iOS 13 Membolehkan Safari Menutup Tab Secara Automatik – Tiada Lagi Puluhan Tab Di Belakang Tabir

Kemaskini iOS 13 kelak dilihat ingin menambah baik pengurusan tab pada Safari, lebih-lebih lagi kepada pengguna yang kerap membiarkan sejumlah tab dibuka di belakang tabir. Melalui kemaskini iOS terbaru ini, ia membolehkan Safari menutup tab secara automatik mengikut masa yang ditetapkan oleh anda.

Ketika anda menutup kesemua tab yang sudah lama tidak digunakan, Safari akan mengeluarkan notis untuk membolehkannya menutup tab mengikut durasi tertentu. Tab-tab ini boleh ditutup secara automatik selepas satu hari, satu minggu, atau satu bulan selepas kali terakhir anda membuka tab tersebut.

Fungsi ini walaupun dilihat kecil, ia kelihatan sangat berguna, terutama bagi yang gemar membuka puluhan tab ketika melayari web. Anda tidak perlu lagi melihat tab yang pernah dibuka pada masa lalu sewaktu anda memulakan sesi pelayaran baru pada Safari.

Fungsi ini telah sedia dinikmati pada iOS 13 beta dan bakal hadir pada versi akhir bermula pertengahan September kelak. Bagi yang sedia menggunakan iOS 13 beta, anda juga boleh menuju ke Settings > Safari > Close Tabs > dan pilih durasi mengikut pilihan anda.

Sumber : Amanz