Sennheiser GSP 670 Diumumkan – Fon Kepala Nirwayar Pertama Dari Sennheiser

Fon kepala nirwayar menyelesaikan masalah wayar yang berselirat di dalam beg atau meja. Dengan kualiti audio nirwayar yang semakin baik menerusi bluetooth, semakin banyak aksesori audio mula dikeluarkan oleh nama-nama besar. Di Computex, Sennheiser GSP 670 telah diumumkan. Ia adalah fon kepala nirwayar untuk permainan video pertama yang dikeluarkan oleh mereka.

Sennheiser GSP 670 menyokong tambatan secara bluetooth atau dongle khas USB. Menerusi dongle ini, lengah masa audio dapat dikurangkan ke sekitar 20ms. Dengan sekali caj, GSP 670 boleh berfungsi sehingga 20 jam. Pengecasan selema 7 minit pula memberikan kuasa sehingga 2 jam. Seperti fon kepala nirwayar moden, pengecasan dilakukan menggunakan port USB-C.

Terdapat sebuah mikrofon boleh laras pada bahagian sisi. Ia hadir dengan sistem pembatalan hingar dan dibisukan secara automatik apabila disimpan pada posisi menegak. Dua tombol audio berputar terletak pada fon kepala kanan dan kiri. Setiap tombol mengawal tahap kekuatan audio dari sumber dan juga mikrofon secara berasingan. Akhir sekali ia seberat 250 gram dengan pendakap telinga yang diperbuat daripada bahan kulit palsu leatherette. Sennheiser GSP 670 akan dijual bermula 1 Julai pada harga $350 (~RM 1042) sepasang.

Sumber : Amanz