Apa Kaitan Makanan dan Migrain?

Di internet macam-macam jenis makanan, diet, dan tips
kurangkan migrain sampai tak tahu mana satu fakta, mana satu mitos. Kajian
berkenaan migrain dan makanan sebenarnya sudah lama dilakukan sejak puluhan
tahun dan kajian terus dikemaskini dari tahun ke tahun. 

Saintis masih belum memahami apakah punca sebenar migrain
dan kaitannya dengan makanan. Banyak hipotesis dan teori dibentangkan tetapi
tidak semuanya terbukti berkesan kepada semua pesakit. 

Oleh itu, jika anda mempunyai migrain, tiada cara lain,
perlu bereksperimen sendiri untuk mengenal pasti apakah punca sakit kepala
tersebut. Jom lihat beberapa hasil kajian setakat ini berkenan makanan dan
migrain.

1.  Makanan tinggi garam & MSG

Saintis Jepun cuba mengaitkan sakit kepala dan MSG melalui
kajian sistematik reviu tapi tidak
menemui kaitan yang kuat
. Tetapi satu kajian di Amerika dilakukan ke atas
pesakit darah tinggi yang selalu sakit kepala. Diet rendah garam diamalkan
selama 30 hari berturut-turut dan didapati rasa sakit kepala berkurang
sepanjang eksperimen.

Walaupun kajian ini fokus kepada pesakit darah tinggi, tak
salah kalau anda yang ada migrain mencuba diet rendah sodium dan lihat ada tak
perubahan? Dalam masa sama risiko darah tinggi juga boleh dikurangkan. 

Ini antara langkah yang patut dilakukan untuk kurangkan sodium dalam diet:

  • Kurangkan penambah rasa dalam masakan seperti
    kiub perasa, belacan, sos tiram, ajinamoto. Kalau nak letak juga, cuba kurangkan
    garam. 
  • Jangan makan sangat makanan proses seperti
    sosej, nugget, mi segera, keropok, kerepek, papadom dll.
  • Hadkan belacan, cencalok, ikan masin, telur
    masin, ikan bilis, jeruk buah
  • Kurangkan hirup sup atau kuah banjir. Ambil
    sedikit saja untuk kawal pengambilan garam. 
  • Kurangkan makan di luar kerana biasanya makanan
    luar tinggi MSG dan garam

2.  Makanan tinggi lemak tepu

Lemak tepu daripada makanan didapati boleh meningkatkan
hormon prostaglandin. Hormon ini dipercayai memainkan peranan semasa serangan
migrain berlaku. 

Jadi, saintis cuba nak kaitan lemak tepu dan serangan
migrain. Setakat ini, ada dua eksperimen berkualiti tinggi yang mengkaji kaitan
diet rendah lemak dan migrain. Kedua-dua eksperimen ini mendapati pesakit
kurang sakit kepala apabila makanan tinggi lemak tepu dielakkan. 

Tapi eksperimen ini banyak kelemahannya dari segi kekuatan
bukti. Pendek kata, tidak cukup bukti yang
kukuh
bahawa diet rendah lemak mengurangkan serangan migrain.

Tetapi ada baiknya kurangkan pengambilan makanan berlemak
tepu seperti lemak daging, kulit ayam dan makanan bergoreng. Makanan tinggi
lemak tepu meningkatkan kolesterol dan risiko sakit jantung! 

3.  Kopi dan coklat

Sebuah kaji selidik yang menarik telah dilakukan oleh
Universiti Malaya pada tahun 2018 berkenaan dengan diet dan migrain. Keputusan
daripada kaji selidik tersebut mendapati
bahawa kopi dan coklat merupakan trigger
migrain yang utama
dalam kalangan pesakit migrain di Malaysia. 

Sebab akibat (kaitan kopi dan coklat vs migrain) daripada
kajian ini tidak dapat dikenal pasti kerana ia hanyalah kaji selidik (survey). Tetapi satu eksperimen yang
dilakukan di Belanda melaporkan bahawa 90% daripada pesakit dalam eksperimen tersebut
hilang sakit kepala apabila semua sumber kafein dibuang terus daripada diet.
Mungkin anda boleh mencubanya?

Antara sumber makanan yang tinggi kafein ialah:

  • Kopi 
  • Coklat (semua jenis makanan yang mengandungi
    koko)
  • Minuman Berkarbonat
  • Teh 

4.  Ketogenik diet (diet keto) boleh kurangkan migrain?

Apa itu ketogenik diet? Boleh baca ulasan saya tentang diet
ini disini:  https://www.thepatriots.asia/apa-itu-diet-ketogenik/

Ringkasnya diet keto ni berlawanan dengan diet rendah lemak.
Diet ni sangat tinggi dengan lemak, hampir 60-80% makanan dalam sehari adalah
lemak! 10% sahaja karbohidrat. 

Saintis berhipotesis bahawa apabila otak kekurangan gula
(daripada karbohidrat), lemak akan digunakan sebagai tenaga. Bila ini terjadi,
aktiviti sel di dalam otak berubah dan dilaporkan serangan migrain akan
berkurang. 

Menariknya, eksperimen diet keto dan migrain ini sudah
dicuba sejak tahun 1928 lagi! Banyak eksperimen yang menunjukkan kesan positif. Tapi masalah besar diet ini, ia
sangatlah susah untuk diamalkan dalam jangka panjang!

Siapa sanggup hidup tanpa roti?
nasi? mi? kebanyakan buah pun tak boleh makan! Selain daripada kos yang agak
tinggi, pilihan makanan pun terhad. 

Tapi kalau anda nak cuba diet keto, tiada masalah untuk
mengamalkannya dalam jangka masa yang pendek. Cuba selama beberapa minggu,
kemudian perlahan-lahan masukkan semula karbohidrat ke dalam diet seperti
langkah berikut;

  1. Kawal jumlah karbohidrat. Makan segenggam sahaja setiap
    kali makan.
  2. Jauhi benda manis.
  3. Pilih karbohidrat yang sihat seperti nasi perang (brown rice), roti wholegrain, mi wholegrain,
    barli, quinoa. 
  4. Kurangkan karbohidrat yang kurang berkualiti seperti
    nasi putih, roti putih, mi kuning, kentang goreng.

Tak salah berikhtiar, tapi jangan sampai memudaratkan!
Dapatkan nasihat pakar sebelum mencuba diet keto. 

5.  Diet rendah Tyramine

Pada tahun 1950, saintis menemui hubung kait antara sakit
kepala dan makanan tinggi tyramine. Tyramine merupakan sejenis bahan semula
jadi yang terdapat di sebahagian makanan. 

Di dalam badan kita terdapat sejenis enzim khas yang akan
menyingkirkan tyramine di dalam badan. Namun begitu, sebahagian pesakit migrain
didapati mengalami kekurangan enzim ini dan tyramine tidak dapat disingkirkan
dengan efisien. 

Tyramine yang berlebihan di dalam badan didapati menyebabkan
sakit kepala bertambah teruk. Tetapi
tidak semua pesakit migraine sensitif terhadap tyramine.
Oleh itu, anda
perlu bereksperimen sendiri.

Antara makanan yang tinggi tyramine serta digalakkan untuk
dijauhi adalah;

  • Makanan yang diawet dan dijeruk (cencaluk,
    belacan, jeruk dll.)
  • Makanan proses tinggi garam dan perasa (nugget,
    sosej, salami, smoked salmon/duck dll.)
  • Keju lama (aged cheese) yang mempunyai bau yang
    kuat
  • Kicap cair masin, perasa miso, sos teriyaki
  • Semua
    jenis kekacang (kacang tanah, kacang parang, kacang kuda, badam, mentega kacang
    dll.)  Minuman
    beralkohol
  • MSG

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang senarai makanan dan
amalan diet rendah tyramine, boleh muat turun risalah berikut: Low Tyramine Headache Diet (https://headaches.org/wp-content/uploads/2018/02/237149311-Low-Tyramine-Headache-Diet-from-the-National-Headache-Foundation.pdf)

6.  Kurangkan berat badan boleh kurangkan migrain?

Banyak kajian membuktikan obesiti dan sakit kepala ada kaitan yang kuat! Pesakit yang
mempunyai berat badan berlebihan didapati lebih kerap mendapat serangan migrain
berbanding pesakit yang mempunyai BMI yang normal. 

Saintis berhipotesis bahawa ini berpunca daripada lemak
berlebihan di dalam badan. Lemak badan akan menghasilkan protein-protein yang
boleh menyebabkan sakit migrain. Kajian mendapati, apabila pesakit berdiet
sehingga berat badan turun, sakit kepala juga berkurang. 

Oleh itu, jika anda mempunyai migrain dan berat badan sudah
terlebih, ada baiknya jika anda berdiet bermula daripada sekarang. Bukan sahaja
serangan migrain berkurang, anda juga boleh mengurangkan risiko darah tinggi,
diabetes dan sakit jantung. Badan pun slim!

7. Sebab-sebab migrain lain yang tidak berkaitan dengan makanan (menurut Kementerian Kesihatan Malaysia)

  • Kurang rehat dan tidak cukup tidur
  • Tertekan dengan kerja dan keadaan sekeliling
  • Selalu skip
    makan atau jadual makan tidak menentu

Jika anda mengalami keadaan di atas, serangan migrain akan
kerap berlaku! Tetapi perlu ingat, sakit kepala itu bukan berpunca daripada
migrain sahaja. 

Ramai
pesakit menganggap sakit kepala hanyalah migrain biasa tetapi apabila tekanan
darah diperiksa, sebenarnya mereka telah mengalami tekanan darah tinggi
sehingga perlu mengambil ubat!

Jika anda mula sakit di bahagian leher, dada, otot muka tidak boleh bergerak, atau lemah badan, besar kemungkinan ia serangan STROK atau SAKIT JANTUNG! Pergi ke hospital dengan segera!

Sumber rujukan.

Rumusan kajian berkenaan migrain dan diet:

Orr, S. L. (2016). Diet and
nutraceutical interventions for headache management: A review of the evidence.
Cephalalgia: An International Journal of Headache, 36(12), 1112-1133. doi: https://doi.org/10.1177/0333102415590239

MSG dan migraine

Obayashi, Y., & Nagamura, Y. (2016). Does
monosodium glutamate really cause headache? : A systematic review of human
studies. The Journal of Headache and
Pain,17
(1). doi:
https://doi.org/10.1186/s10194-016-0639-4

Kafein dan migrain:

Tai, M. S., Yap, J. F., & Goh, C. B. (2018). Dietary
trigger factors of migraine and tension-type headache in a South East Asian
country. Journal of Pain
Research,Volume 11
,
1255-1261. doi: https://doi.org/10.2147/JPR.S158151

Couturier, E., Laman, D., Duijn, M. V., & Duijn, H. V.
(1997). Influence of Caffeine and Caffeine Withdrawal on Headache and Cerebral
Blood Flow Velocities. Cephalalgia,17(3), 188-190. doi: https://doi.org/10.1046/j.1468-2982.1997.1703188.x

Jenis diet dan kesannya kepada migrain (keto diet, low fat diet, elimination diet etc.):

Slavin, M., & Ailani, J. (2017). A Clinical Approach to
Addressing Diet with Migraine Patients. Current Neurology and Neuroscience
Reports, 17(2). doi: https://doi.org/10.1007/s11910-017-0721-6

Keto diet dan kesan kepada aktiviti otak pesakit migrain:

Lorenzo, C. D., et. al. (2016). Cortical functional
correlates of responsiveness to short-lasting preventive intervention with
ketogenic diet in migraine: A multimodal evoked potentials study. The Journal
of Headache and Pain, 17(1). doi: https://doi.org/10.1186/s10194-016-0650-9

The post Apa Kaitan Makanan dan Migrain? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots