Membedah Watak The Riddler Dalam Karya Batman

The Riddler merupakan salah seorang watak penjahat yang
diperkenalkan dalam siri komik Batman And Robin berjudul Detective Comics isu
yang ke-140 pada Oktober 1948 oleh Bill Finger dan Dick Sprang.

Pengenalan

Edward E. Nygma, nama sebenar The Riddler, merupakan seorang
individu yang mempunyai pemikiran tahap genius dan keinginan untuk sentiasa
memperoleh kejayaan melebihi orang yang berada disekelilingnya. Edward Nygma
senantiasa mempunyai minat yang mendalam terhadap ujian, soalan dan teka-teki,
sehinggakan dia membentuk satu keinginan untuk perlu membuktikan bahawa dirinya
adalah yang terbaik dalam kalangan rakan-rakannya.

Edward mempunyai kisah silam yang traumatik sejak kecil apabila
dia sering dijadikan mangsa dera pukulan ayahnya sejak dari bangku sekolah
lagi. Pengalaman tragis ini membuatkan Edward membentuk sikap suka memberitahu
kebenaran dan kenyataan, yang mana semakin lama telah diterapkan didalam
pelbagai helah dan teka-teki yang dimilikinya.

Pernah suatu ketika, Edward mula terlibat dengan dunia
kejahatan dan jenayah apabila dia menganjurkan sebuah karnival untuk
mempamerkan teka-tekinya dimana dia boleh menguji kemampuan berfikir
orang-orang disekelilingnya. Setiap orang yang menghadiri karnival tersebut
akan dicabar untuk menyelesaikan soalan-soalan Edward, dan jika mereka berjaya,
akan memperolehi sejumlah ganjaran wang yang besar.

Akan tetapi, seandainya mereka tidak mampu menyelesaikannya,
maka merekalah yang perlu membayar sedikit nilai wang kepada Edward. Setiap
teka-teki yang diberikan Edward akan dirancang (fix) terlebih dahulu olehnya
agar setiap pengunjung yang mencuba tidak akan dapat menyelesaikannya. Penipuan
terancang ini diteruskan lagi sehingga pada suatu ketika, Edward merasakan
bahawa diri dan tipu helahnya adalah terlalu hebat untuk hanya dipersia-siakan
kepada golongan orang berfikiran rendah.

Sejak dari itu, Edward mula menjadikan Batman sebagai mangsa
tipu helahnya, memandangkan Batman merupakan antara individu yang dinobatkan
sebagai penyiasat terulung Gotham. Obsesinya terhadap teka-teki dan Batman
telah membentuk personaliti baharu, The Riddler yang semakin lama semakin
hilang nilai moral dan pegangannya. Edward menjadi semakin obses sehinggakan
dia sanggup melakukan apa jua jenayah, selagi mana jenayah tersebut mampu
diaplikasikan dalam bentuk teka-teki dan tipu helah, asalkan dia dapat menarik
perhatian Batman untuk terus menyelesaikan setiap teka-tekinya.

Menurut trait yang ditunjukkan oleh The Riddler, saya dapat
mengklasifikasikan The Riddler kepada 3 jenis kecelaruan dan masalah mental
utama, iaitu Obsessive Compulsive Disorder, Asperger’s Syndrome dan Narcissism.
Lebih ringkas, The Riddler adalah Obsessive Compulsive Narcissist Aspie.

Masalah Obsessive
Compulsive Disorder

The Riddler boleh dikategorikan sebagai seorang individu
yang mempunyai masalah kecelaruan mental yang dikenali sebagai Obsessive
Compulsive Disorder (OCD). Obsessive atau obsesi, adalah suatu pemikiran atau
keinginan yang terlintas dalam minda seseorang insan yang menyebabkan dirinya
merasakan risau, bimbang, resah seandainya tidak dilakukan atau disingkirkan
daripada mindanya. Kehadiran obsesi ini lazimya hadir tanpa sebarang kawalan
atau kehendak individu tersebut.

Compulsive pula adalah suatu desakan nafsu yang kuat yang
mendorong seseorang itu melakukan sesuatu yang difikirkan secara
berulang-ulang, berkali-kali untuk menyingkirkan perasaan obsesi yang
dialaminya. Individu yang didiagnos dengan masalah mental ini dicirikan dengan
mempunyai tatakelakuan yang berulang-ulang dan merujuk kepada keinginan
menyelesaikan suatu perkara sahaja semata-mata secara mendalam dan terlampau.

Dalam kes The Riddler, dia mempunyai dua obsesi yang jelas
kelihatan pada dirinya. Obsesi terhadap teka-teki dan kerumitan sesebuah
persoalan dan helah, serta keinginan untuk senantiasa menjadi ‘pemenang’ kepada
setiap teka-teki yang dihasilkannya.

Sikap sentiasa ingin menjadi yang terbaik dalam pelbagai
helah dan teka-tekinya membuatkan dia semakin obses terhadap keupayaan tahap
pengetahuan Batman terutama sekali ketika Batman sedang menyelesaikan kes-kes
jenayah di Bandar Gotham. The Riddler juga seringkali dipaparkan sebagai
terlalu teruja untuk menarik perhatian Batman dengan sengaja menunjukkan kepada
Batman bahawa jenayah yang dilakukan olehnya itu adalah miliknya sendiri
sebagai cabaran buat Batman.

Obsesi ini seterusnya menyebabkan Edward semakin hari
semakin hilang nilai moral dan terjerumus kedalam kancah dunia jenayah dan pembunuhan
hanya demi memuaskan ‘keinginannya’ berkenaan teka teki.

Autism Spectrum
Disorder – Asperger’s Syndrome

Selain daripada itu, The Riddler juga tergolong dalam
golongan kelainan mental autism, lebih tepat lagi, Asperger’s Syndrome atau
High-Functioning Autism. Menurut buku Diagnostic and Statistical Manual of
Mental Disorders 5 (DSM-5), individu dengan Asperger’s Syndrome dicirikan
dengan mempunyai tahap fokus dan kegigihan yang lebih tinggi dalam satu-satu
perkara, lebih terperinci dengan butir-butir khusus, kemampuan mengenali dan
mengecam corak dan bentuk sesuatu perkara.

Mereka juga seringkali menunjukkan sifat ketidakmampuan
bersosial dan berkomunikasi dengan baik, pergerakan yang tidak selaras,
seringkali cuai. Sebagai kefahaman mudah, individu dengan Asperger’s Syndrome
ditunjukkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi akan tetapi mempunyai
kemahiran sosial dan interaksi yang rendah atau sukar. Mereka juga kerap
mempunyai obsesi yang melampau terhadap satu-satu perkara dan berkelakuan
berulang-ulang, sama seperti OCD.

Sepertimana The Riddler, selain mempunyai masalah mental
OCD, dia juga digambarkan dengan sifat-sifat seorang penghidap Asperger’s
Syndrome yang mana dicirikan dengan tahap pemikiran genius ditemani perincian
terhadap setiap butiran dan corak, dengan tatakelakuan yang tidak stabil dan
tingkahlaku ‘giddiness’ sepertimana yang dilakonkan oleh Jim Carrey menerusi
filem Batman Forever (1995) karya Joel Schumacher.

Narcissist

Terakhir sekali, The Riddler dicirikan mempunyai masalah
mental narcissism yang tinggi atau sifat mengagungkan diri sendiri secara
terlampau dan kerap. Sifat narcissism ditunjukkan dengan kelakuan senantiasa
mahu perhatian orang disekeliling, tingkahlaku lagak yang tinggi dan terlampau
serta mementingkan diri, tiada sifat empati.

Ini ditunjukkan oleh The Riddler dalam setiap jenayah yang
dilakukan dimana kesemua kesalahan itu akan diselitkan beberapa teka-teki untuk
diselesaikan oleh Batman supaya Batman boleh mengetahui bahawa ianya adalah
‘hasil kerja’ hebat The Riddler. Secara asasnya, The Riddler ingin menunjukkan
kepada Batman dan Bandar Gotham bahawa dia jauh lebih hebat daripada Batman.

Maka dia merujuk kepada setiap jenayah yang dilakukannya
sebagai umpan untuk mendapatkan perhatian Batman. Akan tetapi, seandainya
setiap jenayah yang dilakukan olehnya tidak dapat diselesaikan oleh Batman dan
akhirnya dilupakan akibat dari tiada penyelesaian, maka The Riddler akan gagal
dalam memastikan namanya disebut-sebut sebagai penjahat Gotham terulung menandingi
Batman.

Maka dia terpaksa meninggalkan petanda-petanda disekitar
kawasan jenayahnya agar dia dapat ‘membantu’ Batman mencari dirinya. Pendek
kata, jika Batman tidak berjaya menyelesaikannya, maka lama-kelamaan nama The
Riddler akan terus dilupakan. Untuk mendapatkan ‘kemahsyuran’ itu, The Riddler
terpaksa memastikan Batman mampu menyelesaikannya dengan bantuan akan tetapi
takkan mungkin mampu menangkapnya.

Kesimpulannya, The Riddler adalah satu diantara pelbagai
penjenayah terulung di Bandar Gotham yang mempunyai pelbagai masalah status
mental dan kecelaruan identiti serta tingkahlaku. Masalah Obsessive Compulsive
Narcissist Aspie inilah yang mencorakkan The Riddler sebagai penjenayah yang
tiada empati dan merbahaya, namun unik dan genius sehingga The Riddler pernah
dinobatkan sebagai Penjenayah Buku Komik Terulung yang ke-59 pada tahun 2009
laman web Imagine Games Network (IGN).

Rujukan:

THE RIDDLER :

https://www.dccomics.com/characters/riddler

OCD :

https://iocdf.org/about-ocd/

ASPERGERS SYNDROME

https://www.autismspeaks.org/what-asperger-syndrome

NARCISSISM

https://www.helpguide.org/articles/mental-disorders/narcissistic-personality-disorder.htm

IGN :

https://www.ign.com/lists/top-100-comic-book-villains/59

The post Membedah Watak The Riddler Dalam Karya Batman appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots