Netizen Undi ‘Mati’ Di Media Sosial Boleh Didakwa Bersubahat, Membunuh Tanpa Niat

Baru-baru ini, Malaysia digemparkan dengan kejadian bunuh diri seorang remaja perempuan selepas menerima undian yang menyokong hasrat hatinya untuk berbuat demikian.

Remaja perempuan yang berumur 16 tahun bertindak sebegitu selepas menerima undian sebanyak 69% daripada netizen yang mengundinya ‘mati’ dengan terjun bangunan.

Susulan kejadian tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter rasmi mereka.

Menerusi kenyataan itu, dinyatakan bahawa menjadi kesalahan jika terdapat individu yang bersubahat dalam peristiwa tersebut sehingga menyebabkan kematian. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan penjara 20 tahun dan denda.

Selain itu, pihak MCMC juga menasihati agar pengguna media sosial untuk melaporkan jika terdapat kandungan yang tidak sepatutnya dimuat naik ke dalam platform media sosial.

Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih peka terhadap penyebaran gambar-gambar yang melibatkan mangsa. Perkara ini bagi menjaga privasi dan perasaan ahli keluarga yang terlibat.

Sumber: MCMC (Official)

Sumber : SiakapKeli