Lelaki tikam imam dipenjara 41 bulan

Mahkamah Majistret Besut hari ini menjatuhkan hukuman penjara 41 bulan terhadap seorang lelaki yang menikam imam di Masjid Kampung Apal, baru-baru ini. 
Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Khairil Nawi, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan. 
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya. 
Mengikut pertuduhan, Muhammad Khairil didakwa menikam Mohd Amin Md Nor, 37, dengan menggunakan pisau yang mungkin menyebabkan kematian di dalam Masjid Kampung Apal pada 12 Mei lalu, jam 6.30 pagi. 
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Norkhizan Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar. 
Dalam kejadian 12 Mei lalu, mangsa yang sedang membaca al-Quran ditikam oleh Muhammad Khairil kerana bacaan imam itu didakwa telah mengganggu dia yang sedang tidur. 
Sumber: Astro Awani
LAPORAN BERKAITAN

Sumber : TheReporter