Raya Dah Nak Dekat, Remaja Ini Hilang Sebelah Tangan Akibat Main Mercun

Sedar tak sedar, sudah masuk hari ke-16 umat Islam berpuasa dalam bulan penuh keberkatan ini. Dalam beberapa minggu sahaja lagi kita akan meraikan kemenangan seluruh Muslim iaitu Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu pastinya terdapat pelbagai cara untuk menzahirkan perasan gembira sementara menanti saat tersebut.

Tidak dinafikan bahawa ia seolah-olah merupakan aktiviti ‘wajib’ untuk memeriahkan lagi suasana perayaan. Tetapi, dalam keterujaan itu, saban tahun pasti ada sahaja cerita kecederaan yang berlaku akibat bermain mercun. Malah ia turut melibatkan kemusnahan harta benda.

Terbaru, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun telah hilang kelima kelima-lima jari tangan kanannya dalam satu kejadian di Kampung Kubang Ikan, di sini, hari ini.

Memetik Bernama, Ketua Polis Daerah Besut Mohd Zamri Mohd Rowi berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 5.30 petang itu, Syafiq Haikal Shaharrudin telah mengalami kecederaan parah di pergelangan tangan dan semua jari tangan kanannya hancur.

“Semasa kejadian ibu mangsa, Zainab Mohd, 40, terdengar letupan dan jeritan dari luar rumahnya sebelum  sepupunya datang memberitahu kejadian yang menimpa anaknya,” katanya ketika dihubungi  Bernama, di sini, malam ini. Ibu mangsa telah menghantarnya ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan.

Mohd Zamri berkata insiden itu merupakan kes pertama mangsa letupan mercun di daerah Besut pada Ramadan tahun ini. Beliau turut menasihati ibu bapa agar memantau kegiatan anak-anak yang bermain mercun supaya insiden kecederaan akibat mercun setiap kali tiba musim perayaan dapat dicegah.

Sumber : BERNAMA

Sumber : SiakapKeli