Hakim Mahkamah Benarkan Pesalah Pergi Bercuti Sebelum Dipenjarakan

Seorang hakim mahkamah telah bersetuju untuk menunda hukuman seorang lelaki yang telah disabitkan atas kesalahan memiliki dadah dan senjata, dengan menyuruhnya pergi bercuti dahulu sebelum lelaki itu menjalani hukumannya.

Lelaki yang berusia 51 tahun itu telah ditahan di Newport pada oktober lalu. Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atasnya, polis telah menemui dadah jenis kokain, ecstasy dan ganja serta pistol elektrik.

Lelaki tersebut hadir ke mahkamah Cardiff Crown pada isnin dan mengaku bersalah untuk dakwaan yang dikenakan ke atasnya.

Namun, ianya menjadi sesuatu yang luar biasa dan jarang-jarang terjadi apabila hakim mahkamah Jeremy Jenkins bersetuju untuk membenarkan lelaki tersebut pergi bercuti ke Pulau Canary, Tenerife terlebih dahulu sebelum lelaki itu menjalani hukumannya.

Menurut satu laporan yang didedahkan oleh The Daily Telegraph, hakim tersebut telah memesan kepada lelaki itu supaya tidak menghampakannya.

Lelaki tersebut telah dilepaskan dari hukuman penjara serta-merta selepas hakim mendengar hujah yang diberikan oleh peguamnya, Hasim Salmman. Dalam perbicaraan itu, peguamnya meminta supaya pihaknya diberikan sedikit masa untuk menyediakan laporan mengenai hukuman yang dikenakan ke atas anak guamnya itu.

Permintaan tersebut walau bagaimanapun telah ditolak oleh hakim mahkamah, selepas itu Salmman bertindak cuba meminta untuk anak guamnya itu diberi pelepasan bercuti ke Tenerife terlebih dahulu kerana dia mendakwa bahawa anak guamnya itu telah pun menempah segala persiapan percutiannya itu.

Setelah menimbang permintaan yang dibuat peguam tersebut, hakim mahkamah itu bersetuju dan telah menetapkan tarikh baharu perlaksanaan hukuman tersebut yan akan dijalankan dan menyatakan bahawa beliau bertindak sebegitu atas dasar belas kasihan.

Lelaki tersebut bakal menghadapi hukuman penjara maksimum iaitu selama sepuluh tahun untuk kesalahan memiliki pistol elektrik.

Walau bagaimanapun, tindakan yang dilakukan hakim mahkamah tersebut mendapat bantahan serta kecaman dari orang ramai yang menyatakan bahawa tindakan hakim tersebut boleh menjatuhkan kredibiliti mahkamah kepada mangsa-mangsa jenayah yang lain.

Harry Fletcher yang merupakan seorang aktivis bagi kempen membantah keputusan hakim itu menyatakan bahawa: ‘Ianya adalah sesuatu yang luar biasa dan belum pernah saya saksikan lagi sebelum ini untuk seorang hakim mahkamah menangguhkan hukuman kepada pesalah yang melakukan kesalahan berat diberi pelepasan untuk menikmati percutian sebelum dijatuhkan hukuman terlebih dahulu.

Hakim mahkamah tersebut menyatakan pada lelaki itu bahawa: ‘Anda telah mengaku bersalah atas kesemua tuduhan yang dilakukan terhadap anda. Oleh sebab itu, saya percaya pada anda. Jangan hampakan kepercayaan saya pada anda.’

Lelaki tersebut dijadulkan untuk hadir ke mahkamah semula pada 31 Mei ini.

Seorang jurucakap untuk badan kehakiman tersebut menyatakan: ‘Setiap hakim mengambil kira faktor-faktor yang berbeza apabila hendak menjatuhkan sesuatu hukuman atau menetapkan skala masa untuk hukuman dijalankan.’

Sumber: Daily Mail

Sumber : SiakapKeli