai nanti? Tetapi jika benar MJ tahu seperti mana
Ned, ini akan mengundang satu lagi komplikasi dalam kehidupan Parker. Tetapi
pada masa sama, ia menjadikan dirinya sama seperti watak Mary Jane Watson
(cinta hati Parker dalam komik) dan orang yang boleh menjadi penyimpan rahsia
dirinya.

SUMBER

S.
Lealos, Shawn. (2019). Spider-Man: Far From Home – Every Major Spoiler in the
New Trailer. CBR.com. https://www.cbr.com/spider-man-far-from-home-trailer-every-major-spoiler/

The post Analisis Trailer Spiderman: Far From Home appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots