Polis Sahkan Ada Kesan Kelar Pada Dada, Leher Dan Kepala Mangsa Jururawat

Sebentar tadi, kami telah melaporkan penemuan Ketua Jururawat Hospital Serdang, yang hilang seminggu lalu. Bagaiamanapun mangsa disahkan telah meninggal dunia.

Memetik laporan daripada Bernama, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya telah menerima laporan daripada orang awam yang berasa curiga dengan penemuan darah yang mengalir dari bawah pintu sebuah rumah di Cyberjaya.

Sejurus menerima laporan tersebut, pihak polis telah bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mayat seorang wanita yang mempunyai kesan kelar di dada, kepala dan leher.

Setelah disiasat, polis mendapati  mangsa merupakan Siti Khairina Kamarudin yang dilaporkan hilang pada 8 Mei sebelum ini.

“Mangsa ditemui tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala dan siasatan awal kami mendapati ia adalah Siti Kharina yang telah dilaporkan hilang sebelum ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian telah menjumpai beberapa keterangan fizikal berkaitan kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini.

Polis telah berjaya menahan dua orang suspek untuk membantu siasatan iaitu seorang warga Pakistan berusia 38 tahun dan warga Nigeria berusia 35 tahun di Kuala Lumpur.

Siti Khairina Mohd Kamarudin, 40, mempunyai tiga orang anak berusia 14 tahun dan kembar 10 tahun dilaporkan hilang setelah tidak hadir ke tempat kerja dan gagal dihubungi keluarganya pada 9 Mei lalu.

Sumber: Bernama

Sumber : SiakapKeli