Menang Dalam Pilihanraya Indonesia 2019, Tun M Ucap Tahniah Pada Jokowi

Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad telah menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Presiden Joko Widodo atas kemenangannya memenangi pilihan raya Indonesia buat kali kedua.

Keputusan rasmi yang dikeluarkan pada hari selasa yang bersamaan dengan 21 Mei telah menyaksikan bahawa Widodo, yang juga dikenali sebagai Jokowi, telah berjaya memenangi pilihan raya bagi jawatan presiden menentang lawannya, Prabowo Subianto.

“Saya ucap tahniah kepada Bapak @jokowi atas kemenangan secara rasmi sebagai Presiden Republik Indonesia.

“Saya berharap kerjasama antara dua negara akan semakin erat selepas ini,” tulis Dr Mahathir dalam satu Tweet yang dimuat naik melalui akaun Twitter rasminya.

Keputusan pilihan raya yang bermula pada 17 April itu telah diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia pada hari selasa pukul 1.46pm. Keputusan itu juga diumumkan sehari lebih awal daripada penjadualan yang ditetapkan kerana proses pengiraan undi di kesemua pusat pengundi telah selesai dikira pada pukul 11.30pm hari isnin.

Jokowi, 57, bersama calon naib presiden Ma’ruf Amin telah berjaya memenangi pilihan raya tersebut dengan peratusan undi sebanyak 55.5 peratus memihak kepada mereka berbanding 44.5 peratus yang hanya berjaya diraih oleh Subianto dan Sandiaga Uno, kata pegawai pilihan raya tersebut.

Sumber: Bernama

Sumber : SiakapKeli