Al-Quran Buku Paling Laris Abad Ke-18 Amerika

Tidak ramai tahu, agama Islam sudah berakar umbi di Amerika Syarikat sekurang-kurangnya sejak beberapa abad yang lalu. Keadaan ini berlaku menerusi hamba-hamba berdarah Afrika yang dibawa ke negara Uncle Sam itu untuk diperdagangkan dan dipaksa bekerja dalam keadaan yang menyedihkan. Tetapi siapa sangka Kalamullah atau al-Quran terjemahan amat popular dalam kalangan penduduk Protestan di England dan koloni Amerika Syarikat pada abad ke-18 dengan salah seorang pemiliknya ialah salah seorang pengasas Amerika, Thomas Jefferson.

Awal tahun ini, ia menjadi tumpuan berita apabila Ahli Kongres Rashida Tlaib mengumumkan mahu menggunakannya semasa upacara angkat sumpahnya. Walaupun beliau kemudian menggunakan al-Quran kepunyaannya semasa upacara angkat sumpah, al-Quran milik Jefferson bukan pertama kali digunakan semasa upacara berkenaan. Ia digunakan buat kali pertama pada tahun 2007 semasa upacara angkat sumpah Ahli Kongres pertama beragama Islam, Keith Ellison.

Tetapi mengapa minat orang ramai terhadap al-Quran sangat meluas pada abad itu? Menurut Profesor Denise A. Spellberg, seorang profesor sejarah dari Universiti Austin, ini berlaku atas dasar ingin tahu mereka terhadap Islam terutamanya Kalamullah itu. Beliau berkata, “Mereka melihat al-Quran itu sebagai satu kitab perundangan dan sebagai cara memahami Muslim di mana mereka mempunyai interaksi dan hubungan yang rapat dan konsisten termasuk sebahagian jajahan Empayar Turki Uthmaniyyah di Afrika Utara. Justeru, tidak hairanlah mengapa Jefferson membeli al-Quran terjemahan itu pada tahun 1765 semasa mempelajari undang-undang bagi memahami sistem perundangan Uthmaniyyah.

Dan terima kasih kepada kajian dan minatnya itu juga, ini mungkin mempengaruhi matlamat asalnya semasa mengeluarkan Statut Kebebasan Beragama Virginia. Statut tersebut merupakan satu jaminan perlindungan kebebasan beragama dari pelbagai agama termasuk Muslim seperti dinyatakan dalam buku autobiografinya. Tetapi perlu diingat, cadangan ini masih lagi bersifat teori bagi beliau. Ini kerana kebanyakan orang Eropah tidak sedar pengaruh Islam bukan terhad setakat wilayah jajahan Uthmaniyyah tetapi meliputi kerajaan-kerajaan lain yang bukan di bawah kawalan empayar itu. Ini bermakna mereka tidak sedar orang-orang yang mereka dagangkan dan perhambakan itu sebenarnya penganut agama yang mereka kaji itu.

Ada sejarah di sebalik terjemahan al-Quran milik Jefferson itu. Terjemahan al-Quran itu merupakan hasil kerja seorang peguam British bernama George Sale. Terjemahan yang dihasilkan Sale merupakan terjemahan pertama al-Quran dari Bahasa Arab ke Bahasa Inggeris dan terus kekal menjadi rujukan terjemahan al-Quran menjelang akhir abad ke-19. Dalam pengenalan terjemahannya itu, Sale mendedahkan terjemahannya itu bertujuan mengajar orang Protestan untuk berhujah dan memperlekeh kredibiliti Kalamullah. Dari segi teori, ia memang sepatutnya digunakan untuk tujuan pendakyahan.

Tetapi menurut Spellberg, aktiviti pendakyahan hanya berlaku di Timur Tengah dan Afrika pada akhir abad ke-19. Dan bagi orang-orang sezaman Jefferson, mereka tidak melihat ia sebagai bahan perbahasan agama. Tetapi sebaliknya, mereka melihat ia sebagai satu cara untuk mengenali agama syumul dan murni itu. Maka tidak hairanlah semasa abad ke-18, ia dianggap antara buku yang paling laris jualannya di sebalik 200 muka halaman pengenalan yang disediakan Sale.

Dan melihat kepada signifikannya al-Quran ini kepada sejarah Amerika Syarikat dan kaitannya dengan salah seorang pengasas negara itu, maka tidak hairanlah mengapa Ellison dan Rashida memilih mahu menggunakannya. Menurut Spellberg, al-Quran milik Jefferson itu bukan saja menegaskan bahawa agama Islam itu mempunyai sejarah yang panjang di negara Uncle Sam itu. Tetapi pada masa sama, ia juga menunjukkan bahawa ia juga merupakan agama orang Amerika.

RUJUKAN:

Little, Becky. (2019). Why the Quran Was a Bestseller Among Christians in 18th Century America. History. https://www.history.com/news/thomas-jefferson-quran-rashida-tlaib-keith-ellison

The post Al-Quran Buku Paling Laris Abad Ke-18 Amerika appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots