Balai Bomba Pertama Di Sarawak 1917

BANTUAN
mereka sentiasa dituntut di dalam apa jua keadaan kita baik semasa kemalangan
di jalanraya, kes orang hilang di hutan, baik semasa adanya yang mati lemas
telahan lagi ketika berlaku kebakaran. 
Boleh dikatakan apa jua yang berlaku di darat, laut, sungai malah udara
semuanya menuntut pengorbanan mereka. 
Itulah anggota bomba dan penyelamat yang menjadi antara pasukan
penyelamat yang begitu dekat di hati masyarakat kerana tugasan mereka yang
pelbagai. 

Berbicara
tentang anggota bomba dan penyelamat mungkin ramai warga Sarawak tertanya-tanya
bilakah sebenarnya Sarawak sudahpun mempunyai anggota bomba dan balai bombanya
tersendiri.  Di dalam sejarah Sarawak
sebenarnya, tugasan bomba malah balai bomba yang teratur telahpun ada ketika
zaman Brooke lagi atau untuk lebih mengkhusus ketika Tuan Rajah Charles Brooke
memerintah Sarawak dari tahun 1868 hingga 1917. 

Dan di dalam
sejarah berdirinya Sarawak juga menyaksikan ketika zaman pemerintahan Tuan
Rajah Charles Brooke inilah Sarawak khususnya ibukota Kuching telah bertukar
daripada hanya satu perkampungan biasa menjadi bandar yang besar yakni dengan
terbina banyak bangunan-bangunan binaan zaman Renaissance di Kuching pada waktu
itu.  Akibat daripada itu juga, beliau
sendiri memahami mengapa satu balai bomba bersama anggotanya harus ada di
Kuching pada waktu itu.  Lebih-lebih lagi
tragedi Kuching terbakar pada tahun 1885 yang menyaksikan hampir separuh
daripada pusat komersial Kuching hangus musnah dek kerana ketiadaan anggota
bomba yang terlatih di Kuching pada masa itu.

Belajar
daripada kesilapan yang lepas itu menyaksikan Tuan Rajah Charles Brooke telah
bersetuju untuk membina satu balai bomba di Kuching pada tahun 1917.  Sekaligus balai bomba yang terletak di Jalan
Gartak, Kuching itu merupakan balai bomba yang pertama di dalam sejarah
Sarawak. 

Mungkin ramai
yang tertanya-tanya dimanakah Jalan Gartak di Kuching kerana buat masa sekarang
ianya sudah tiada lagi di dalam peta Kuching itu sendiri.  Untuk pengetahuan semua, Jalan Gartak yang
dimaksudkan adalah yang kita gelar “Open Air Market” atau berhadapan dengan
pusat membeli belah Electra House yang kita kenali sekarang.  Dinamakan Jalan Gartak kerana suatu waktu
dahulu ada satu aliran sungai di kawasan tersebut sebelum ianya ditimbus pada
tahun 1907 untuk pembangunan.  “Gartak”
pula adalah merujuk kepada titi kayu di dalam bahasa Melayu Sarawak kerana di
sungai tersebut pernah ada satu titi kayu yang merentagi sungai bagi memudahkan
orang kampung mengambil air bersih untuk kegunaan harian mereka. 

Serentak
dengan pembinaan balai bomba di Jalan Gartak itu juga menyaksikan Brooke
membeli sebuah kenderaan bomba yang menggunakan kuasa arang batu dari England
sekitar tahun 1917. Turut dinyatakan balai bomba tersebut hanya mempunyai
sekitar lapan ke 10 orang petugas bomba untuk menjaga Kuching daripada sebarang
kebakaran pada waktu itu.  Kebanyakan
daripada petugas bomba adalah anak-anak tempatan Kuching yang dilatih sendiri
mengenal dunia bomba daripada penjawat awam Eropah yang bekerja dengan Kerajaan
Sarawak dibawah Brooke pada waktu itu. 

Perlulah
diingatkan pada zaman dahulu sudah tentu komunikasi tidaklah semaju
sekarang.  Tiada nama-nama jalan yang
mengkhusus untuk ke lokasi kebakaran dan hanya berpandukan nama-nama kampung
sahaja.  Jadi disamping membina balai
bomba untuk kegunaan ahli bomba tinggal dan pejabat serta menempatkan peralatan
kebakaran, di sebelah balai bomba turut didirikan satu bangunan tinggi atau
“look up tower”.  Bangunan tinggi ini
akan dipanjat oleh anggota bomba untuk melihat sendiri lokasi kebakaran
sekiranya berlaku kecemasan.  Pada waktu
itu sudah tentu tidaklah banyak bangunan-bangunan tinggi yang dibina di Kuching
seperti sekarang. 

Dari tahun
1917, balai bomba Jalan Gartak telah menabur bakti untuk kesejahteraan rakyat
Sarawak sehinggalah Sarawak dibawah Koloni Mahkota Sarawak British.  Sekitar tahun 1950an, balai bomba Jalan
Gartak dirobohkan setelah Balai Bomba Jalan Padungan siap. Sebagai mengenang
sejarahnya “look up tower” sengaja 
ditinggalkan bagi menjadi saksi bisu sejarah balai bomba pertama di
Sarawak.  Sehingga sekarang ianya masih
wujud di kawasan Open Air Market. 

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

RUJUKAN:

  • Kuching Heritage Trails – Brooke Legacy
  • The Star, 19
    March 2007 – Enlivening Brooke Legacy
  • Borneo Oracle
    – Tower Market & Open Air Market

The post Balai Bomba Pertama Di Sarawak 1917 appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots