‘Hampir terbabas di LPT2 gara-gara disuluh laser’

Seorang pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hampir terbabas angkara kanak-kanak yang tidak bertanggungjawab dalam satu kejadian yang berlaku baru-baru ini. 
Menurut aduan yang dikongsikan di laman Info Roadblock JPJ/POLIS, mangsa yang dalam perjalanan balik ke Perlis dari Dungun di LPT2 arah sebelum tol Kuala Terengganu, terganggu dengan sinaran laser hijau yang dipancarkan dari kereta di hadapannya. 
“Hampir terbabas di LPT2. Perjalanan balik ke Perlis dari Dungun masih jauh. Anak-anak dan isteri ada dalam kereta. Jalan licin dan hujan sepanjang perjalanan. Bawa lorong kiri kurang 80km/j. 
“Dia boleh main laser aim pemandu di tempat gelap. Sudahlah banyak kereta di atas highway. Bila sampai tol, berhenti tepi dia panggil nak tegur, dia buat-buat pekak, buat muka tak bersalah pandang depan. 
“Apalah bang, nyawa orang jangan buat main-main. Minta peronda LPT2 pantau kejadian ini,” katanya. 

Sementara itu di media sosial, netizen menyelar tindakan ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tidak mengawasi kelakuan anak mereka. 
Bagaimanapun, seorang wanita yang dipercayai ibu kepada kanak-kanak terbabit tampil memberikan penjelasan. 
“Kami tak sedar pun anak-anak main laser. Kalau sedar, kami berhenti tepi dah,” katanya. 

Sumber : TheReporter