Apple Mengemaskini Penawaran MacBook Pro Dengan Cip Pemprosesan Berkuasa

Apple secara senyap telah memperkenalkan model kemaskini untuk MacBook Pro 13-inci dan MacBook Pro 15-inci pada pagi ini. Kedua-dua model ditawarkan dengan pilihan cip pemproses Intel Core generasi kelapan dan juga kesembilan. Pada MacBook 15-inci, terdapat penawaran dengan cip Intel Core i9 generasi kesembilan lapan teras untuk pertama kali – sekaligus menjadikannya Mac paling berkuasa di pasaran pada hari ini.

Model 15-inci kini hadir dengan pilihan cip Intel Core generasi ke-9, selain model 13-inci dengan pilihan cip berkuasa Intel Core generasi ke-8. Selain daripada itu, pelbagai spesifikasi yang ditawarkan adalah lebih kurang sama dengan model sebelum ini. Apple juga turut mengemaskini sedikit papan kekunci pada komputer riba ini dalam mengurangkan beberapa masalah yang telah diperkatakan sebelum ini.

Dengan penawaran ini, ia menawarkan kuasa pemprosesan lebih tinggi – sekaligus memudahkan lagi pelbagai tugasan kreatif dilakukan dengan pantas.

Kedua-dua model MacBook Pro baru ini sudah boleh didapati di Malaysia, pada harga bermula RM7849 untuk versi 13-inci, dan RM10,499 untuk model 15-inci.

Sumber : Amanz