2 Penjara Terbakar Di Indonesia, Ratusan Banduan Ambil Kesempatan Larikan Diri

Seramai 177 orang banduan melarikan diri setelah melakukan rusuhan dan membakar sebuah penjara di Langkat, Sumatera Utara.

Dari jumlah tersebut, masih ada 51 orang banduan yang diburu dan diletakkan di bawah senarai orang yang dikehendaki.

“Ketika rusuhan itu, ada 177 orang banduan yang lari. Setakat ini jumlah yang sudah ditangkap atau kembali mahupun diserahkan keluarganya ada 107 orang. Selebihnya masih kita cari, “ kata jurucakap penjara, Jahari Sitepu semalam.

Semua banduan yang ditangkap telah dihantar ke pusat tahanan lain di kawasan berhampiran antaranya Penjara Tanjung Pura, Lapas Binjai dan Pangkalan Brandan.

(Gambar: Medan Inside)

Ketika ini, polis masih memburu 51 orang banduan yang melarikan diri setelah memotong pagar penjara. Jahari menyeru masyarakat dan keluarga tahanan untuk menyerahkan banduan-banduan tersebut kepada pihak polis.

Rusuhan berlaku apabila tahanan tersebut mengamuk setelah melihat rakan mereka diseksa warden penjara kerana memiliki dadah.

Rumah-rumah pegawai penjara berhampiran turut dirosakkan bersama beberapa buah kenderaan, motosikal dibakar dalam kejadian tersebut.

Difahamkan, ada banduan yang hanya berada di luar pagar tetapi tidak melarikan diri kerana tempoh tahanannya bakal berakhir tidak lama lagi.

Penjara Siak, Riau – 11 Mei 2019

(Gambar: ANTARA)

Seramai 34 banduan di penjara Siak melarikan diri setelah melakukan kekacauan dengan membakar jel tersebut.

“Data kami menunjukkan seramai 495 banduan masih berada di dalam penjara dan kami telah pindahkan,” kata Ketua Polis Pesuruhjaya Kanan Ahmad David pada Sabtu lepas. (Siak Police Chief Adjunct Senior Commissioner Ahmad David)

Disebabkan kerosakan yang teruk, seramai 119 banduan dipindahkan ke bangunan berdekatan lokasi tersebut manakala 495 lagi dipindahkan ke penjara daerah lain.

Polis masih mencari 34 banduan yang melarikan diri.

Pergolakan tersebut tercetus apabila banduan-banduan tersebut menentang penahanan rakan mereka yang menggunakan dadah methaphetamine di dalam penjara.

Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia melawat lokasi kejadian. (Gambar: ANTARA)

11 Mei lalu, mereka memulakan kebakaran di bahagian hadapan penjara pada kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan. Banduan-banduan yang mengamuk turut membaling batu pada pengawal keselamatan.

Bomba berjaya menamatkan kebakaran pada waktu subuh, namun sebahagian besar penjara tersebut telah mengalami kerosakan teruk.

Ketua Polis Daerah Riau, Inspektor Jeneral Widodo Eko Prihastopo bersyukur tiada mangsa tercedera dalam kebakaran tersebut.

Keadaan penjara yang terbakar. (Gambar: Kompas)

Ketua polis daerah (Kapolda) mengesahkan bahawa pegawainya sedang berbincang dengan banduan yang tinggal bagi berpindah ke pusat tahanan lain.

Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly berkata,

“Kami kesal dengan apa yang berlaku. Isu utama dalam kes ini ialah jumlah banduan 500% lebih banyak daripada kapasiti penjara.”

Kes-kes banduan melarikan diri di Indonesia sejak Mei 2018

Mei 2018 – 156 orang yang dipenjarakan kerana terlibat dengan aktiviti keganasan memberontak di Penjara Kelapa Dua, Jawa Barat. Dalam kejadian tersebut, 9 anggota polis dijadikan tahanan; 5 daripadanya terkorban dan 4 orang mengalami kecederaan manakala seorang banduan terkorban dalam pertempuran 36 jam tersebut.

Pertempuran tersebut berpunca dari pertengkaran antara banduan dengan pegawai penjara ketika pemeriksaan bungkusan makanan yang menjadi sebahagian dari prosedur keselamatan sedang dilakukan.

Dadah diseludup dalam bungkusan makanan. (Gambar: ANTARA News)

Jurucakap polis bahagian narkotik Indonesia menyatakan hampir 98% daripada pengedaran dadah di negara berkenaan berpusat di penjara.

Di Jakarta, 78% daripada 17,513 banduan ditahan akibat jenayah berkaitan dadah.

Jun 2018 – Puluhan banduan berenang apabila salah satu dinding penjara di pulau Sumatera runtuh akibat banjir.

Julai 2018 – 31 orang banduan di Jayapura meloloskan diri dengan menggergaji jeriji tingkap pengaliran udara.

November 2018 – 113 banduan melarikan diri melalui tingkap hadapan dan pagar belakang penjara Lambaro, Acheh. Salah seorang banduan maut akibat dipukul orang ramai. Kejadian tersebut dirancang oleh enam orang banduan; empat terlibat jenayah dadah, dua lagi terlibat dengan pembunuhan.

Pagar penjara dirosakkan banduan. (Gambar: Ditjen PAS)

Mei 2019

  • 11 Mei:  Seramai 34 banduan di penjara Siak melarikan diri setelah melakukan membakar jel tersebut.
  • 16 Mei: 154 banduan dari penjara Langkat melarikan diri setelah membakar penjara. 51 banduan masih diburu.

Kes banduan lari dari penjara sering berlaku di Indonesia antaranya disebabkan keadaan penjara yang daif dan terlalu sesak dan tidak mampu menampung jumlah banduan.

Sumber: ANTARA, Medan Inside

Sumber : SiakapKeli