Paparan Recovery iOS 13 Tidak Lagi Memperlihatkan Kabel Lightning – iPhone 2019 Dengan USB-C?

iOS 13 beta telah sedia diuji para pembangun dan banyak perkara menarik yang telah dijumpai oleh pengguna. Terkini, paparan mod recovery pada iOS 13 juga dilihat telah berubah, dengan sedikit petunjuk kecil yang bermungkinan fungsi baru untuk iPhone keluaran akan datang.

Pertama sekali apabila pengguna memasuki mod recovery, paparan ini tidak lagi memaparkan ikon iTunes, selepas Apple tidak lagi menyertakannya pada macOS Catalina. Sebagai alternatif, pengguna boleh menguruskan peranti secara terus daripada paparan Finder pada macOS terbaru ini.

Namun apa yang menarik, paparan kabel juga tidak lagi menunjukkan kabel Lightning seperti iOS sebelum ini. Pada iOS 13, paparan kabel ini menunjukkan kabel berupa USB-C, yang mana ia mungkin petunjuk kepada perubahan sambungan iPhone pada model akan datang.

Sekiranya paparan ini benar-benar dijadikan sebagai petunjuk, kita mungkin dapat melihat iPhone dengan USB-C seawal tahun ini. Namun ia hanyalah sekadar paparan recovery dan mungkin boleh berubah pada kemaskini iOS 13 beta pada akan datang.

Sumber : Amanz