Jokowi Ucap Terima Kasih Kepada Rakyat, Prabowo Fail Petisyen Bantah, 50 Ribu Pasukan Keselamatan Kawal Jakarta

Jakarta : Lebih 50,000 anggota polis dan tentera Indonesia ditempatkan di kawasan strategik di kota Jakarta bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam, pasca pengumuman keputusan Pilihan Raya Indonesia (Pemilu 2019), awal pagi ini.

Pasukan keselamatan ditempatkan di kawasan seperti di Komisi Pemilihan Umum (KPU), Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu), Istana Negara, bangunan parlimen, pusat membeli-belah dan terminal serta stesen kereta api.

Sebahagian jalan di Jakarta iaitu Jalan Sudirman dan Jalan Imam Bonjol yang menempatkan bangunan Bawaslu  dan  KPU, turut ditutup kepada lalu lintas, berikutan beribu orang ramai mengadakan demonstrasi di kawasan itu.

Awal pagi ini, pukul 1.46 pagi waktu Indonesia Barat, KPU mengumumkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2019, yang kemenangan berpihak kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan pasangannya Ma’ruf Amin untuk jawatan naib presiden.

Pengumuman itu dibuat sehari lebih awal selepas pengiraan di semua 813,350 Tempat Pembuangan Suara atau pusat pengundian, selesai 11.30 malam Isnin (20 Mei).

Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf, 76, memperoleh 85,607,362 undi, manakala pencabarnya, Prabowo Subianto, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperoleh 68,650,239 undi.

Prabowo dalam satu kenyataan hari ini menolak keputusan yang diumumkan KPU itu dan akan memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di Mahkamah Konstitusi.

Beliau turut mempertikaikan tindakan KPU mengumumkan keputusan itu pada awal pagi, ketika rakyat Indonesia sedang tidur.

Pada 15 Mei lepas, ketika proses pengiraan Pilpres masih berlangsung, Prabowo, yang sebelum ini menolak hasil keputusan quick count atau hitung cepat oleh badan-badan bebas yang memenangkan Jokowi, turut memboikot proses pengiraan undi KPU, yang didakwanya berlaku unsur penipuan.

Sementara itu, Jokowi, yang pagi ini mengadakan lawatan di kawasan penempatan di Kamoung Deret, Tanah Tinggi, Jakarta Pusat, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Indonesia atas sokongan mereka untuk terus memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.

Beberapa pihak tertentu yang pro kepada Prabowo sebelum ini turut menggesa satu demonstrasi besar- besaran bagi membantah keputusan Pilpres itu.

Densus 88 atau Pasukan Polis Khas Anti Keganasan Indonesia, sebelum ini menahan hampir 100 suspek yang dipercayai merancang untuk melakukan serangan bom pada 22 Mei ini.

Keadaan keselamatan di Jakarta masih terkawal dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku setakat 4.00 petang ini.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli