Huawei Kini Dihalang Dari Menggunakan Android Oleh Google

Kesan halangan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat minggu lalu mula kelihatan. Hari ini Google menggantung akses serta sokongan Android kepada Huawei secara serta merta. Ini bermakna telefon pintar keluaran Huawei selepas ini tidak lagi akan menerima lesen menggunakan Android. Ini juga bermakna tiada lagi sokongan kemas kini dan akses kepada kesemua perkhidmatan GApps seperti Play Store.

Huawei hanya boleh mengakses Android AOSP sahaja selepas ini seperti yang dilakukan beberapa pengeluar di China yang tidak menerima pentauliahan. Pihak Huawei masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan Google menghentikan hubungan perniagaan. Mereka hanya berkata akan menentang halangan yang dikenakan Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat minggu lalu.

Yang pasti ia akan mendatangkan kesan yang besar ke atas perniagaan peranti mudah alih Huawei yang bergantung sepenuhnya kepada sistem operasi Android. Ia juga menimbulkan tanda tanya sama ada pelancaran Honor 20 akan diteruskan esok.

Sumber : Amanz