Bahasa Melayu Ialah Bahasa Islam

Mutakhir ini kecoh di alam maya berkenaan proses
Arabisasi yang melanda anak muda Melayu Malaysia. Perkara ini sedikit sebanyak
telah menyebabkan perbalahan dan pertelagahan di antara pro-Arabisasi,
pro-Melayu dan juga pro-pembaratan. Ada yang menyanggah pada apa-apa perubahan
manakala ada yang menyanjung perubahan.

Ramai juga yang menyatakan dengan rasa takut akan
fenomena ini sebagai petanda betapa menyemaraknya proses Islamisasi yang
berlaku di Malaysia. Malah ada yang gatal mulut mengatakan ini merupakan proses
talibanisasi yang akan membawa kepada pembentukkan negara Taliban. Sesungguhnya
kenyataan-kenyataan ini menunjukkan kekeliruan yang nyata terhadap makna setiap
istilah itu.

Ramai yang menganggap bahawa Islamisasi itu cukuplah
sekadar dengan menempelkan nama Islam ke atas sesuatu nama seperti bank Islam,
busana Islam, dan lain-lain atau memakai yang zahir sudah cukup walaupun secara
batinnya mungkin berlawanan atau mengelirukan seperti pemakaian busana Arab
sudah cukup sebagai piawai taraf Islamik seseorang.

Sesungguhnya penulis lebih suka menganjurkan makna
Islamisasi yang ditakrif oleh Syed Muhammad Naquib Al Attas yakni;

“…pembebasan
manusia pertamanya sekali daripada sihir, tahyul, animisme, tradisi bersifat
bangsa dan kebangsaan, dan akhirnya daripada kawalan sekular ke atas akal
(reason) dan bahasanya”

Di sini kita dapat melihat bahawa Islamisasi teramat
berkait-rapat dan erat dengan perubahan dalam sistem bahasa yang digunakan.
Perubahan yang dimaksudkan bukanlah hanya perubahan istilah-istilah yang
terjadi dalam proses Arabisasi seperti penggantian kosa-kata saya/aku kepada
‘ana’ atau proses pembaratan seperti ‘I’. Akan tetapi ianya melibatkan kunci
kata penting yang menayangkan cara kita berfikir dan pandangan alam penutur
tersebut yang dipanggil ‘Weltanschauung’ atau
‘Worldview’.

Sekarang setelah kita memahami makna yang sebenar dan
hakiki, barulah kita meninjau perubahan-perubahan yang berlaku dalam bahasa
Melayu.

Sebenarnya Bahasa Melayu telah melalui pelbagai perubahan dan pengaruh. Pengaruh dari segi kemasukan daftar kata bahasa asing hinggalah kepada perubahan sistem tulisan. Namun, hingga kini pengaruh yang paling menyerlah dan menusuk ke kalbu ialah pengaruh Islamisasi terhadap Bahasa Melayu yang kekal hingga ke hari ini.

Malah pengaruh ini telah meletakkan bahasa Melayu, mengikut takrif SM Naquib Al Attas, sebagai salah satu rumpun bahasa Islam. Bahasa Islam menurut Prof Al Attas ialah bahasa baru yang terbentuk hasil pertembungan dengan agama Islam sehingga ianya berubah sepenuhnya zahir dan batin. Bahasa-bahasa lain yang telah melalui proses ini ialah bahasa Arab pasca turunnya wahyu, bahasa Turki Uthmaniah, bahasa Urdu, bahasa Parsi, bahasa Berber dan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu kuno yang pada asalnya ditulis dengan
aksara Sanskrit dan Pali telah berubah secara zahir dan batin dengan penyerapan
tulisan Arab diubah-suai menjadi tulisan Jawi. Bahasa Melayu Baru inilah yang
telah menyebar-luaskan pengaruhnya di setiap ceruk alam Melayu ini. Kekuatan
yang dimilikinya setelah memeluk ruh baru telah menjadikannya berdaya saing dan
berjaya menembusi daerah baru sehingga menjadi bahasa antarabangsa.

Kita harus akui bahawa sesungguhnya dan sememangnya
terdapat pengaruh Hindhu-Buddha di dalam bahasa Melayu namun saat ini tiada
bukti yang kukuh mengatakan bahawa bahasa Melayu Kuno itu berdiri setaraf
bahasa Melayu walaupun telah mencapai taraf lingua franca.

Pengaruh Islamisasi itu lebih menyerlah dapat dikesan
dengan huruf-huruf Jawi yang merupakan pinjaman daripada tulisan Arab yang kemudiannya
diubah-suaikan dengan ditambah lagi lima huruf baru. Lima huruf baru ini ialah
huruf cha, nga, pa, ga dan nya. Kesemua huruf tersebut merupakan kearifan
tempatan yang telah mengubah-suai huruf-huruf Arab supaya menepati lidah
penutur bahasa Melayu.

Kemasukkan kosa kata Arab ke dalam kamus bahasa Melayu
menunjukkan proses Islamisasi bahasa Melayu. Proses ini ditandai dengan
kosa-kata utama agama Islam ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu seperti;

Allah, Nabi, ilmu,
adab, sahabat, ulama, insan, akhirat, fikir dan adil.

Islamisasi juga berlaku dengan pengubahan rohani, makna
dan semantik perkataan yang masih mengekalkan ejaan zahir yang asalnya seperti
yang berlaku pada istilah pra-Islam seperti;

Tuhan, sembahyang,
puasa, syurga, neraka, dosa, pahala

Selanjutnya penukaran gelaran bagi ketua negara daripada
Seri Maharaja, Seri Pikrama, dan Seri Dewa Raja kepada Sultan menunjukkan
betapa eratnya hubungan di antara ketamadunan alam Melayu dengan ketamadunan
Arab-Islam. Malah eratnya Islamisasi ini juga menerjah ke setiap rumah orang
Melayu dengan pengambilan nama hari Arab iaitu Isnin (Ithnain), Selasa
(Thalathah), Rabu, Khamis (Khomis), Jumaat (Jumu’ah), Sabtu (Sabtu) dan Ahad.

Perpindahan punca ilmu juga turut berlaku iaitu daripada
Lautan Hindi dan Benua India kepada Timur Tengah dengan dapat disaksikan
melalui penghasilan manuskrip ilmu beraksarakan Jawi secara meluas dan sangat
banyak judulnya meliputi pelbagai cabang-cabang ilmu; di mana belasan ribu
tersimpan kemas di luar alam Melayu seperti di benua Eropah, Amerika dan negara
Rusia.

Namun begitu, penulis ingin mengingatkan kepada pembaca
bahawa sesungguhnya proses Islamisasi yang berlaku semenjak ianya bertapak di
Samudera-Pasai tidaklah merujuk kepada proses Arabisasi yang berlaku semenjak
dua menjak ini. Proses Islamisasi ini lebih perlahan tetapi mendalam bukan
hanya laksana pelitur menutup pokok dan jika dikikis sedikit akan nampak
batinnya yang berbeza.

Islamisasi bukanlah hanya melambakkan kosa-kata bahasa
Arab atau Inggeris ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu secara berterabur dan
semborono seperti proses Arabisasi dan Pembaratan namun ianya jugak mengubah
semantik dan makna kosa kata pra-Islam supaya lebih cocok dengan Islam. Penyerapan
kosa kata Arab-Islam ini telah melalui proses pemeribumian sehinggakan
penuturnya sendiri tidak merasa janggal dan sesuai dengan lidah Melayu.

Proses Islamisasi yang berlaku melalui dua cara ini yang
dimulai dengan perpindahan istilah penting dalam pandangan alam Islam ke dalam
bahasa Melayu secara menyeluruh zahir dan batin. Kemudian diikuti Islamisasi
istilah bahasa Melayu pra-Islam yang mengukuhkan lagi Islamisasi ke atas bahasa
Melayu. Ini penting dalam memastikan agar kekeliruan istilah agama Islam tidak
berlaku dengan penyerapan istilah-istilah tersebut secara mutlak.

Kini, tulisan Rumi mula menggantikan sepenuhnya tulisan Jawi dan ini secara tidak langsung telah merencatkan proses Islamisasi yang telah berlangsung selama 700 tahun di alam Melayu. Ini diganti dengan proses yang baru iaitu pensekularan bahasa Melayu dengan berbondong-bondong kosa kata penting peradaban Barat masuk ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu yang tidak mampu ditapis lagi setelah benteng tulisan Jawi itu runtuh.

Malah bahasa Melayu yang telah mencapai taraf yang lebih global apabila berkongsi status sebagai rumpun bahasa Islam telah diceraikan daripada status itu dan kembali sebagai bahasa ‘daerah’ dan hanya mampu berhubung sejauh lautan hindi sahaja. Bahasa Melayu Jawi yang banyak diungkapkan secara prosa yang saintifik berbanding puisi telah kembali kepada nilai estetik sahaja akibat perumian tersebut. Puisi lebih dipentingkan kini berbanding prosa dan ini merupakan pemerosotan nilai kualiti bahasa tersebut.

Kesimpulannya di sini adalah agar pensejarahan bahasa
Melayu Baru haruslah menitik-beratkan pengaruh Islam dan pemusatan bahasa
Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera bukannya pengaruh Hindu-Buddha
melalui pusatnya di Pulau Jawa dan Bali. Kita harus insaf bahawa Islamisasi
bahasa Melayu telah meningkatkan taraf bahasa kita ke tahap yang lebih tinggi
dari segi ilmiahnya mahupun dari segi nilai estetik.

Renungilah ungkapan di bawah ini;

Tuhan
yang Maha Esa!

Sesungguhnya pernyataan di atas ialah bahasa
Melayu asli
dan bukti kukuh bahawa bahasa Melayu mampu menjadi
bahasa Islam dan menunjukkan Islamisasi ke atas bahasa Melayu telah lengkap.

RUJUKAN:

  1. Wan Daud, Wan Mohd Nor, Budaya Ilmu Satu Penjelasan. Pustaka Nasional Pte Ltd 2007.
  2. Wan Daud, Wan Mohd Nor, Peranan Universiti. PengIslaman Ilmu Semasa, Penafibaratan dan Penafijajahan. Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban (CASIS) dan Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) 2017.
  3. Wan Daud, Wan Mohd Nor, Al-Attas: Penyambung Tradisi Pembaharu Tulen. MPH Group Publishing Sdn Bhd 2012.
  4. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam And Secularism. International Institute of Islamic Thought And Civilisation (ISTAC) 1993.

The post Bahasa Melayu Ialah Bahasa Islam appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots