Keringat Peneroka Takkan Tiada Nilai?

Para peneroka FELDA merupakan tunjang utama bagi kelestarian
pengeksportan minyak sawit. Pada kadar semasa, 44% minyak sawit di pasaran
global datang dari Malaysia. Sebahagian besar daripadanya merupakan komitmen
daripada FELDA yang diusahakan seramai puluhan ribuan peneroka (yang sudahpun
mencecah angka 110,000 pada tahun 2018).

Pada hari ini, seramai 112,635 peneroka dinaungi FELDA [1].
Masing-masing memainkan peranan meluas bagi menjaminkan kerelevanan Malaysia
dalam perdagangan sumber boleh diperbaharui ini. Disebabkan itu saya Ahmad
Faezal berpendapat keringat mereka perlu digantikan air. Keluar menjelang Subuh
dan balik sebelum Zohor, ada yang kembali selepas Asar pun. Siang dan malam
bertarung nyamuk, ular dan babi hutan – semata-mata untuk sesuap nasi bagi
menjayakan eksperimen Tun Abdul Razak, walaupun harga komoditi kian menjunam.

Disebabkan itulah para peneroka FELDA layak menerima Bonus
Aidilfitri. Pada tahun 2016, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan bonus
sebanyak RM500 kepada setiap peneroka FELDA [1]. Bagi tahun seterusnya, bonus
ini naik ke jumlah RM780 [2]. Dan tahun 2018 menyaksikan pengembalian Dr.
Mahathir Mohamad ke pentas politik tertinggi. Beliau mengumumkan bonus raya
berjumlah RM450 [3].

Bagi tahun ini, Azmin Ali mengatakan kerajaan tiada keputusan untuk memberikan Bonus
Aidilfitri kepada peneroka FELDA [4]. Bagi yang memahami kepentingan FELDA,
sesiapa pun akan terkesan dengan kenyataan sedemikian. Keutamaan kerajaan kata
beliau adalah untuk memastikan amaun sara hidup dan pendahuluan dibayar
sebelum Aidilfitri.

Sebagai rumusan, senang kata amaun sara hidup dan
pendahuluan adalah ‘pembayaran gaji’ yang sememangnya suatu prosedur bulanan. Sekarang ini Malaysia
bukan sebuah negara yang sedang membangun daripada bencana nuklear atau
kepupusan besar-besaran. Semua orang tahu yang pembayaran gaji ialah komitmen
berpanjangan. Kalau FELDA perlu kerajaan untuk memastikan PROSEDUR BULANAN,
maka tidak pasti siapa yang sebenarnya sedang tembak kaki sendiri: FELDA,
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi atau Azmin Ali sendiri.

Alasan yang digunakan ssekali lagi ialah keadaan kewangan
negara. Tetapi tahun lepas kerajaan boleh sahaja berikan FELDA (dan FELCRA)
bonus Aidilfitri. Ekonomi pula tidak mendap. Sebaliknya Malaysia berkembang
sebanyak 4.7% bagi 2018 [5]. Dan tahun lepas Malaysia mengeksport minyak sawit
sebanyak 17.6 juta metrik tan [6], dengan perolehan barangkali mencecah RM80
bilion [7] yakni 7% daripada jumlah pengeksportan.

Maka keadaan kewangan negara tidak lagi sesuai (dan tidak
pernah sesuai) dijadikan alasan untuk berkira dengan para peneroka FELDA. Andai
kata bonus tahun lepas diulangi, kerajaan hanya perlu mengeluarkan RM50.69 juta
sahaja… apalah sangat untuk digandingkan dengan perolehan hampir RM80 bilion.

Memanglah FELDA mempunyai masalah aliran tunai, bersertakan
hutang besar dan kerugian RM1 bilion bagi FGV [8]. Namun doktrin “peduli
rakyat” merupakan legasi paling besar boleh dipelajari daripada segala dakyah
dan manifesto kerajaan. Inilah masa paling sesuai untuk dipersembahkan. Kerana
majoriti besar para peneroka akan menghabiskan amaun ini untuk perbelanjaan
domestik sahaja: (1) bahan api [PETRONAS (royalti)/Shell dsb. (cukai)], (2)
baju raya [Jakel, Kamdar dsb (cukai)], (3) barang basah [IKS & Tesco/Giant
dsb (cukai)] dan sebagainya.

Akhirnya kerajaan boleh memungut semula melalui royalti dan
cukai. Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk mendesak U-Turn dalam perkara
ini. Maka wahai Azmin Ali, disebalik keringat, darah dan ancaman, takkan RM450
pun tidak boleh diberikan sebagai ganjaran?

Kredit Gambar: ASTRO AWANI

[1] https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/06/22/duit-raya-peneroka-felda

[2] https://www.bharian.com.my/node/291669

[3] https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/06/347537/duit-raya-peneroka-felda-selasa-ini

[4] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/05/566898/tiada-duit-raya-peneroka-felda-setakat-ini-azmin

[5] https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/02/15/growth-beats-forecasts/

[6] https://www.statista.com/statistics/620219/palm-oil-export-volume-worldwide-by-country/

[7] https://www.theedgemarkets.com/article/palm-oil-export-revenue-poised-hit-rm80b-2018

[8] http://www.astroawani.com/berita-bisnes/felda-global-ventures-rugi-rm1-bilion-199835

The post Keringat Peneroka Takkan Tiada Nilai? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots