6 pekerja kontraktor LPT2 dibelasah penduduk kerana disangka pencuri lembu

Seramai enam pekerja kontraktor Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dibelasah penduduk kampung kerana disangka mencuri lembu milik penduduk. 
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 malam Sabtu, enam lelaki terbabit ditahan penduduk kampung yang curiga dengan kehadiran mereka di kawasan itu. Pemeriksaan pada van yang dinaiki mereka menemui seekor lembu di dalamnya, menguatkan lagi dakwaan itu. 
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim menjelaskan, kejadian itu berlaku kerana salah faham dan enam lelaki itu adalah pekerja kontraktor yang telah diarahkan oleh pengendali LPT2 untuk menangkap lembu itu yang berkeliaran bagi mengelak berlaku kemalangan. 
“Kejadian itu berlaku kerana salah faham apabila penduduk kampugn melihat mereka berada di kawasan susur keluar lebuh raya itu pada waktu malam. 
“Difahamkan, haiwan ternakan mereka sering hilang sebelum ini menyebabkan mereka menyangka kumpulan itu bertanggungjawab dalam kejadian kecurian yang berlaku,” katanya. 

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai untuk tidak mengambil tindakan sendiri dalam menghukum. Sebaik-baiknya serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut. 
Orang awam yang membuat tangkapan tidak sah dan mendatangkan kecederaan kepada orang yang ditahan boleh didakwa mengikut Seksyen 323, 324, 325 dan 326 Kanun Keseksaan. 
Sumber: Harian Metro

Sumber : TheReporter