“Saya Cuma Nak Tolong Je,” Dituduh Membunuh Lepas Bantu Wanita Tua Buka Pintu

Warga tua merupakan golongan yang telah kekurangan tenaga untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Usia dan tubuh badan yang telah dimamah usia menjadi sebab tenaga mereka terbatas. Oleh itu, jika ingin melakukan sesuatu pekerjaan yang menggunakan tenaga, mereka memerlukan bantuan golongan yang muda.

Bantuan yang dihulur dengan ikhlas oleh golongan muda patut diberi pujian. Namun, lain pula yang berlaku di Pulau Jeju, Korea Selatan apabila seorang lelaki ditangkap atas tuduhan membunuh kerana membantu seorang warga emas.

Sebelum kejadian, lelaki berusia 33 tahun itu pergi ke kedai roti di Seogwipo dan ternampak seorang nenek tua sedang berusaha untuk membuka pintu. Melihat keadaan wanita tersebut, lelaki itu bergegas ingin membantu.

Malangnya, wanita yang sedang memegang tombol pintu tiba-tiba terjatuh ke lantai dan mengalami cedera parah. Setelah seminggu tidak sedarkan diri, nenek tua tersebut disahkan meninggal dunia disebabkan kerosakan teruk pada bahagian otaknya.

Berikutan itu, perbuatan lelaki tersebut yang membuka pintu dianggap sebagai perbuatan yang menyebabkan kematiannya. Menerusi rakaman CCTV, jelas kelihatan bahawa nenek tua tersebut bersusah-payah cuba untuk membuka pintu.

Memetik kata-kata lelaki itu kepada pegawai polis, dia cuma membantu nenek tua tersebut membuka pintu.

“Saya cuma nak tolong nenek yang tidak dapat membuka pintu, tetapi saya minta maaf kerana ini berlaku,” kata lelaki itu kepada pegawai polis yang menjalankan siasatan.

Disebabkan kejadian tersebut, lelaki tersebut telah didakwa melakukan pembunuhan ke atas seorang mangsa, warga emas sehingga menyebabkan kematian.

Sumber: NEXTSHARK

Sumber : SiakapKeli