Remaja Bunuh Diri Selepas Buat Undian Di Instagram

Baru-baru
ini, tular di laman berita Astro Awani apabila seorang remaja perempuan
membunuh diri dengan cara terjun daripada rumah kedainya yang berada di tingkat
3. Sebelum perbuatan tersebut, mangsa dikatakan telah memuat naik satu pol
undian, di mana akhirnya, 69 peratus daripada pengundi bersetuju untuk dia
membunuh diri.

Penyiasatan
mendapati remaja ini berada dalam kemurungan sejak daripada perkahwinan bapanya
di mana setelah bapa tirinya berkahwin dan jarang balik ke rumahnya yang
terletak di Kuching, Sarawak. Jadi, apakah yang boleh kita pelajari daripada
kejadian sebegini?

Kita sedia
maklum bahawa kes Major Depressive Disorder (MDD) sedang meningkat dari hari ke
hari. Dalam satu kajian yang dibuat oleh Dr
Philip George, iaitu seorang pakar psikiatri dari International Medical University
(IMU), 40% daripada rakyat Malaysia akan terdedah kepada salah satu jenis
penyakit mental dalam hayat mereka. Angka ini amat memeranjatkan kerana
mengikut statistik yang dibuat di Amerika Syarikat, 20% daripada rakyatnya
menghidapi MDD.

Balik kepada berita asal, selain daripada MDD, kita juga dapati ada satu
lagi golongan baru yang muncul beberapa tahun lepas, iaitu seseorang yang
berpura-pura sakit mental di mana, golongan ini berpura-pura bagi mendapatkan
perhatian orang ramai (Attention-Seeker). Kehadiran golongan ini meningkatkan
rasa benci dan stigma terhadap mereka, yang mana pesakit MDD juga turut merasai
tempiasnya.

Muncul satu persoalan yang sering ditanyakan kepada saya menerusi
messenger, iaitu “Bagaimanakah kita nak membezakan sama ada seseorang itu
attention-seeker atau betul-betul mengalami MDD?”. Soalan ini amat payah untuk
saya berikan jawapan kerana terdapat satu garisan halus membezakan kedua-dua
golongan ini. Ada yang berkata terminologi MDD ini terlalu sering digunakan
(overuse) sehingga ke tahap terlalu ramai orang mengaku mengalami masalah MDD
ini.

Dulu, terdapat satu kertas kajian yang membincangkan mengenai perkara
ini, di mana mengikut mereka, pesakit MDD ini sendiri akan mengalami turun-naik
berat badan yang mendadak, tidak produktif dalam pekerjaan mereka serta
kebanyakkan daripada mereka mempunyai kecenderungan untuk bersendiri serta
tidak menghantar apa-apa di media sosial khususnya mengenai keadaan mereka yang
sedang depress. Tambahan, pesakit MDD tidak akan mendedahkan sewenang-wenangnya
tentang masalah mereka ini.

Pesakit MDD secara keseluruhannya berasa malu, rendah diri serta tidak
mahu orang lain tahu mengenai penyakitnya kerana mereka takutkan stigma dan
tuduhan daripada orang lain, manakala mereka dari golongan attention-seeker ini
pula kalau boleh inginkan semua orang tahu terhadap dirinya yang kononnya
mengalami MDD. Bukan itu sahaja, pesakit MDD biasanya tahu mereka mempunyai
masalah mental ini setelah didiagnos oleh pakar psikiatri manakala
attention-seeker ini tidak pernah berjumpa dengan mana-mana doktor psikiatri,
sebaliknya mendiagnos diri mereka sendiri.

Faktor-faktor di atas merupakan beberapa faktor yang membezakan pesakit
MDD dengan mereka yang dahagakan perhatian. Namun, kes ini menjadi lebih rumit
dan kerana ada beberapa kes yang kebanyakkan daripada kita menyangka bahawa si
dia ini hanya mahukan perhatian, sebaliknya, si dia akhirnya maut akibat
perbuatan membunuh diri, sama seperti kes melibatkan remaja ini.

Dalam kajian terbaru, yang disiarkan di beberapa journal terkemuka
mendedahkan bahawa penyakit MDD ini amat rumit dan menjadi sesuatu yang
mustahil bagi kita membezakannya. Ini kerana, kajian terbaru mendapati bahawa
sifat attention-seeker ini (attention seeking behaviour) merupakan tanda-tanda
awal seseorang itu untuk mendapat MDD.

Sebelum ini, apabila seseorang remaja, mahupun mereka yang berada di
golongan persekolahan mahupun universiti mengatakan bahawa mereka sedang
depress, dan ingin mati, kebanyakkan masyarakat hanya memandang remeh kepada
mereka. Masyarakat selalu bertanggapan bahawa apabila mereka ini menghantar
atau memuatnaik penulisan di internet tentang keadaan mereka yang sedang
depress dan mahu membunuh diri, perbuatan ini hanyalah bertujuan untuk membuat
lawak jenaka mahupun inginkan perhatian.

Walhal, si pemuat naik status itu betul-betul berada di dalam keadaan
yang terdesak dan mahukan pertolongan, cuma mereka tidak tahu bagaimana caranya
untuk mendapatkan pertolongan daripada orang ramai. Sebenarnya, kes bunuh diri
melalui media sosial dan yang lebih teruk, membunuh diri sambil memuat naik
video live terutama di negara-negara lain sudah banyak kali berlaku. Kesemua
kes ini didorong oleh komen-komen dan undian orang ramai yang ingin melihat
mereka betul-betul bunuh diri.

Zalim kan? Tetapi tidak. Perbuatan orang ramai ini hanyalah kerana
persepsi dan pemahaman mereka yang selalu bertanggapan bahawa ini hanyalah
jenaka semata-mata. Orang ramai kurang pendedahan serta kurang membaca dan
mempercayai bahawa isu MDD yang mengakibatkan bunuh diri ini tidak serius.
Ditambah lagi dengan masyarakat kita yang mana kebanyakkannya islam, dan
beragama, di mana saya kira mana-mana agama sekalipun tidak membenarkan
penganutnya membunuh diri.

Kesimpulannya, jika timbul kes-kes sebegini, kita seharusnya mendorong
si pelaku untuk tidak melakukan perkara sedemikian. Dan yang kedua, dari mata
kita dan pengalaman kita sendiri, kita tidak akan mampu membezakan kedua-dua
golongan ini. Untuk berada di tempat yang lebih selamat, kita seharusnya
menganggap mana-mana individu yang mula memuat naik perkara-perkara mengenai
bunuh diri ini adalah serius. Sekiranya kita mengenali mangsa yang pada suatu
hari memuat naik undian, penulisan atau video, kita boleh menghubungi talian
kecemasan bagi mengelakkan berlakunya kes-kes sebegini.

The post Remaja Bunuh Diri Selepas Buat Undian Di Instagram appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots