Kerana Berebut Hak Penjagaan, Ayah Sanggup Bakar Anak Sendiri Hidup-Hidup Dalam Kereta

Seorang bapa di New York, Amerika Syarikat telah didakwa atas tuduhan membunuh anak gadisnya berusia 3 tahun dengan mengikat mangsa dalam kereta Audi A6 miliknya sebelum membakar kereta tersebut.

Menurut laporan Daily Mail, lelaki berusia 39 tahun itu bertindak sedemikian selepas bertengkar dengan tunangnya berkenaan hak penjagaan bagi kanak-kanak berkenaan.

Kejadian berlaku pada 5 Mei yang lalu di mana suspek dikatakan telah memandu kereta miliknya menuju dan berhenti di kawasan perumahan dekat Queens dan mengikat mangsa sebelum menyimbah petrol dan membakar kenderaan itu.

Mangsa masih hidup ketika diselamatkan oleh pihak bomba pada malam kejadian namun kemudian meninggal dunia akibat kecedaraan parah di Hospital Jamaica dekat Queens.

Pihak polis telah berjaya menahan suspek di kawasan berhampiran tidak lama selepas itu. Lelaki itu juga didapati telah melecur pada 70% daripada seluruh badannya dan tidak dapat disoal siasat sejurus selepas ditahan.

Mangsa, suspek serta tunangnya(Foto: Daily Mail)

Suspek dan tunangnya telah mengikat tali pertunangan dan dikurniakan seorang anak perempuan(mangsa) namun didakwa telah berpisah kira-kira sebulan yang lalu.

Tunangnya memberitahu bahawa suspek telah memberi amaran kepadanya yang beliau tidak akan dapat bertemu lagi dengan anak mereka tidak lama sebelum kejadian.

“Saya percaya yang dia(suspek) sanggup mencederakan saya namun tidak pernah terlintas di fikiran saya yang perkara sama juga akan dilakukan terhadap anaknya sendiri”, jelas ibu kanak-kanak malang tersebut.

“Dia adalah anak yang sempurna. Sangat penyayang dan sentiasa tersenyum. Dia satu-satunya anak saya dan saya tidak boleh memilikinya lagi” tambah beliau.

Sumber: Daily Mail

Sumber : SiakapKeli