Kekasih Untuk Disewa Di Jepun

Bagi
sesetengah daripada kita, kita terlalu sibuk dengan kehidupan seharian sehingga
kadangkala terlupa mahukan seseorang yang kita cintai dalam kehidupan. Situasi
ini membuatkan kita kadang-kadang merasa kesunyian dan mahukan peneman yang
sekurang-kurangnya memahami siapa diri kita. Di Jepun, mana-mana lelaki atau
wanita yang berhadapan dengan situasi ini melakukan satu perkara yang
mengejutkan iaitu menyewa kekasih. Ya, ini bukan komedi fiksyen taraf Hantu Kak
Limah atau Abang Long Fadil tetapi realiti yang berlaku di Jepun hari ini.

Bagi yang masih belum boleh mempercayai perkara ini, boleh rujuk video di bawah: https://www.youtube.com/watch?v=dLBNO33bMX0

Video
yang anda baru saja lihat tadi ialah pengalaman seorang lelaki bernama Max yang
keluar bersama seorang kekasih sewa bernama Shihomi atau panggilan manja
Shiho-chan yang dirakam oleh saluran YouTube, Asian Boss. Semasa ditemubual
dalam sesi temu janji itu, Shihomi mendedahkan syarikat tempat dia bekerja
mengenakan kos sewaan 6,000 yen (RM 230.05) sejam untuk sewa minimum dua jam.
Ini bermakna sekiranya anda mahu menyewa seorang teman wanita, kosnya boleh
mencecah 12,000 yen (RM 460.10). Bagi penyewa kali pertama, tiada kos dikenakan
bagi pemilihan teman wanita. Tetapi jika hendak memilih yang lain selepas
keluar buat kali pertama, maka penyewa dikenakan kos tambahan 2,000 yen (RM
76.68).

Menurut
Shiho, kekasih sewa sepertinya mendapat upah separuh daripada sewa yang
dikenakan dan menerima pelanggan dari pelbagai latar belakang termasuk yang
berumur pertengahan 20-an. Dia yang sudah bekerja dalam bidang ini selama enam
bulan turut menceritakan kebanyakan pelanggan ialah lelaki yang tidak pernah
mempunyai teman wanita atau keluar bertemu janji dan terlalu sibuk dengan
urusan kerja mereka. Dan selalunya lelaki yang menyewa khidmatnya ialah lelaki
pertengahan umur dan sudah bersara.

Tetapi
jangan mengada-ada dengan menyangka kekasih sewa seperti Shiho ini boleh didekati
macam orang biasa. Syarikat-syarikat yang mengadakan khidmat sewaan ini ada
beberapa peraturan yang perlu dipatuhi pelanggan seperti:


syarikat tidak akan menyewa kekasih kepada pelanggan yang mempunyai isu dadah
atau rumah kotor.


klien tidak dibenarkan berhubung secara terus dengan kekasih sewa.


tidak dibenarkan mengadakan hubungan seksual atau melakukan perkara-perkara
yang boleh menaikkan nafsu.


tidak dibenarkan memasang mikrofon atau kamera tersembunyi semasa bertemu janji
dengan kekasih sewa.


kekasih sewa tidak dibenarkan menerima tips dan hadiah-hadiah yang mahal.

Jadi,
mengapa syarikat-syarikat ini amat tegas dalam soal sebegini? Ini bagi
mengelakkan kekasih sewa seperti Shiho ini dilabel sebagai pekerja sektor
dewasa atau fuzoku. Fuzoku merujuk kepada pelbagai jenis pekerjaan sektor
dewasa dari pelayan bar hinggalah penari tiang dan pelacur. Selain itu, ini
membolehkan semua bentuk hubungan antara kekasih sewa dengan pelanggan masih
lagi bersifat profesional, selamat dan mesra. Ini kerana tidak semua yang
menyewa orang seperti Shiho untuk hubungan bersifat singkat, ada juga yang
berbuat demikian untuk menghilangkan rasa sunyi. Dan dalam sesetengah kes,
mereka juga membantu hikikomori (individu yang berkurung dalam rumah) untuk
keluar dan melihat dunia yang serba indah.

‘Semua orang boleh disewa’

Tetapi
khidmat sewaan ini tidak terpakai kepada kekasih sewa saja. Tahukah anda, ada
sebuah syarikat yang menawarkan khidmat sewaan keluarga seperti dipaparkan
dalam satu video yang menampilkan pengacara dan pelawak terkenal Conan O’Brien.
Masih kata ini satu pembohongan? Boleh rujuk video di bawah:

https://www.youtube.com/watch?v=vzaXw2ztCqU

Walaupun
video sebegini bersifat jenaka, hakikatnya ia menjadi antara industri penting
di Jepun lebih-lebih lagi dalam menangani isu bilangan warga emas yang semakin
meningkat di Jepun. Dan bagi salah seorang pemain industri, ia juga merupakan
satu peluang untuk mengubah stigma masyarakat terhadap kelompok pertengahan
umur di Jepun. Ini didedahkan oleh pengasas Ossan Rental, Takanobu Nishimoto
yang mengasaskan syarikat tersebut pada tahun 2012. Sebelum terlibat dengan
Ossan Rental, Nishimoto bekerja sebagai koordinator fesyen untuk individu dan pusat
beli-belah terkenal serta menjadi pengajar di sekolah-sekolah vokasional dan
universiti-universiti.

Satu
hari, beliau terdengar umpatan sekumpulan pelajar perempuan sebuah sekolah
tinggi berkenaan rupa lelaki pertengahan umur. Nishimoto berkata, “Pada masa
itu, saya baru sedar pandangan umum terhadap lelaki pertengahan umur sebagai
pengotor. Saya mahu melakukan sesuatu untuk memulihkan reputasi kami (lelaki
pertengahan umur) dan membuktikan bahawa kami bukan saja berguna tetapi hebat.”
Beliau kemudian mencipta satu laman sesawang dan meletakkan profil dirinya
bersama gambar dengan tawaran membantu sesiapa saja dalam pelbagai cara yang
mereka perlukan. Sejak itu, Nishimoto sudah mempunyai 3,000 klien yang
menggunakan khidmat syarikatnya.

Walaupun
dianggap sudah berjaya, beliau masih tetap menawarkan khidmat dirinya kerana
mahu memastikan keselamatan pelanggannya terjamin. Ini kerana ramai pelanggan
Nishimoto ialah wanita dan beliau mahukan mereka bukan saja selamat tetapi
dilayan dengan elok. Nak menyertai Ossan Rental bukan sesuatu yang mudah kerana
beliau bersama pasukan pengurusannya menapis mana-mana individu yang mahu
menyertai mereka termasuk sesi temuduga secara berhadapan. Jika ada calon yang
dianggap tidak layak, maka mereka akan ditolak seperti kes seorang warga emas berusia
82 tahun yang ditolak pihaknya atas alasan kesihatan.

Ketika
ini, syarikat mempunyai 78 pekerja lelaki pertengahan umur dan berada di
lokasi-lokasi sejauh Fukouka dan Aomori. Pekerja paling muda berusia 30-an
manakala pekerja paling tua pula berusia 70-an. Menurut Nishimoto, kebanyakan
orang mahu menyertai mereka kerana menganggap usahanya itu sebagai hebat dan
dapat menyumbang kembali kepada masyarakat. Salah seorang daripada pekerja
Ossan Rental ini ialah seorang pesara berusia 66 tahun bernama Hideki Nakahara.
Sebelum menyertai Ossan Rental, dia pernah berkhidmat bersama Japan Airlines
selama 34 tahun sebelum kemudiannya bekerja sebagai pembantu kanak-kanak
keperluan khas dan tutor program selepas sekolah.

Selepas
bekerja dengan Ossan Rental, Nakahara sudah berjaya mendapat lapan orang klien.
Setiap klien mempunyai masalah tersendiri dan individu seperti Nakahara cuba
menjadi pendengar yang baik. Kadang-kadang mereka perlu memenuhi peranan yang
dianggap pelik seperti tukang marah hikikomori dan penyamar pelbagai peranan
seperti saudara-mara atau kekasih gelap. Tetapi menurut Nakahara, mereka
sentiasa bersikap profesional dan cuba mengekalkan jarak antara mereka dengan
klien selepas sesi mereka selesai. Selagi mana jurang tersebut dihormati, ia
mewujudkan satu pasaran yang unik dengan kedua-dua klien dan lelaki pertengahan
umur seperti Nakahara mendapat manfaat dari semua ini.

Punca trend sewa individu

Jadi,
apa pendorong kepada kewujudan trend sebegini? Menurut Profesor Masahiro Yamada
dari Universiti Chuo, perkara sebegini bukan sesuatu yang asing bukan saja di
Jepun tetapi di beberapa negara Asia yang lain. Yamada yang dikenali kerana
memperkenalkan terma ‘parasit bujang’ kepada individu yang masih tinggal
bersama ibu bapa mereka pada tahun 90-an mendapati kebanyakan lelaki yang
berkunjung ke kelab-kelab malam dan maid cafe (sejenis restoran cosplay) hanya
mahukan perbualan bersifat kasual dan sedikit elemen godaan. Beliau berkata,
“Ramai orang sudah berkunjung ke tempat-tempat ini dan membayar untuk
mendapatkan keselesaan atau keintiman. Justeru, idea menyewa orang ini dilihat
tidak menimbulkan sebarang masalah pun.”

