Haji Mat Shafie: Pelopor Pengajian Pondok Di Kampung Losong

Institusi pondok merupakan antara institusi
pendidikan yang telah lama bertapak di Malaysia. Sistem pendidikan pondok adalah
antara sistem pendidikan tradisional dan terawal di Tanah Melayu, dan masih
kekal wujud sehingga ke hari ini. Secara asasnya, tarikh secara tepat di mana
bermulanya institusi pengajian pondok ini tidaklah dapat diketahui dengan tepat
cuma difahamkan bahawa institusi tersebut telah mula diperkenalkan serentak
dengan kedatangan Islam ke Nusantara ini.

Institusi pengajian pondok di Malaysia ini
banyak dipelopori serta diterajui oleh tokoh-tokoh ulama yang terkenal dalam
sejarah. Di negeri Terengganu sendiri terdapat ramai ulama yang telah mengasaskan
institusi pengajian pondok, dengan setiap daerah dan kawasan di Terengganu ini
mempunyai sistem pondoknya yang tersendiri suatu masa dahulu. Antara ulama yang
terkenal dengan pengajian pondok mereka berdasarkan kawasan penempatan mereka
ialah Syeikh Abdul Malek (Tok Pulau Manis) yang berpusat di Pulau Manis, Tokku
Paloh yang bertempat di Kampung Paloh, Syeikh Abdul Kadir yang berpusat di
Kampung Bukit Bayas, Tok Syeikh Duyung yang berpusat di Pulau Duyung Kecil
serta Haji Wan Abdul Latif bin Abdul Kadir yang bertapak di Jerteh. 

Selain daripada nama-nama ulama yang terkenal
ini, terdapat seorang lagi ulama Terengganu yang telah membangunkan institusi
pondok dan seterusnya mengubah imej kawasan penempatan beliau sebagai sebuah
kawasan penyebaran dakwah dan ilmu pada sekitar pertengahan abad ke-20. Ulama
yang dimaksudkan ini ialah Tuan Guru Haji Muhammad Shafie, yang telah
mengasaskan Pondok Kampung Losong, Kuala Terengganu. Kampung di mana beliau
menubuhkan insititusi pondok ini dahulunya dikenali sebagai Kampung Nyior
Kembar, akhirnya telah diubah namanya menjadi Kampung Losong Haji Mat Shafie
bagi memperingati akan jasanya dalam menyebarkan ajaran Islam kepada penduduk
setempat.

Sejarah awal

Haji Muhammad Shafie sebenarnya bukanlah anak
jati Terengganu, namun beliau telah memilih negeri ini sebagai tempat untuk
menuntut ilmu, dan seterusnya menyampaikan kembali segala ilmu yang dimilikinya
buat rakyat di sini. Haji Muhammad Shafie telah dilahirkan pada tahun 1279
Hijrah (1862) di negeri Kedah dan keluarga beliau sememangnya terkenal sebagai
sebuah keluarga yang taat dan berpegang teguh kepada ajaran agama Islam. Beliau
berketurunan daripada Syeikh Ahmad Zabidi Al-Yamani, iaitu seorang ulama
terkenal dari Hadramaut. Bapanya bernama Haji Muhammad Amin, iaitu anak kepada
Tuk Subuh (Abdul Rahman) yang merupakan anak kepada Syeikh Ahmad Zabidi. Haji
Muhammad Shafie mempunyai enam orang adik-beradik dan kebanyakan daripada
mereka menuntut ilmu dan menyebarkan dakwah di negeri Kedah.

Haji Muhammad Shafie telah mendapat pendidikan
awalnya di Kedah sebelum berhijrah ke Terengganu. Pada waktu beliau menuntut
ilmu di Kedah, beliau telah mendapat khabar bahawa terdapat ramai alim ulama di
Terengganu dan Haji Muhammad Shafie ingin merantau bagi mencari dan
memperluaskan lagi ilmu pengetahuannya dalam agama Islam bersama ulama-ulama
tersebut. Beliau telah meminta keizinan daripada ibunya untuk keluar berhijrah
ke Terengganu meskipun simpanan yang dimilikinya ketika terlalu sedikit bagi
menampung kehidupannya di rantau orang.

Pada waktu itu usia Haji Muhammad Shafie
adalah sekitar 20-an dan semangatnya begitu kuat untuk mempelajari sebanyak
mungkin ilmu pengetahuan dari serata tempat. Haji Muhammad Shafie yang ketika
itu telah kehilangan bapanya sebenarnya turut berasa sedih untuk meninggalkan
ibu tercinta, namun demi tuntutan ilmu serta semangat untuk berdakwah, maka
beliau meneruskan juga hasratnya dan turut dipersetujui oleh ibunya. Dengan
hanya berbekalkan $24 (pada masa itu), Haji Muhammad Shafie telah bertolak ke
Terengganu dengan ditemani oleh seorang abangnya, iaitu Haji Tahir.

Pengajian dan Pendidikan di Terengganu

Kedatangan beliau ke Terengganu pada sekitar
tahun 1303 Hijrah telah disambut dengan baik oleh penduduk setempat. Beliau
juga mendapat bantuan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada mereka
semua. Pada peringkat awal, Haji Muhammad Shafie telah memulakan pengajiannya
dengan Tuan Guru Haji Abdul Hamid di Pondok Terusan. Sewaktu di pondok ini,
beliau telah dijadikan anak angkat oleh kebanyakan penduduk di situ kerana
kejujurannya serta kerajinannya untuk membantu para pelajar yang lain
terutamanya yang datang dari luar Terengganu. Hasil kerajinan, ketekunan dan
kejujurannya telah menjadikan Haji Muhammad Shafie seorang pelajar yang mudah
untuk menerima ilmu dan disayangi oleh teman seperjuangan, para guru serta
penduduk setempat.

Setelah itu, Haji Muhammad Shafie berguru
pula dengan Haji Wan Abdul Latif di Kampung Losong Haji Long. Sewaktu berada di
sinilah beliau telah menambahkan lagi ilmu pengetahuannya dan akhirnya membuka
sekolah pondoknya sendiri di Kampung Nyior Kembar. Selepas pembukaan sekolah
pondok itu, Haji Muhammad Shafie telah berangkat ke Mekah selama dua tahun,
yang mana pemergiannya ini bertujuan untuk mendalami dengan lebih lanjut ilmu
agama Islam daripada para ulama di Mekah. Sekembalinya ke Terengganu, beliau
meneruskan kembali pengajarannya di pondok sebelum kembali ke Mekah sekali lagi
untuk menuntut ilmu.

Meskipun telah membuka sekolah pondoknya
sendiri, Haji Muhammad Shafie masih lagi tidak jemu menuntut ilmu daripada
ulama-ulama yang lain bagi menambahkan pengetahuannya. Beliau turut berguru
dengan Tokku Paloh serta beberapa orang guru yang lain. Kebolehan dan
pengetahuan Haji Muhammad Shafie meliputi banyak cabang ilmu, di mana beliau
berkebolehan dalam Bahasa Arab, ilmu nahu, saraf, tafsir dan hadis.

Pengasas Pondok Losong

Penubuhan institusi pondok di Kampung Losong
oleh Haji Muhammad Shafie pada tahun 1309 Hijrah (1891) ini bermula berikutan
daripada permintaan daripada Tuan Dalam atau Syed Mustafa, iaitu adik kepada
Tokku Paloh yang  inginkan penduduk di
situ mempelajari ilmu agama Islam. Syed Mustafa telah mewakafkan sebuah rumah
yang dijadikan sebagai tempat pengajaran dan pembelajaran dan akhirnya
dikembangkan menjadi sebuah masjid. Apabila ia semakin berkembang, banyak
pomdok-pondon telah didirikan di sekeliling masjid sebagai tempat mengajar.

Para pelajar dari serata kawasan dan negeri
mula datang ke Kampung Losong untuk mempelajari ilmu agama. Para pelajar ini
termasuklah dari Acheh, Patani, Kedah dan Kelantan. Institusi pengajian pondok
di Kampung Losong ini telah mencapai kemuncak kemajuannya pada sekitar tahun
1350 Hijrah (1930).

Corak dan konsep yang diamalkan oleh
institusi pondok Haji Muhammad Shafie ini sama seperti sekolah agama
tradisional yang lain di mana tiada sebarang syarat khas untuk memasukinya. Ini
menjadikan ramai pelajar daripada pelbagai peringkat umur dan golongan datang
untuk mempelajari ilmu di pondok tersebut. Tidak seperti pengajian pondok yang
lain, Pondok Losong ini tidak mempunyai pondok untuk wanita di mana institusi
ini hanya dikhaskan untuk pelajar lelaki sahaja. Namun, golongan wanita masih
berpeluang untuk menuntut ilmu melalui hari-hari di mana kuliah agama diadakan
iaitu pada hari Rabu dan Jumaat.

Kurikulum dan sukatan pelajaran yang
diajarkan di institusi pondok ini meliputi banyak cabang. Antara bidang ilmu
yang diajarkan ialah fikah, tauhid, Bahasa Arab, hadis dan tafsir. Malah setiap
bidang ilmu ini mempunyai kitab-kitabnya yang tersendiri. Para pelajar yang
telah selesai mengikuti pengajiannya di pondok ini mempunyai peluang untuk
melanjutkan pelajaran ke luar negeri seperti di Mekah dan India.

Peribadi Haji Muhammad Shafie

Haji Muhammad Shafie dikenali dalam kalangan
para pelajarnya sebagai seorang guru yang mesra namun tegas dalam mengajar.
Beliau juga seorang yang warak, sabar dan mudah memaafkan orang lain. Dalam
membentuk disiplin buat para pelajarnya, beliau menggunakan majlis perhimpunan
yang diadakan sebulan sekali bagi memberi teguran kepada para pelajar. Malah,
beliau meletakkann solat berjemaah sebagai asas kepada penyatuan dalam kalangan
para pelajarnya.

Haji Muhammad Shafie juga seorang yang gemar
berbudi kepada tanah, di mana beliau suka berkebun atau membuka tanah-tanah
baru pada masa lapangnya. Beliau juga gemar mengenakan jubah dan pakaian
berwarna putih dan berjalan menggunakan terompah kayu.

Meninggal dunia

Haji Muhammad Shafie telah kembali ke
rahmatullah pada 28 Ramadan 1364 Hijrah, bersamaam dengan 5 September 1945.
Beliau telah meninggalkan ramai pelajar yang akhirnya menyambung kembali legasi
pengajarannya dalam bidang agama dan dakwah. Kehilangannya telah memberi kesan
besar kepada perkembangan pelbagai cabang ilmu agama Islam di Terengganu.

Kesimpulan

Pengasasan institusi pondok oleh Haji
Muhammad Shafie adalah suatu jalan penyebaran ilmu buat para penduduk setempat
di Kampung Losong. Kehadiran beliau telah menyemarakkan dunia dakwah dan
pengajaran agama Islam di Terengganu dan seterusnya melahirkan lebih ramai
ulama yang lain bagi menyambung warisannya.

RUJUKAN:

Amnah Saayah, I., Wan
Kamal, M., Burhanuddin, J., Norlaila Mazura, H. M., & Aida Nasirah, A.
(2018). Tradisi Keilmuan Pembina Karakter Ulama Melayu Abad Ke-19 Masihi. E-Prosiding
Persidangan Antarabangsa Sains Sosial Dan Kemanusiaan
, (April), 507–519.

Che Alias Hj Mamat.
(1991). Haji Mat Shafie dan Pengajian Pondok Di Losong. In Muhammad Abu Bakar
(Ed.), Ulama Terengganu: Suatu Sorotan (p. 276). Kuala Terengganu:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Masyurah Mohamad Rawi,
Harun Baharudin, Maimun Aqsha Lubis, & Siti Aisyah Romli. (2015). Institusi
Pondok dalam Sistem Pendidikan Islam di Malaysia. Proceeding the 7th
International Workshop and Conference of Asean Studies on Islamic and Arabic
Education and Civilization (POLTAN-UKM-POLIMED)
, (June 2015), 1–15.

 Muhammad Abu Bakar, (2018). Penduduk, Pengajian Islam dan Pengajian
Pondok. In Muhammad Abu Bakar (Ed.), Orang Terengganu: Asal Usul, Arus Hidup
dan Arah Tuju
(1st Edition, p. 440). Kuala Terengganu: Perbadanan
Perpustakaan Awam Terengganu.

The post Haji Mat Shafie: Pelopor Pengajian Pondok Di Kampung Losong appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots