Yandere: Ketaksuban Cinta Yang Membunuh

Pada 23 May 2019, berlaku kejadian percubaan bunuh oleh
wanita berusia 21 tahun terhadap teman lelakinya di bangunan kediamannya yang
terletak di Shinjuku Ward, Jepun. Pada 3.50 pm, wanita bernama Takaoka Yuka membawa
pisau dapur dan menikam temannya sekitar umur 20 hingga 30 tahun di bahagian
abdomen.

Takaoka Yuka yang berada dalam tahanan polis.

Kejadian berlaku di tingkat 5 bangunan kediaman, setelah
tikaman kedua, mangsa berjaya melarikan diri ke tingkat bawah. Takaoka kemudian
menelefon pihak polis bagi melaporkan kejadian tersebut. Setelah pihak polis
datang, mangsa hampir nyawa-nyawa ikan dengan dua tikaman manakala Takaoka
duduk di tepi mangsa.

Mangsa dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut dan pihak polis
telah menangkap Takaoka bagi siasatan lanjut. Takaoka ketika ditahan
menyatakan: “Saya juga nak mati”.

Kes cubaan membunuh ini amat aneh secara keseluruhannya.
Penjenayah menikam mangsa kemudian melaporkan kepada pihak polis untuk menyerah
diri. Dalam siasatan awal, motif cubaan pembunuhan ini adalah ketaksuban cinta
Takaoka terhadap teman lelakinya sehingga merasa ingin membunuhnya. Berikut ada
nota-nota tinggalan Takaoka yang penuh dengan ayat hiragana ‘Suki’, yang
bermaksud suka.

Dikatakan penjenayah menulis hiragana ‘suki’ menggunakan darah.
Di buku nota ini tertulis: “Mamo-kun, saya suka kamu sehingga saya rasa nak membunuhmu.”

Membunuh kerana sukakan pasangan? Ini kes aneh pernah saya
baca. Namun apa yang menarik dalam kes ini adalah reaksi netizen terutamanya
para otaku, iaitu seseorang yang mempunyai minat mendalam terhadap budaya Jepun
terutamanya anime, manga, dan permainan video. Otaku menyifatkan kelakuan
Takaoka ini mengambil karakter Yandere.

Yandere adalah karakter fiksyen untuk wanita di mana dia
berwatakan baik, mengambil berat, innocent, serta bermacam kelakuan baik namun
apabila masuk bab percintaan, dia boleh menjadi seseorang yang psikopat, kejam,
dan taksub dengan pasangannya. Apabila pasangannya didekati wanita lain, bunuh
adalah cara terbaik untuk menghilangkan cemburu wanita Yandere ini. Apabila
hubungan mereka mencapai suatu tahap yang kritikal, pembunuhan terhadap
pasangan berkemungkinan besar terjadi, seterusnya menamatkan hidupnya, konon
cinta mereka adalah abadi sepenuhnya.

Pemikiran Yandere adalah bersifat narsistik kerana dasar
ketaksubannya untuk memiliki pasangannya secara kekal dan tidak mahu
pasangannya berhubung dengan wanita lain bagi mengetahui bahawa dia
satu-satunya milik si Yandere sendiri. Wanita Yandere dikaitkan dengan
kepelbagaian personality bagi memahami perubahan kelakuan yang dialaminya
apabila masuk hal percintaan.

Menurut US Department of Health and Human Services, karakter
Yandere adalah kesakitan mental yang boleh mencederakan sesiapa, di mana ia
boleh bertindak ganas atau paling teruk melakukan jenayah terhadap orang lain.
Terma Yandere ini kemudian kerap digunakan dalam dunia media Jepun seperti
industri manga dan anime pada 1980 dan Yandere termasuk dalam jenis karakter
pada awal 2000-an.

Kembali kepada kes Takaoka, otaku melihat ke-yandere-an
Takaoka sama seperti watak Gasai Yuno dari anime Future Diary (Mirai Nikki).
Gasai Yuno terkenal dengan ke-yandere-nya dalam kalangan otaku sendiri sehingga
muncul sebuah meme mengaitkan dengan Takaoka yang semakin popular tular di
media sosial Facebook.

Meme yang semakin popular dalam media sosial.

Yang menarik perhatian saya adalah galeri cosplay Takaoka
ini. Bila dikaitkan dengan sifat Yandere Takaoka, saya dapat mengagak bahawa
dia cuba menghayati personaliti Yandere sehingga ia memakan dirinya. Selaku
otaku dia mesti mengetahui hal Yandere ini. Atau mungkin juga dia sememangnya
seorang psikopat sejak dulu lagi, taksub dengan percintannya.

Galeri foto Takaoka sebagai cosplayer mungkin dari latar belakang inilah yang mendorongnya untuk menghayati karakter Yandere.

Bagi saya, kewujudan karakter fiksyen Yandere ini lahir dari
realiti itu sendiri terutamanya dalam kisah-kisah percintaan yang bertepuk
sebelah tangan dan seterusnya si wanita menamatkan riwayat pasangan dan dirinya
bagi mengekalkan kesucian cinta mereka. Bukti yang jelas adalah dari kisah
lagenda Jepun iaitu Kiyohime.

Kiyohime adalah anak perempuan kepada tuan tanah atau ketua
kampong bernama Shoji yang tinggal di kawasan sungai Hidaka. Keluarga Kiyohime
amat kaya sehingga membuka tempat penginapan untuk para sami yang mengembara ke
biara untuk bertafakur.

Suatu hari, sami yang berwajah kacak bernama Anchin telah
jatuh cinta dengan Kiyohime. Namun atas tanggungjawabnya sebagai sami, Anchin
harus menjauhkan diri bagi bertemu cintanya lagi. Kiyohime mengamuk dan
berdendam dengan Anchin yang dia anggap telah melupakan percintaan mereka. Tiba
di Sungai Hidaka, Anchin meminta pemilik bot untuk menumpang dan menyeberang
sungai tersebut. Kiyohime datang dan terjun ke sungai setelah melihat Anchin
berada di pertengahan sungai. Kemarahan semakin mendadak sehingga Kiyohime
menjelma ke bentuk ular atau naga.

Anchin yang melarikan diri tiba di biara bernama Dojo-ji dan
meminta bantuan para sami. Para sami tersebut menyembunyikan Anchin ke dalam
sebuah loceng besar bernama Bonsho. Namun malang menimpa Anchin, Kiyohime dalam
bentuk naga dapat menghidu bau Anchin dalam Bonsho. Dia mengelilingi Bonsho itu
dan mengetuk beberapa kali dengan ekornya, seterusnya membakar loceng besar itu
sehingga Anchin meninggal dunia.

Lukisan penjelmaan Kiyohime oleh Yoshitoshi Tsukioka

Inilah kisah lagenda Kiyohime yang penuh tragis dalam
percintaan. Di Barat juga terdapat kisah yang hampir serupa iaitu kisah
mengenai tokoh mitologi bernama Brynhild ataun Brunhild. Kisah Brynhild ada dua
versi iaitu versi Norse dan Jerman. Dalam versi Norse Brynhild adalah seorang malaikat
pelindung atau Valkyrie kepada bapa dewa Odin manakala dalam versi Jerman,
Brynhild adalah ratu Iceland.

Walaupun ada dua versi namun penceritaannya hampir sama.
Brynhild tinggal di Gunung Hindarfjall yang dikeliling oleh api. Brynhild
sebenarnya dihukum oleh dewa Odin kerana dia melanggar peraturan sehingga Odin
murka. Suatu ketika, raja Burgundy iaitu Gunnar ingin melamar Brynhild maka dia
meminta bantuan Sigurd iaitu pemburu naga bagi menunaikan hajatnya. Tiba di
Gunung Hindarfjall, Gunnar tidak boleh melintasi api. Maka, Sigurd memberanikan
diri melintasi api sebagai wakil Gunnar.

Namun syarat untuk mengahwini Brynhild adalah seseorang yang
mampu melintasi api. Maka, Sigurd adalah orangnya namun dia telah berkahwin dan
terpaksa menyamar bagi memenuhi syarat Brynhild. Mereka berdua kemudian tidur
bersama dengan Sigurd memacakkan pedangnya di tengah-tengah katil sebagai
sempadan menjaga kehormatan Brynhild. Keesokkan paginya, mereka bertukar cincin
sebagai perikatan perkahwinan mereka. Gunnar dan Sigurd pulang dengan berita
dan menempatkan Brynhild ke istana Gunnar.

Gudrun, isteri Sigurd dan adik Gunnar mandi bersama Brynhild
di suatu kolam. Mereka berdua bersaing suami siapa yang paling berani. Namun
apabila Brynhild menyatakan suaminya mampu menyeberang api, Gudrun menjelaskan
perkara sebenarnya dan memulangkan cincin yang Brynhild berikan. Brynhild
merasakan cintanya dikhianati mengamuk dan memaksa semua kerabat diraja
berkumpul di istana. Sigurd menjelaskan perkara sebenarnya namun Brynhild masih
tidak mempercayai kata-kata Sigurd. Malah Brynhild dengan berani mengarahkan
Gunnar membunuh Sigurd. Gunnar membunuhnya dan merasa hampa. Brynhild merasa
gembira yang amat atas pembunuhan tersebut dan segera mencapai pisau,
seterusnya membunuh diri.

Brunnhild (1897) oleh Gaston Bussière

Byrnhild sebenarnya teramat sedih kerana cintanya hanya
semata-mata Sigurd dan merasakan cintanya tidak suci lagi atas pengkhianatan
Sigurd. Ini yang mendorong Brynhild membunuh diri. Kemudian mereka dikubur
secara bersebelahan.

Watak mitologi Kiyohime dan Brynhild semakin popular dalam permainan video Jepun terutamanya Fate/Grand Order (FGO). Mereka berdua dimanifestasikan sebagai Servant iaitu roh yang membantu Master dalam Perang Holy Grail.

Kedua-dua Servant ini ditanam dengan karakter Yandere: Kiyohime menganggap Master sebagai Anchin dan mengekori Master supaya tidak curang kepadanya dan Brynhild yang masih sayangkan Sigurd sehingga apabila Sigurd hadir dalam bentuk Servant, Brynhild wajib membunuhnya.

Kiyohime dari game FGO.
Brynhild dari game FGO.

RUJUKAN:

Andersson, Theodore M. (1980). The Legend of Brynhild.
Ithaca, NY: Cornell University. 

 “Japanese woman likes
man so much, she ‘couldn’t help’ but stab him in the tummy”.  Retrieved 26 May 2019. https://mothership.sg/2019/05/japanese-woman-stab-man/

Ueda Akinari (6 August 2012). Ugetsu
Monogatari or Tales of Moonlight and Rain (Routledge Revivals): A Complete
English Version of the Eighteenth-Century Japanese collection of Tales of the
Supernatural
. Routledge. pp. 252. Retrieved 26 May 2019.

“What Does Yandere Mean?” Retrieved 26 May 2019. https://www.dictionary.com/e/fictional-characters/yandere/

“Woman Stabs Male Acquaintance at Shinjuku Residence”.
Retrieved 26 May 2019. https://www.google.com/…/woman-stabs-male-acquaintance…/amp/

The post Yandere: Ketaksuban Cinta Yang Membunuh appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots