Ayah Tak Sedar Anak Main Dalam Kereta, Tiga Kanak-Kanak Maut Dalam Suhu Tinggi Selepas Terkunci Di Dalam

Seorang bapa terkilan selepas mendapati anak perempuan kandung dan dua anak saudaranya meninggal dunia di dalam sebuah kereta miliknya di Bataan, Filipina baru-baru ini.

Tiga kanak-kanak yang terlibat masing-masing berumur sembilan, lapan dan enam tahun. Mereka dikatakan telah masuk ke dalam kereta milik lelaki berkenaan tanpa disedari selepas beliau meletakkan kereta di luar rumah dan masuk ke rumah untuk makan.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan masuk ke dalam kereta melalui pintu yang tidak berkunci untuk bermain di dalamnya, namun secara tidak sengaja telah terkunci di dalamnya.

Suhu di kawasan kejadian adalah sekitar 35°C, akan tetapi ia dikatakan boleh meningkat sehingga 50°C di dalam kereta selepas satu jam. Tiga gadis kecil berkenaan dilaporkan mati lemas selepas terperangkap dalam suhu yang tinggi tersebut.

Keadaan mereka telah disedari oleh seorang lagi rakan mereka sekitar empat jam selepas itu. Dia memanggil beberapa orang dewasa berhampiran namun ketika itu, ketiga-tiga mangsa sudah tidak bernyawa lagi.

Keluarga mangsa percaya kejadian ini berpunca dari kecuaian sekaligus tiada sebarang siasatan lanjut akan dijalankan setakat ini.

Sumber: Daily Mail

Sumber : SiakapKeli