”Ahli Keluarga Saya Pun Dah Lama Guna Apple,” Respon Pengasas Huawei Berhubung Sekatan AS

Dua tamparan hebat diterima oleh Huawei dalam tempoh beberapa hari ini apabila Google menarik semula lesan android daripada mereka setelah Huawei disenaraikan ke dalam Entity List oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat.

Ianya diikuti dengan syarikat pengeluar dan pembekal cip gergasi iaitu Intel, Qualcomm dan Broadcom yang turut mengesahkan untuk tidak lagi membekalkan perkakasan kepada Huawei berkuat-kuasa serta merta.

Namun, Huawei akhirnya dapat menarik sedikit nafas lega apabila kerajaan Amerika Syarikat telah melonggarkan sekatan yang dikenakan ke atas mereka dengan menangguhkan sekatan tersebut selama 90 hari.

Dalam tempoh ini, Huawei masih dapat meneruskan urusan jual beli barangan buatan Amerika bagi membolehkan peranti untuk mengemas kini perisian di dalam telefon yang sedia ada.

Tampil memberi respon, pengasas Huawei, Ren Zhengfei, 74, seorang individu berpengaruh yang menjaga privasi dan hampir dikatakan tidak pernah muncul dalam sebarang temu bual.

Menurut Ren, beliau berterima kasih kepada semua syarikat-syarikat di A.S yang menunjukkan rasa prihatin dan sokongan mereka dalam fasa-fasa kritikal yang dilalui Huawei ketika ini.

”Dalam masa yang kritikal ini, saya berterima kasih kepada syarikat-syarikat di A.S di mana mereka banyak menyumbang kepada pembangunan Huawei dan menunjukkan keprihatinan mereka dalam isu ini.

Malah, dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Global Times, Ren berkata, sokongan kepada Huawei bukan bermakna anda perlu membeli peranti tersebut.

”Menyokong Huawei tidak bermaksud anda perlu membeli telefon pintar daripada Huawei. Ahli keluarga saya juga sudah lama menggunakan Apple,” kata Ren.

Sumber : The Verge

Sumber : SiakapKeli