Sheikh Abdullah Quilliam Dari Liverpool

Sebut saja Liverpool, yang meniti di bibir ialah kelab bola sepak Liverpool yang bersaing sengit dengan Manchester City yang akhirnya menyaksikan Citizens menjadi juara Liga Perdana Inggeris musim ini. Dan itu tidak akan menjadi kenyataan jika kita tidak mengambil kira sumbangan ayam tambatannya yang beragama Islam seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane. Tetapi tidak ramai tahu bandaraya ini juga merupakan tempat kelahiran figura Islam terkenal era Victoria iaitu Abdullah Quilliam.

Abdullah
Quilliam yang turut dikenali sebagai William Henry Quilliam dilahirkan di 22
Eliot Street, Liverpool pada 10 April 1856 dalam sebuah keluarga tempatan yang
berada. Kebanyakan masa kanak-kanaknya dihabiskan di Isle of Man dan beliau
dibesarkan sebagai seorang Methodist. Antara alma mater tempat pengajiannya
ialah Liverpool Institute (Liverpool Institute High School for Boys) dan King
William’s College.

Selepas
menamatkan pengajian, Quilliam mula bekerja sebagai peguam pada tahun 1878 dan
reputasinya sebagai pengamal undang-undang yang berkaliber menyebabkan ramai
menggelarnya peguam tidak rasmi bandaraya Liverpool. Ini berikutan
penglibatannya sebagai peguambela dalam banyak kes pembunuhan berprofil tinggi
ketika itu. Setahun selepas itu, beliau berkahwin dengan Hannah Johnstone dan
turut terlibat dengan gerakan menolak pengambilan alkohol yang aktif pada abad
ke-19 dan awal abad ke-20.

Semasa mengadakan perjalanan ke Maghribi, Quilliam tertarik dengan tingkah laku jemaah haji Maghribi yang bersolat di atas kapal mereka. Beliau merasa hairan mengapa orang-orang ini langsung tidak terganggu dengan tiupan angin atau pergerakan kapal. Tetapi yang pasti, beliau amat tersentuh dengan keikhlasan dan kepercayaan penuh mereka semasa beribadat.

Bila menanyakan hal itu kepada seorang rakan beragama Islam, rakannya menerangkan bahawa agama Islam itu merupakan kesinambungan agama-agama terdahulu seperti Kristian dan Yahudi. Dan itu sudah cukup menyakinkan Quilliam bahawa langkah logik seterusnya ialah memeluk agama Islam dan ini dilakukan sekembalinya ke Britain pada tahun 1887. Selain itu, Profesor Humayun Ansari dari Royal Holloway University of London berpandangan kehidupan sederhana di Maghribi turut memberi impak kepada penerimaannya terhadap Islam.

Bagaimanapun menurut Profesor Humayun, langkah yang diambil Quilliam bukan saja berani tetapi juga berisiko. Ini kerana pandangan orang era Victoria terhadap agama Islam amat ekstrem dengan ramai menganggap ia sebagai menyeleweng daripada ajaran Kristian dan agama yang berorientasikan keganasan.

Tambahnya, “Jadi bila beliau memeluk Islam, ia dianggap satu perkara yang luar biasa bagi individu yang datang dari latar belakang terhormat untuk melakukan perkara tersebut.” Walaupun Islam tidak mewajibkan penukaran nama individu bila mereka memeluk Islam, Quilliam memilih nama Abdullah sebagai nama baru dan permulaannya sebagai seorang Muslim.

Sebagai permulaan, beliau membeli tiga buah rumah di Brougham Terrace, Liverpool menggunakan wang derma Putera Mahkota Afghanistan ketika itu, Nasrullah Khan. Rumah bernombor 8, 11 dan 12 ditukar peranannya dengan rumah nombor 8 dijadikan sebagai Institut Muslim Liverpool yang juga masjid fungsi penuh pertama di Britain. Sementara dua buah lagi rumah dijadikan sebagai sekolah berasrama penuh untuk lelaki dan sekolah pagi untuk wanita serta sebuah rumah penjagaan yang dikenali sebagai Medina House.

Medina House merupakan rumah penjagaan bagi anak-anak keluarga yang tidak berkemampuan tetapi mahukan anak-anak mereka dibesarkan sebagai Muslim. Masjid yang mula beroperasi pada Hari Krismas 1889 itu turut menganjurkan kelas pendidikan pelbagai subjek dan mempunyai pelbagai fasiliti termasuk sebuah makmal sains dan muzium.

Pada tahun sama, Quilliam turut menerbitkan sebuah buku berkenaan Islam yang bertajuk The Faith of Islam. Buku karangannya ini berkisar tentang soal dakwah Islamiyah dan prinsip-prinsip utama di sebaliknya. Pada mulanya, hanya 2,000 buku sahaja yang diterbitkan tetapi ia mendapat sambutan menggalakkan sehingga perlu ditambah cetakan sebanyak 1,000 buku dan diterjemah dalam 13 bahasa.

Buku ini turut mendapat perhatian Ratu Victoria dengan baginda mahukan enam lagi salinan untuk kerabat baginda. Selain Faith of Islam, Quilliam turut menerbitkan akhbar The Crescent bagi menceritakan perkembangan umat Islam di Britain dan Islamic World, satu makalah bulanan untuk khalayak pembaca dari seluruh dunia.

1890 turut menyaksikan kebangkitannya sebagai antara figura utama umat Islam di Britain menerusi bantahan terhadap pementasan teater Mahomet hasil karya Henri de Bornier yang diterjemahkan oleh Hall Caine. Teater yang dikatakan menceritakan riwayat hidup Rasulullah s.a.w sudah mencetuskan kontroversi di Perancis apabila ia disekat pada Mac 1890 oleh Paris hasil desakan Sultan Abdul Hamid II dari Empayar Uthmaniyyah. Walaupun Caine menegaskan plot teater tersebut berlawanan dengan sejarah dan ia telah disunting melalui kerjasama penulis Dracula Bram Stoker dan pelakon teater terkenal Sir Henry Irving, ia sudah mencetuskan kekecohan dalam kalangan umat Islam di Britain.

Dan bagi London, jika teater ini diteruskan, ia bukan sahaja berpotensi merenggangkan hubungan dengan Istanbul tetapi juga menyukarkan usaha mereka kekal berkuasa di India. Akhirnya, Earl Pertama dari Lathom, Edward Bootle-Wilbraham memutuskan untuk menyekat produksi Mahomet, satu perkara yang dianggap luar biasa tetapi menunjukkan keseriusan Britain terhadap masalah yang dicetuskan produksi teater itu. Pada tahun 1891, beliau turut menjadi saksi pengebumian awam pertama Islam di Liverpool membabitkan bekas mubaligh Methodist Michael Hall.

Melihat kepada ketokohannya sebagai figura utama umat Islam di Britain, maka tidak hairanlah mengapa Sultan Abdul Hamid II mengurniakan gelaran Sheikhul Islam bagi Kepulauan Britain, Sheikh bagi orang Islam di Britain (Emir Afghanistan) dan Naib Konsul Kedutaan Parsi di Liverpool.

Hasil daripada kerja dakwah Quilliam menyaksikan 600 orang memeluk agama tauhid termasuk bekas Datuk Bandar Stalybridge, Greater Manchester dari Parti Konservatif, Robert Reschid Stanley dan Lord Stanley dari Alderley di Cheshire. Tetapi ramai mengadu mereka sentiasa diganggu ketika itu hanya kerana memilih Islam sebagai agama termasuk rumah dibaling batu dan tahi kuda.

Menurut Jahangir Mohammed dari Persatuan Abdullah Quilliam, Quilliam sendiri pernah dibaling dengan kepala khinzir dan batu. Sesetengah serangan sengaja dicetuskan oleh paderi-paderi dan media, situasi yang mendorongnya menghasilkan Faith of Islam, The Crescent dan Islamic World. Beliau juga turut menggalakkan umat Islam untuk menulis dan bersuara tentang isu semasa terutama yang membabitkan kepentingan mereka tanpa perlu rasa takut.

Kejujuran sebegini kadangkala menyebabkan Quilliam dilabel pengkhianat berikutan kelantangannya terhadap polisi luar Britain di Sudan dan sokongan politiknya terhadap Empayar Uthmaniyyah. Tetapi kebijaksanaannya membentuk syarahan-syarahan agama yang bersesuaian dengan minat saintifik masyarakat ketika itu menukar persepsi masyarakat era Victoria terhadap Islam 360 darjah.

Tetapi kerja baiknya itu terhenti berikutan satu skandal yang tercetus pada tahun 1908. Berikutan tugasnya sebagai seorang peguamcara, beliau sentiasa menyokong perjuangan kelompok tertindas seperti kesatuan pekerja dan reformasi undang-undang perceraian. Skandal ini tercetus apabila Quilliam cuba membantu seorang wanita mendapatkan perceraian dengan memerangkap suami wanita itu dengan seorang wanita lain sebagai bukti bahawa lelaki itu berlaku curang kepadanya.

Tetapi perangkap tersebut tidak menjadi dan ia memberi kesan kepada karier guamannya. Untuk mengelak ia memberi kesan kepada komuniti Islam Liverpool, Quilliam meninggalkan Liverpool dan menghilangkan diri selama enam tahun. Anaknya yang melihat usaha ini sebagai sia-sia segera menjual masjid dan pusat Islam yang diusahakan beliau. Tanpa pengaruh Quilliam dan sokongan kewangan, komuniti Islam Liverpool mula berpecah.

Pada tahun 1914, beliau kembali ke Britain di bawah nama Henri Marcel Leon/Haroun Moustapha Leon tetapi masih ramai yang mengenali nama lamanya itu seperti didedahkan Profesor Ron Geaves. Quilliam menghabiskan masanya di Onchan, Isle of Man sebelum ke Woking di mana beliau terus berbakti kepada agama.

Beliau kembali ke rahmatullah pada usia 76 tahun di Bloomsbury, London pada tahun 1932. Quilliam dikebumikan di sebuah kubur tidak bertanda di Tanah Perkuburan Brookwood, Woking. Kawasan perkuburan ini turut menjadi tempat pengebumian tokoh Anglo-Muslim yang lain seperti Abdullah Yusuf Ali, Muhammad Marmaduke Pickthall dan Lord Headley.

Hari ini, legasinya diteruskan oleh sebuah organisasi yang dipanggil Persatuan Abdullah Quilliam. Persatuan ini ditubuhkan pada tahun 1996 bagi memelihara legasinya termasuk Institut Muslim Liverpool yang terbiar selama beberapa tahun. Hasil usaha ini menyaksikan masjid tersebut kembali dibuka kepada orang ramai pada tahun 2014 dan namanya kini ditukar kepada Masjid Abdullah Quilliam. Persatuan ini turut mendapat sokongan pakar akademik seperti Geaves dan Profesor Mehmet Seker dari Universiti Dokuz Eylul.

Give them full strength to stand
Firm in the fight.

Strengthen and help the weak,
And teach us all to speak,
Thy truth abound.
May love and liberty,
Truth and sweet purity,
With plenteous charity,
In us be found.

Hear Thou the orphan’s cry,
Assuage the widow’s sigh,
The foolish chide.
Let vice no more abound,
But happiness be found
In every home and round
The world so wide.

1 Muharam 1319, 21 April, 1901

RUJUKAN:

1.
BBC. (2019). The British Victorians who became Muslims. https://www.bbc.com/news/uk-england-48069763

2.
Long, Chris dan Chester, Jerry. (2014). ‘The birthplace of Islam in Britain’:
Kensington’s Victorian mosque reopens. BBC. https://www.bbc.com/news/uk-england-merseyside-28018673

3.
Bano, Rahila. (2012). The legacy of Victorian England’s first Islamic convert.
BBC. https://www.bbc.com/news/uk-england-17827016

The post Sheikh Abdullah Quilliam Dari Liverpool appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots