Hipotesis Bagaimana Sarawak Mendapat Nama

SARAWAK
Bumi Kenyalang merupakan salah satu daripada empat wilayah pembentuk Negara
Malaysia yang kita kenali sejak di tahun 1963 lagi.  Ianya adalah wilayah terbesar di dalam
Malaysia dan hampir sama keluasannya dengan Negeri-negeri di Tanah Melayu.  Sarawak merupakan jiran kepada tiga lagi
wilayah pembentuk Pulau Borneo iaitu Sabah (Malaysia), Kalimantan (Republik
Indonesia) dan Negara Brunei Darussalam.

Biarpun
Sarawak yang gah dengan hasil maksumnya seperti minyak dan gas, hasil-hasil
hutan serta kepelbagaian kaum baik dari segi tradisi dan budaya sehingga
sekarang masih lagi belum ada satu jawapan yang tuntas bagaimana Sarawak itu
mendapat namanya.  Namun begitu sehingga
ke hari ini bagi rakyat Sarawak telah didodoikan dengan satu cerita lisan yang
diperturunkan dari satu generasi yakni Sarawak mendapat nama daripada satu
perkataan iaitu “serah pada awak”.

Alkisahnya
hal ini berlaku ketika Tuan Rajah James Brooke baharu sahaja menapak di bumi
Sarawak yang mana berjaya membantu Pengiran Bendahara Muda Hashim mengawal
pemberontakan masyarakat tempatan ke atas Pengiran Indera Mahkota yang
merupakan “cheteria” lantikan Kesultanan Brunei pada masa itu.  Akibat daripada bantuan sudah diberikan maka
janji harus ditunaikan dan dari situlah dikatakan Pengiran Bendahara Muda
Hashim telah “menyerahkan” Sarawak kepada James Brooke. 

Ironinya
jika kita merujuk kepada bahasa tempatan masyarakat Sarawak itu sendiri,
perkataan “serah pada awak” langsung tidak menunjukkan bahasa mahupun dialek
tempatan baik dari kaum Melayu, Iban, Bidayuh dan Kaum Orang Ulu.  “Serah pada awak” lebih hampir merujuk kepada
penggunaan bahasa atau dialek di negeri-negeri Tanah Melayu malah jika ke
negara Brunei turut tidak mempunyai bahasa/dialek yang sedemikian rupa.  Jadi sekiranya mempercayai bahawasanya nama
Sarawak itu adalah jelmaan daripada kependekkan “Serah Pada Awak” menjadi
“Sarawak” maka ianya harus boleh dipersoalkan. 

Berbicara
dari konteks itu, maka ada baiknya sekira kita mencari jawapan yang pasti
berasaskan pembuktian dokumen sejarah yang lepas bagaimana Sarawak itu mendapat
nama.  Kerana mana mungkin nama Sarawak
hanya sebegitu ringkas dan amat mudah sedangkan sejarah wilayah-wilayah di
Borneo sudahpun bermula berabad lamanya jauh sebelum James Brooke mendatangi
Sarawak lagi. 

  •  “Sawaku” di dalam Kitab Nagarakretagama Kurun Ke-14 Masihi

Pulau
Borneo jika merujuk kepada sejarah kunonya pernah ditakluki oleh Kerajaan
Majapahit.  Kitab Nagarakretagama ini
merupakan karya Dang Acarya Nadendra, seorang pendeta Buddha zaman Majapahit
yang menggunakan nama pena Mpu Prapanca ditulis pada tahun 1365 merupakan
antara naskah bernilai bagi membicarakan keagungan pemerintahan Hayam Wuruk,
pemimpin teragung Kerajaan Majapahit. Di dalam kitab inilah ia turut
menceritakan negeri atau wilayah yang membayar ufti kepada Kerajaan Majapahit
suatu waktu dahulu. 

Untuk
konteks ini jika kita menggodek teks dari Kitab Nagarakretagama yang ditulis di
dalam aksara Jawa Kuno turut ada menceritakan pertalian secara terus dengan
Borneo dan ianya adalah seperti berikut:

“Kadaɳdanan i landa len ri samdaɳ tirm tan kasah, ri
sedu buruneɳ ri kalka saluduɳ ri solot / pasir, baritw i sawaku muwah ri tabaluɳ
ri tuñjuɳ kute, lawan ri malano makapramukha ta ri tañjuɳpur”

Terjemahan:

“Kadandangan,
Landa Samadang dan Tirem tak terlupakan Sedu, Barune (ng), Kalka, Saludung,
Solot dan juga Pasir, Barito, Sawaku, Tabalung, ikut juga Tanjung Kutei, Malano
tetap yang terpenting di pulau Tanjungpura”

Di
dalam teks ini yang dimaksudkan Pulau Tanjungpura itu adalah Pulau Borneo dan
negeri-negeri di Pulau Borneo yang menghantar ufti kepada Kerajaan Majapahit
adalah seperti Kadandangan, Landa Samadang, Sedu, Baruneng (Brunei), Kalka,
Saludung, Solot, Pasir, Barito, Sawaku, Tabalung, Tanjung Kutai dan
Malano.  Apa yang menarikanya melalui
godekan sejarah dari seorang pakar sastera Jawa berasal dari Belanda iaitu yang
bernama Theodore Pigeaud menyatakan bahawa Sedu itu merujuk kepada Sadong,
Kalka adalah Kalaka dan Malano itu adalah Melanau yang mana merupakan
kerajaan-kerajaan kecil yang terletak di muara Sungai Rejang, Sarawak suatu
waktu dahulu. 

Dalam
pada itu, Theodore turut menyatakan bahawa “Sawaku” pula adalah merujuk kepada
Pulau Sebuku iaitu sebuah pulau yang terletak di Kabupaten Kotabaru, Kalimantan
Selatan yang kita kenali sekarang.  Pada
zaman Majapahit, “Sawaku” itu sendiri dirujuk sebagai wilayah jajahan yang kaya
dengan mineral atau bijih besi. Untuk itu jangan pula kita melupakan bahawa
wilayah Sarawak misalnya seperti Kerajaan Negeri Santubong yang terkenal
sebagai antara bandar pelabuhan kuno pengeksport bijih dan sebagainya malah
sejarah membuktikan bahawa terdapat penemuan iron-slag di kawasan tersebut
turut mungkin disebut sebagai “Sawaku” itu sendiri.

Jika
difikirkan mungkin juga Sarawak itu dinamakan berasaskan perkataan “Sawaku”
kerana ianya masih mempunyai persamaan.

  •  Sarawak Darulhana Dan Sultan Tengah Kurun
    Ke-16 Masihi

Bukan satu
sejarah yang diolah bahawasanya wilayah Sarawak dahulukala adalah wilayah
Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. 
Dan kemunculan sejarah Sarawak Darulhana bermula tatkala Sultan Muhammad
Hassan yang beristeri empat serta mempunyai beberapa orang putera yang perkasa
di dalam sejarah diraja Brunei suatu waktu dahulu.  Antara putera-putera baginda adalah Pengiran
Muda Abdul Jalilul Akbar, Pengiran Muda Tengah, Pengiran Muda Muhammad Ali dan
Pengiran Shahbandar Maharaja Laila.

Semasa Sultan
Muhamad Hassan memerintah baginda telah berusaha untuk mendapatkan kembali
jajahan Brunei yang telah melepaskan diri mereka termasuk Sulu. Setelah Sulu
dimiliki semula, Sultan Muhammad Shah telah mengangkat puteranya Pengiran
Shahbandar Maharaja Lela menjadi Sultan Sulu. Selepas kemangkatan baginda,
takhta kerajaan Brunei telah diwariskan kepada putera sulung baginda iaitu
Sultan Jalilul Akhbar, Sultan Brunei yang ke-10.

Ketika inilah
Pengiran Muda Tengah yang merupakan putera kedua Sultan Muhamad Hassan telah
memberikan kiasan bahasa kepada kakanda bahawa dia juga layak menjadi
pemerintah kepada Kerajaan Brunei. Sultan Jalilul Akhbar yang faham akan
kehendak adindanya telah memerintahkan agar Pengiran Muda Tengah menjadi
pemerintah kepada Sarawak. Dan cadangan ini dipersetujui oleh Pengiran Muda
Tengah maka berangkatlah Pengiran Muda Tengah ke Sarawak pada tahun 1599 Masihi
dengan membawa seramai 1,000 orang hulubalang bagi membina lapau dan istana.

Pengiran Muda
Tengah ditabalkan menjadi Sultan Ibrahim Ali Omar Shah dan menamakan negeri
kecilnya sebagai Sarawak Darulhana yang mana Darulhana itu bermaksud suasana
yang tenang dan mendamaikan.  Selepas itu
baginda meninggalkan Sarawak Darulhana untuk mengunjungi negara-negara lain
sehinggalah baginda dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri ketika di Batu
Buaya iaitu di Santubong.  Dek kerana
pada masa pemakaman itu air sedang surut dan akan memakan masa yang lama maka
adalah mustahil untuk membawa jenazah baginda menghilir Sungai Sarawak maka
kesemua pembesar negeri telah bersetuju untuk memakamkan baginda di kaki Gunung
Santubong. 

Wilayah
Sarawak Darulhana tidaklah sebesar Sarawak Bumi Kenyalang sekarang dan ianya
merujuk hanya pada kawasan pesisiran Sungai Sarawak sahaja.  Namun teori nama Sarawak ini juga tidak boleh
dipandang sipi-sipi kerana ada sejarahnya. 

  • “Serewa”,
    Nama Tempatan Antimoni Kurun Ke 18 Masihi Masihi

Di
dalam buku tulisan Chan Poh Fatt yang berjudul “Legends And History of Sarawak”
terbitan tahun 1999 ada menyatakan bahawa bukanlah satu hal yang aneh di
Sarawak sekiranya nama tempat turut merujuk kepada nama sungai-sungai yang
berdekatan.  Di dalam konteks ini
penulisan beliau menyatakan bahawa Sungai Sarawak mendapat nama perkataan
“Serewa” yang merupakan dialek Melayu Sarawak dahulukala yakni merujuk kepada
sumber galian yang ada di kawasan Sungai Sarawak.

Pendapat
Chang Pat Foh ini berdasarkan kepada sejarah penemuan antimoni di Siniawan, Bau
yang berlaku pada tahun 1823.  Pada masa
itu perlombongan antimoni masih lagi dilakukan secara tradisional oleh
masyarakat Melayu Sarawak dan bidayuh misalnya. 
Disinilah juga suatu waktu dahulu Pengiran Indera Mahkota sebagai wakil
Kerajaan Kesultanan Brunei mula mendominasi perlombongan antimoni secara
tradisional. 

Di
dalam bukunya, beliau menyatakan;

“Since Sarawak river flows
through Siniawan, it is likely that people in the olden days referred the river
which flows through antimony areas as ‘Serawa’ river. Even when Sir James
Brooke wrote home while contemplating his navigational plans in 1839, he was
aware of the antimony ore in Sarawak. He wrote, ‘My intention is first to visit
Sarawak- a river whence they get antimony ore..’”

Selain itu jangan kita pernah lupa
bahawa jika kita merujuk kepada peta-peta kuno Borneo turut ada menyatakan
perkataan “Cerava” bagi wilayah Sarawak. 
Jika kita membuat perbandingan “serewa” itu mungkin slanga penduduk
Melayu Sarawak tetapi jika bagi bangsa Eropah ianya akan disebut sebagai
“Cerava”.  Dan di dalam catatan
pengembara bangsa Eropah juga turut menyebut bahawa “Cerava” itu sendiri adalah
merujuk kepada kekayaan galian pada sesuatu tempat di wilayah Sarawak suatu
waktu dahulu.   

“Serewa”
mengikut lidah penutur Melayu Sarawak dan “Cerava” menurut slanga bangsa Eropah
mungkin akhirnya menjadi Sarawak apabila dipertuturkan secara berulang-ulang.

  •   Surat-surat Brooke dan Sarawak Gazette Kurun
    Ke 19 dan 20 Masihi

Jika
kita menggodek sejarah zaman Brooke pula yakni semasa pemerintahan Tuan Rajah
James Brooke, ibukota bernama Kuching yang kita kenali sekarang adalah
sebenarnya Sarawak suatu waktu dahulu. Ini kerana pembuka sebenar “Kuching” itu
adalah Pengiran Indera Mahkota yang menjadi Gabenor Sarawak yang pertama semasa
pemerintahan Kerajaan Brunei Darussalam. 

Di
dalam surat peribadi James Brooke kepada ibunya di England bertarikh 14hb
September 1841 dibawah nota kaki menyatakan dengan mengkhusus seperti berikut:

““Kuchin” was the native name
of Sarawak.” -JB-   

Walau bagaimanapun untuk
surat peribadi beliau bertarikh 26hb Mac 1842 pula, James Brooke sudah tidak
lagi menggunakan perkataan “Kuchin” pada suratnya sebaliknya “Sarawak” secara
total.   

Dan pada ketika Tuan Rajah Sir Charles Brooke memerintah pada ketika
itulah melalui Kuching diiktiraf sebagai ibunegeri dan nama negeri adalah
Sarawak.  Ini kerana beliau mahukan ada
perbezaan antara ibukota dan wilayah-wilayah Sarawak yang semakin berkembang
sehingga ke bumi Lawas.  Ini diperakui di
dalam Sarawak Gazette No. 47 bertarikh 16hb Ogos 1972 yang menyatakannya secara
mengkhusus tindakan beliau berbuat sebegitu rupa. 

Kesimpulannya, Sarawak yang kita kenali mendapat nama itu sebenarnya
bukanlah semata-mata atas cerita lisan sahaja. 
Ada sebab musabab berdasarkan dokumen dan sejarah kuno bagaimana ia
dinamakan sedemikian rupa.

-HB-

#KamekSayangSarawak 

Nota: Teaser artikel merupakan peta Sarawak yang pertama direkod di dalam rekod Eropah. (Brooke Heritage & Trust)

RUJUKAN:

1. Buku Legends And History of Sarawak by Chang Pat Foh terbitan 1999
2. Sarawak Gazette No. 47 16th August 1972 – Sarawak E-Gazette Pustaka Negeri
3. From Po-li to Rajah Brooke: Culture, Power and Contest For Sarawak by John Henry Walker, International and Political Studies, University of New South Wales, Canberra, Australia (PDF). 
4. A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs, 1839-1908 by S. Baring-Gould and C. A. Bamfylde. https://archive.org/stream/historyofsarawak00bari/historyofsarawak00bari_djvu.txt
5. Kesultan Brunei Darussalam. http://www.kerajaannusantara.com/id/brunei-darussalam/sejarah
6. Kitab Negarakertagama -Sejarah Asli dan Terjemahannya. https://oediku.wordpress.com/2017/08/17/kitab-negarakertagama-naskah-asli-dan-terjemahannya/

The post Hipotesis Bagaimana Sarawak Mendapat Nama appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots