Modern Warfare – Kebangkitan Semula Call of Duty?

Beberapa jam
lepas, Activision dan Infinity Ward melancarkan trailer pengenalan kemasukan
terbaru francais Call of Duty iaitu Modern Warfare. Bagi peminat siri Modern
Warfare, pasti ramai menyangka ini merupakan kesinambungan Modern Warfare 3
yang menyaksikan pengganas antarabangsa Vladimir Makarov mati dibunuh Kapten
John Price dari Task Force 141. Hakikatnya, trailer ini sebenarnya memberi
petunjuk kepada permulaan semula dunia siri itu.

Jadi bagi yang belum menonton trailer ini, boleh menonton video di bawah:

Bagi yang
sudah menonton, pasti anda perasan masih ada kelibat watak yang kita kenali
seperti Price. Kelibat anggota pasukan khas bertaraf Tier One/Tahap Satu juga
masih ada seperti Special Air Service (SAS/Britain) dan Delta Force (Amerika
Syarikat). Dan tidak sah jika pihak musuh merupakan Ultranationalist tetapi
tidak diketahui sama ada ia masih meminjam elemen sama dari trilogi Modern
Warfare terdahulu atau meniru model kumpulan pengganas hari ini.

Justeru, apa yang mendorong Infinity Ward untuk kembali kepada siri yang mencetuskan kegilaan ramai satu ketika dahulu? Bagi pengarah naratif studio Taylor Kurosaki dan pengarah permainan solo Jacob Minkoff, kedua-duanya mahu melihat Modern Warfare dilihat lebih benar dan matang agar ia terus relevan dengan dunia hari ini.

Perlu diingat semasa Modern Warfare diperkenalkan melalui Call of Duty 4 – Modern Warfare, ia mengubah permainan penembak orang pertama (FPS) 360 darjah. Ini kerana permainan tersebut menggabungkan elemen filem aksi dengan plot yang bersifat realistik dan adakalanya bersifat kontroversi. Siapa tidak boleh lupa Modern Warfare 2 yang memperkenalkan kempen No Russian yang menyaksikan pemain menjadi sebahagian dari kempen ganas Makarov di Lapangan Terbang Antarabangsa Zakhaev. Atau sesetengah peringkat di mana pemain mengisi peranan sebagai mangsa insiden keganasan seperti serangan bom kimia di London (Modern Warfare 3).

Tetapi
selepas trilogi Modern Warfare, Call of Duty seolah-olah kehilangan arah dengan
mula condong kepada era peperangan yang bersifat futuristik dan terlalu
bergantung kepada genre sains fiksyen. Dan ini menjahanamkan sebarang cubaan
menghasilkan kisah yang bersifat bukan saja menarik tetapi menyentuh emosi para
pemain. Atas sebab itulah, bila menyedari plot sebegini berpotensi merosakkan
kualiti permainan, Treyarch memutuskan untuk tidak memasukkan ia dalam Call of
Duty: Black Ops 4. Tetapi menerusi permulaan semula Modern Warfare, Activision
dan Infinity Ward mahu mengembalikan Call of Duty sebagai medium penceritaan
yang kuat seperti dicapai trilogi Modern Warfare.

Dan atas sebab itulah menurut Kurosaki, ia merupakan satu langkah terbaik bagi Modern Warfare kembali ke asal-usulnya yang menekankan unsur realisme dalam permainannya. Menurut beliau, dunia hari ini jauh berbeza berbanding dunia tahun 2007, 2009 dan 2011 (tahun di mana trilogi Modern Warfare diperkenalkan) dan itu juga mengubah peraturan pertempuran hari ini.

Justeru, sebagai pencerita, mereka mahu meletakkan watak dalam situasi yang rumit dengan tekanan yang hebat serta bagaimana mereka bereaksi terhadap semua itu. Dan ini kadangkala mendorong mereka mengambil pilihan kabur dari segi moral, pilihan yang diperkenalkan buat kali pertama dalam Call of Duty: WW2. Selain itu, bagi memastikan kisah yang diceritakan bersifat realistik, kebanyakan plot dan senario diambil dari tajuk-tajuk berita utama tetapi disesuaikan mengikut perjalanan cerita permainan ini.

Jadi, usah terkejut jika permainan meletakkan anda dalam peranan yang berbeza. Jangan risau, anda masih memegang peranan operatif Tahap Satu seperti anggota Delta Force dan SAS atau lebih tepat Pasukan Bravo di bawah pimpinan Price. Ada masanya, anda memegang peranan sebagai pemberontak di sebuah negara Timur Tengah. Ini menyebabkan jenis pertempuran bagi dua jenis watak ini berbeza bukan saja dari segi bilangan tetapi juga dari segi taktik dan senjata api yang digunakan.

Dan tidak seperti Call of Duty: Black Ops 2, Modern Warfare memilih mengekalkan jalan cerita sedia ada tetapi pilihan yang dibuat pemain semasa kempen akan menentukan hala tuju sesebuah kempen. Menurut Kurosaki, ini akan memberi motivasi kepada pemain sama ada mementingkan kejayaan kempen tanpa mengambil kira kesannya atau memenuhi objektif kempen tanpa menjahanamkan kompas moral diri.

Perubahan
yang dibawa Infinity Ward kepada Modern Warfare bukan sekadar pada perubahan
cerita tetapi juga dari segi teknikal dan kualiti permainan pelbagai pemain
(multiplayer). Buat pertama kali dalam sejarah Call of Duty: Modern Warfare,
pemain multiplayer boleh bermain dengan rakan-rakan atau pemain-pemain lain
tanpa mengira platform permainan mereka seperti komputer atau PlayStation 4.
Kedua, Call of Duty juga memutuskan membuang pas musim tradisional mereka. Pas
ini amat diperlukan bagi mana-mana pemain multiplayer mendapatkan akses terbaru
kepada peta-peta multiplayer yang kadangkala menyusahkan pemain. Untuk Modern
Warfare, perkara tersebut tidak berlaku dengan semua peta multiplayer boleh
diakses pemain dengan percuma.

Dari segi
kualiti bunyi dan grafik, Infinity Ward mahu memastikan ia benar-benar
berkualiti, satu cubaan untuk mereplika kejayaan Call of Duty 4: Modern Warfare
– Remastered. Begitu juga dengan jenis permainan yang disukai sama ada
permainan solo atau multiplayer di mana tiada penalti akan dikenakan kepada
pemain yang lebih memilih satu mod permainan berbanding mod yang lain. Apa saja
perubahan yang dibuat pada sesebuah watak bersifat kekal dan boleh dibawa pada
semua mod permainan.

Mungkin ada
yang mengatakan ini satu lagi propa Activision selepas beberapa entri Call of Duty
sebelum ini gagal mengulangi kejayaan siri Modern Warfare. Tetapi melihat
reaksi ramai peminat dan penggiat permainan video terhadap trailer ini, lebih
elok jika saya tutup dengan kata-kata Price ini, “Bravo 6, going dark.”
Permainan ini akan berada di pasaran pada 25 Oktober 2019.

SUMBER

1. Webster,
Andrew. (2019). Call of Duty: Modern Warfare is a tense and daring reboot of
the beloved shooter series. TheVerge.com. https://www.theverge.com/2019/5/30/18644488/call-of-duty-modern-warfare-announced-release-date-trailer-ps4-xbox-pc

2. Hornshaw,
Phil. (2019). Call Of Duty 2019 Is Modern Warfare – What We Learned Visiting
Infinity Ward. Gamespot. https://www.gamespot.com/articles/call-of-duty-2019-is-modern-warfare-what-we-learne/1100-6467236/

The post Modern Warfare – Kebangkitan Semula Call of Duty? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots