“Datang ‘Rumah’ Orang Kena Beradab, Bukan Biadab,” Kesal Sikap Individu Longgok Makanan, Baju Tak Hormat Gelandangan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Amalan tolong-menolong sangat digalakkan terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini yang menawarkan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Namun begitu, pihak yang menyumbangkan bantuan perlulah ikhlas dalam memberi.  Ini supaya sumbangan yang dihulurkan benar-benar bermanfaat buat golongan yang memerlukan.

Perkongsian yang dikongsi oleh saudara Radzi ini bermanfaat untuk dijadikan sebagai panduan.

DATANG KE RUMAH ORANG KENA BERADAB, BUKAN BIADAP

May 26, 2019 @ 01:30 – 02:15
Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Mungkin dah biasa sangat atau terlampau “cliche” ungkapan “niat baik tapi cara salah” atau “bukannya nak tolong, tapi nak syok sendiri”. Pada saya, apa yang saya lihat pagi tadi lebih kepada sikap kurang sopan, “ignorant” dan kurang adab di kalangan pemberi bantuan untuk golongan gelandangan.

Dalam tempoh 40 minit, untuk kawasan sepanjang tidak sampai 50 meter, ada LEBIH 15 kumpulan berasingan datang menjerit jerit, melalak lalak, terpekik terlolong “BAJU PEREMPUAN, BAJU BUDAK, SELUAR PANJANG, AIR TEBU, AIR KOTAK” dan bermacam macam lagi.

Baju dilonggok sahaja di atas persiaran jalan kaki dengan tiada aturan, kawalan atau susunan yang jelas.

Makanan di agih tanpa kawalan dan aturan kebersihan seperti penyediaan plastik sampah.

Ada yang menjerit jerit kononnya longgokan baju mereka lebih MANTAP dari kumpulan lain.

Ada yang melalak lalak kononnya makanan mereka lebih SEDAP dari kumpulan yang lain.

Berbalik kepada menjerit jerit tadi, saya kasihan sangat melihat anak kecil menangis dan mereka yang lanjut usia yang kelihatan lesu kerana tidak dapat tidur akibat jeritan AIR TEBU, BAJU CANTIK, BAJU RAYA. Bukannya seorang dua yang melalak. Macam hilang akal pun ada. Malah merasa lebih bangga kalau jeritan dia lagi kuat. Itu belum lagi kumpulan yang tiba tiba bersorak bila agihan sudah selesai.

Kita yang bagi bantuan bila masuk pukul 3am bolehlah balik, masuk bilik pasang aircond dan tidur nyenyak berdengkur sampai tegak matahari. Sedangkan, bagi golongan gelandangan ini, kaki lima adakah “bilik” mereka yang perlu dikosongkan sebelum siang menjelma. Jadi berapa jam sajalah yang ada untuk mereka menikmati tidur lena di waktu malam. Saya betul betul kasihan melihat anak anak kecil dan warga emas yang tidak dapat melelapkan mata tadi.

Jumlah baju terpakai yang dibawa pula memang “mode-nak-clear-almari”. Kalau ada 15 kumpulan, 12 daripadanya sudah tentu bawa pakaian. Apa GILANYA ini? Bukannya tidak nampak baju yang dah menimbun, namun datang lagi satu kumpulan dengan 8 beg IKEA menambahkan lagi longgokan. Besok? Lusa? Tulat macamana? Cara mengagih pula langsung tidak berhemah. Baju yang tidak diterima ditinggalkan begitu saja. Kenapa tidak diambil semula? Hendakkan rumah sendiri kemas, tetapi kenapa pula rumah orang lain yang kena bersepah?

Tunjukkanlah sikap hormat dan adab. Hendak menolong tidak bermakna kita ada “free ticket” untuk memekik melalak mengacau orang yang hendak tidur. Hendak menolong tidak bermakna kita ada “free ticket” untuk buat semak dan mengotorkan kediaman orang lain.

KEGILAAN INI MESTI DIHENTIKAN. Mereka pun manusia macam kita ada maruah dan harga diri. Mereka bukannya bahan tunggangan atau lombong untuk kita menambah pahala dan “like” di media sosial.

Kaki lima untuk kita adalah kediaman untuk mereka. Jaga adab bila datang ke rumah orang lain.

Saya meminta maaf jika ada yang terguris atau tersinggung.

Sumber: Mohd Radzi Jamaludin

Sumber : SiakapKeli