Bagaimana Brainwash Sebuah Negara?

Pada tahun 1985, sebuah temubual telah
diadakan dengan bekas pegawai KGB, unit perisikan Soviet Union, yang berpaling
tadah kepada Barat, Yuri Bezmenov dan dia membuka rahsia tentang bagaimana
pegawai sepertinya, merosakkan pemikiran masyarakat sebuah negara.

Yuri yang dilahirkan di Mytischi, pinggir bandar Moscow, merupakan anak kepada pegawai tentera tertinggi Soviet yang berkhidmat dalam Perang Dunia Kedua. Beliau belajar di Moscow State University, dan merupakan pakar dalam kesasteraan dan kebudayaan India.

Selepas bergraduasi pada tahun 1963, beliau
berkhidmat sebagai pegawai perhubungan awam jurutera-jurutera Soviet di India
kerana pada masa itu Soviet Union banyak melabur di negara-negara dunia ketiga
untuk mendapatkan pengaruhnya.

Beliau kemudiannya melarikan diri ke Kanada
dan berpaling tadah dari Soviet Union, dan menukar namanya ke Tomas Schuman.

Yuri menerangkan bagaimana pegawai
sepertinya melemahkan sebuah negara lalu menakluk pemikiran rakyatnya.

Menurut Yuri, terdapat empat langkah utama
yang harus dilakukan oleh pegawai perisikan sepertinya, iaitu:

  1. Demoralization (melemahkan
    moral)
  2. Destabilization (melemahkan
    kestabilan struktur masyarakat)
  3. Crisis (mencetuskan krisis)
  4. Normalization (menjadikan
    pengawalan minda sebagai normal)

Demoralization, menurut Yuri, telah
dilakukan oleh pegawai-pegawai KGB terhadap pelajar universiti terutamanya yang
menyokong sayap kiri (lefties), serta mereka yang memperjuangkan hak asasi
manusia, para feminis yang muncul pada era 1960an hingga 1980an (pada ketika
itu generasi Babyboomers, lahir 1946-1964) masih lagi di peringkat pelajar
universiti.

Proses ini dilakukan dalam satu lingkungan
generasi (15-20 tahun), agar seluruh generasi tersebut apabila keluar daripada
universiti dan mula memasuki alam pekerjaan, mereka dapat ‘brainwash’ generasi
di bawahnya.

Demoralization ini dilakukan dengan
kata-kata lunak seperti ‘satu bangsa manusia’, ‘bangsa majoriti penindas’,
‘kita semua sama’ dan ‘keadilan sosial’, ‘menentang fasis’, mereka melahirkan
generasi yang membenci bangsa sendiri, merasakan nasionalisme sebagai
menjijikkan, merasakan penyatuan bangsa itu sebagai fasisme, membenci budaya,
agama, seni, sastera, bahasa, dan segala unsur bangsa dan menggantikan dengan
idealisme kesamarataan yang anti nasional, dan proses ini dilanjutkan ke
peringkat sekolah dan mungkin tadika, melalui para guru dan pendidik yang sudah
dibrainwash otaknya.

Apabila satu generasi sudah dicuci
mindanya, mereka akan mula membenci segala aspek bangsa, mereka tidak akan
mampu lagi melawan. Lalu akan muncul peringkat kedua iaitu destabilization,
iaitu melemahkan kestabilan struktur masyarakat.

Pada masa ini mereka akan dilemahkan dari
segi ekonomi, hubungan luar negara, dan akhir sekali, ketenteraan. Apabila
mereka lemah dari segi ekonomi, tidak ada hubungan luar negara yang baik dengan
negara lain, mereka mudah diserang dan masyarakat juga sudah berpecah belah
kerana sudah demoralized dalam proses pertama tadi.

Proses ketiga ialah krisis, di mana
serangan akan dilakukan menyebabkan kerajaan itu akan dihancurkan dan
digantikan dengan rejim yang baru, sementara peringkat terakhir ialah
normalization, iaitu mengajar masyarakat yang pada masa itu tiada jati diri,
tiada maruah dan tiada sifat cintakan bangsa untuk bersikap submisif dan
menerima sahaja penjajahan minda mereka tanpa melawan.

Dan menurut Yuri, golongan kiri seperti
feminis dan pejuang hak asasi manusia yang mula-mula berjuang pada peringkat
awal itu, akan dihapuskan kerana tidak berguna lagi. Golongan ini, menurut
Yuri, ialah “useful idiots” (orang bodoh yang berguna) untuk melemahkan
struktur bangsa. Perkara ini berlaku di Nicaragua, Grenada, Bangladesh dan
Pakistan.

Yuri berkata lagi, kata-kata lunak seperti
kesamarataan, hak wanita dan hak pekerja adalah propaganda yang hanya
mereputkan kekuatan bangsa. Orang yang mudah terpedaya dengan kata-kata ini
adalah golongan yang lemah jati dirinya, dan mudah dimanipulasikan.

Antara langkah yang akan dilaksanakan ialah
merosakkan kebudayaan bangsa dan menjadikan masyarakat yang memuja selebriti,
dan selebriti juga akan bercakap tentang ideologi ini dalam proses melemahkan
pemikiran masyarakat.

Dan bila anda melihat ada rakan sebangsa
mula membenci budaya, bahasa, seni, sastera, agama dan penyatuan bangsa, kita
boleh tahu sama ada dia agen asing, atau dia adalah ‘useful idiots’ yang
dikatakan oleh Yuri Bezmenov.

Video penuh: https://www.youtube.com/watch?v=vLqHv0xgOlc

The post Bagaimana Brainwash Sebuah Negara? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots