Pandang Pertama: Honor 20 – Ini Mungkin Peranti Mercu Yang Ramai Inginkan?

Honor adalah satu jenama lain daripada Huawei. Populariti Honor ini meningkat kerana mereka banyak hadir dengan peranti mercu yang spesifikasinya hampir sama seperti peranti mercu Huawei, tetapi jauh lebih murah. Peranti mercu Honor yang terkini adalah Honor 20, ia baru sahaja dilancarkan sebentar tadi. Bagi yang keliru kenapa Honor 20 dilancarkan, sedangkan awal tahun sudah ada Honor View20 – ini kerana Honor 20 adalah versi lebih kecil dan lebih mampat.

Tetapi, bagaimana dengan prestasi Honor 20 ini? Adakah ia lebih baik daripada View20 atau di sebaliknya? Dalam artikel ini akan saya kongsikan pendapat awal, pengalaman penggunaan peranti ini.

Skrin

Honor 20 mempunyai skrin yang lebih kecil berbanding View20, iaitu 6.26-inci sahaja. Resolusi adalah FHD+ dan mempunyai ppi yang lebih tinggi iaitu ~412. Semasa menggunakan peranti ini, saya mendapati skrin Honor 20 cukup terang dan memuaskan apabila menstrim video dari YouTube dengan tetapan resolusi maksima. Namun, di bawah pancaran cahaya yang terang – skrin sedikit malap. Itu tidak menghalang daripada menggunakan peranti ini. Kerana kualiti skrinnya, dari segi warna cukup menarik dan cantik. Rekaan skrin pula menggunakan rekaan skrin berlubang untuk muatkan kamera swafoto dan saiz bingkainya pula boleh diterima. Dalam kelasnya, saiz bingkai ini adalah moden dan menghampiri rekaan nirbingkai.

Prestasi & Audio

Cip yang menjana Honor 20 adalah Kirin 980 yang sama ditemui dalam peranti mercu Huawei seperti siri P30 atau Mate 20. Ia adalah berasaskan binaan 7nm yang cukup lancar dan mempunyai pengoptimasian yang hebat. Menjadikan peranti ini lebih berkuasa adalah, ia dipadankan dengan memori sehingga 6GB RAM, dan storan dalaman sehingga 128GB. Peranti ini pula menjalankan Magic UI 2.1.0 dengan rekaan ikon yang lebih kemas dari versi EMUI yang sebelum ini. Prestasi pula menakjubkan, ia agak pantas apabila membuka banyak aplikasi. Peralihan antara animasi pula kelihatan lancar dan memuaskan.

Bermain permua juga tidak menjadi masalah. Dengan spesifikasi sebuah peranti mercu, bermain permua dengan grafik 3D seperti Asphalt 9 sungguh mengasyikkan. Audio pula tidak kurang hebatnya. Walaupun hanya satu pembesar suara sahaja, tetapi dengan keajaiban perisian – Honor telah menyertakan “Virtual 9.1 Surround Sound” yang mana memberi pengalaman pendengaran seakan pembesar suara stereo secara maya. Tidak seperti View20, Honor 20 tidak mempunyai port bicu audio 3.5mm.

Bateri

Dalam penggunaan awal, bateri Honor 20 adalah paling membuatkan saya teruja. Tiada gimik seperti skrin 90Hz dari pesaing atau mempunyai bateri besar, tetapi tidak tahan lama. Honor 20 mempunyai bateri 3750mAh dengan sokongan pengecasan pantas SuperCharge 22.5W melalui USB-C. SOT awal yang saya capai adalah sekitar 5 Jam 48 Minit, dengan baki 34%. Cara penggunaan adalah Bluetooth yang sentiasa dihidupkan, penggunaan Hotspot yang kerap, penstriman media, penggunaan media sosial sepanjang hari dan juga bermain dengan kamera. Jangkaan saya, Honor 20 berkemungkinan besar tidak mempunyai masalah untuk capai SOT sekitar 7-8 Jam lamanya.

Kamera

Kamera utama Honor 20 adalah sistem empat-kamera. Lensa utama adalah 48MP dari Sony IMX586 yang banyak ditemui pada peranti mercu dan peranti kelas pertengahan. Digabungkan dengan lensa 16MP adi-sudut lebar, lensa Depth Assist 2MP dan lensa makro 2MP. Kamera swafoto pula adalah 32MP. Pada Honor 20 kali ini, Honor telah memperlihatkan banyak penambahbaikan. Saya teruja dengan lensa ultra-lebar yang cantik dan mempunyai butiran yang jelas. Namun dalam beberapa situasi, auto-fokus kamera ini sedikit kurang baik kerana ia secara tidak langsung menjadikan hasil gambar sedikit gelap.

Lensa adi-sudut lebar pula boleh dikatakan cukup baik untuk peranti dalam kelasnya. Ia mempunyai sistem pembetulan herotan yang baik dan tidak mempunyai hasil seakan GoPro. Apa yang unik pada kamera Honor 20 adalah lensa makronya. Ia turut berfungsi sebagai lensa zoom yang tidak hebat dan agak mengecewakan. Butirannya lari dan ia terus hilang fokus. Namun apabila mengambil gambar makro, contohnya bunga. Hasil yang memuaskan yang pasti membuatkan hati pengguna ceria. Kamera swafoto pula tidak lagi mempunyai mod kecantikan yang melampau, ia kelihatan lebih natural dan cukup baik. Mod malam pula, tidak sehebat siri P30. Tetapi dengan kemaskini perisian, hasilnya mungkin boleh diperbaiki.

Click to view slideshow.

Rekaan

Jelas di sini rekaan Honor 20 adalah mirip siri Huawei P30. Rekaan cantik, premium dan sedap dipegang. Di hadapan dan belakang diperbuat daripada kaca dan seperti biasa, walaupun kemasannya cantik – ia tetap memerangkap kotoran cap jari yang serius. Di belakang terletaknya kamera dalam susunan menegak dan logo Honor di bawah. Di hadapan pula hanya skrin berlubang yang kelihatan premium dan di bahagian bingkai atas hadapan pula, terdiamnya kekisi earpiece untuk panggilan telefon. Di bawah terdapat port USB-C, kekisi pembesar suara dan mikrofon. Manakala di atas pula terdapat satu sensor dan satu lagi mikrofon.

Click to view slideshow.

Di sisi kanan adalah yang paling menarik, terdapat butang aras suara dan butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Di sisi kiri pula hanya terdapat slot kad sim. Rekaan keseluruhan yang tipis, anggun dan menawan untuk peranti ini amat mengagumkan.

Konklusi

Lupakan sementara isu Huawei yang pasti berkait dengan Honor ini. Mari kita fokus akan kehebatan peranti ini. Jelas di sini, Honor 20 turut menandingi peranti mercu mampu milik lain seperti Xiaomi. Walaupun Honor tidak ingin menggunakan gelaran membunuh peranti mercu lain, Honor 20 ini berada dalam kategori – pembunuh peranti mercu lain. Skrin yang baik, jangka hayat bateri yang hebat dan kamera yang menakjubkan.

Cuma sayang sekali, selepas pelancaran Honor 20 di Malaysia kelak – penjualannya akan ditangguhkan. Jika tidak, peranti sememangnya layak untuk dijadikan sebagai peranti untuk Hari Raya 2019. Nantikan ulasan penuh daripada kami di masa akan datang. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : Amanz