Ibu 32 Tahun Dirogol Sebelum Disimbah Asid Oleh Dua Suspek Bersenjata

Seorang ibu kepada dua anak telah mengalami mimpi ngeri dalam hidupnya apabila dia telah dirogol oleh dua orang suspek bertopeng dan bersenjata dalam satu kejadian yang berlaku di Punjab, Pakistan baru-baru ini.

Dalam kejadian berkenaan, suspek dikatakan telah memecah masuk rumah mangsa sebelum merogol dan mengugut mangsa menggunakan senjata api. Mangsa ketika itu sedang tidur bersama dua orang anaknya.

Lebih menyayat hati, selepas diperkosa, suspek telah menyimbah asid kepada bahagian belakang badan, kaki dan tangan wanita malang berkenaan selain rambutnya juga dipotong.

Ketika kejadian itu berlaku, suami mangsa dikatakan tinggal di Karachi, lebih kurang 900km dari Punjab. Suspek telah berjaya melarikan diri.

Dalam pada itu, wanita tersebut telah dikejarkan ke hospital sejurus kejadian dan dia dilaporkan dalam keadaan stabil ketika ini.

Pihak polis kini sedang giat memburu suspek dan menurut pegawai penyiasat, ASI Muhammad Saleem, mereka telah berjaya mendapatkan beberapa kesan cap jari bagi membantu mereka dalam menjejaki suspek.

Kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku di negara berkenaan. Pada bulan lepas sahaja, seorang wanita telah dirogol dan dibunuh oleh staf hospital manakala seorang lagi diperkosa oleh anggota polis ketika sedang membuat laporan kes rogol terhadap dirinya.

Sumber: Daily Mail

Sumber : SiakapKeli