Tetapi
trend sebegini turut dipengaruhi oleh stigma rakyat Jepun dalam banyak isu
daripada jangkaan yang melampau hinggalah stigma berkenaan perkara-perkara
tertentu. Contohnya bagi golongan bujang yang sentiasa didesak oleh keluarga
untuk berkahwin dan mendapatkan anak. Bagi mengelakkan mereka sentiasa dileter
oleh ibu bapa atau saudara-mara, mereka menemukan keluarga dengan kekasih sewa.
Dan dalam sesetengah kes, sesetengah mengambil pendekatan radikal dengan
mengadakan majlis perkahwinan palsu dengan kos sebanyak dua juta yen (RM
76,684).

Namun,
ini tidak segila peminta maaf sewa. Ya, saya sebut sekali lagi: peminta maaf
sewa. Individu ini akan memohon maaf bagi pihak yang bersalah tanpa pengetahuan
pihak majikan. Dan kadangkala ini berlarutan sehingga membabitkan penyamar yang
menyamar sebagai pengerusi syarikat! Ada pula yang menyamar sebagai kekasih gelap
suami atau isteri dan memohon maaf kepada pihak berkenaan dengan harapan dapat
memulihkan semula hubungan. Tetapi situasi sebegini boleh bertukar menjadi
tegang dalam sekelip mata.

Wujudkah trend sewa individu di
Malaysia?

Trend
sebegini sudah wujud di Malaysia. Ya, jika anda terjatuh dari kerusi,
jawapannya memang ya. Sudah wujud satu syarikat bernama Rent A Friend yang
menawarkan khidmat rakan dengan kos RM37 sejam. Walaupun ia bertaraf
antarabangsa, sudah ramai warga Malaysia yang mendaftar dengan portal ini.
Ianya memang mengejutkan tetapi melihat kepada jangkaan melampau sesetengah
orang terutama saudara-mara lagi-lagi semasa perayaan seperti sambutan
Aidilfitri, tidak hairanlah mengapa ada yang sanggup berpaling kepada taktik
sewa sebegini termasuk sewa kereta mahal hanya semata-mata nak memuaskan
jangkaan sebegini.

Mungkin
di sinilah kita harusnya mengambil pengajaran daripada situasi sewa individu di
Jepun ini. Jangkaan melampau sebegini bukan saja menyusahkan ramai orang malah
mendorong orang mengambil jalan singkat hanya semata-mata nak menunjukkan diri
sudah berjaya. Biarlah orang nak mengata itu ini begitu begini. Sebab kita kena
ingat, perkara-perkara bersifat material ini kadang-kadang tidak menjamin
kebahagiaan yang dikatakan. Bahkan, ia boleh bikin kita tidak tidur lena pada
waktu malam. Bahagia itu merupakan kurniaan-Nya yang terindah dan hanya diberi
kepada hamba-hamba-Nya yang bersyukur.

RUJUKAN:

1.
van der List, Bobbie. (2018). The Women You Can Rent as Your BFF. Vice.com. https://www.vice.com/en_us/article/43b9bw/the-women-you-can-rent-as-your-bff

2.
Ito, Masami. (2018). Life for rent: Exploring the mysterious world of human
rental services in Japan. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/life/2018/04/07/lifestyle/life-rent-exploring-mysterious-world-human-rental-services-japan/

3.
Zainal, MK. (2019). In Japan, You Can Rent A Fake Family, Fake Boyfriends, Even
Fake Weddings. Stories.Travel360.com. https://stories.travel360.com/in-japan-you-can-rent-a-fake-family-fake-boyfriends-even-fake-weddings/

4.
McGee, Oona. (2019). Renting a girlfriend in Japan: Relationship goals or just
plain awkward? Japan Today. https://japantoday.com/category/features/lifestyle/renting-a-girlfriend-in-japan-relationship-goals-or-just-plain-awkward

5.
Simonitch, Steven. (2012). A Website in Japan Lets You Rent a Boyfriend For
$364. Gizmodo. https://gizmodo.com/a-website-in-japan-lets-you-rent-a-boyfriend-for-364-5966230

The post Kekasih Untuk Disewa Di Jepun appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots