Kad Grafik AMD Radeon 5700XT Dan AMD Radeon 5700 Kini Rasmi – Akan Tiba Di Pasaran Pada Bulan Julai Kelak

Di acara Computex Taipei minggu lepas, AMD telah mengacahkan kehadiran kad grafik terbaru mereka, siri AMD Radeon 5700 yang menggunakan cip pemprosesan Navi terbaru mereka.

Hari ini, di acara AMD Next Horizon gaming yang berlangsung pada hari ini, mereka telah berkongsi spesifikasi penuh siri kad grafik ini, yang terdiri daripada dua model, iaitu AMD Radeon 5700 XT dan juga AMD Radeon 5700, dimana kedua-duanya adalah kad grafik kelas berkuasa yang mampu menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi 1440p.

Spesifikasi dalaman kedua-dua kad grafik ini hampir serupa, dengan perbezaan paling ketara hanya dilihat dari segi unit perkomputeran (Compute Unit) dan kelajuan cip pemprosesan grafik.

Spesifikasi dalaman kedua-dua kad grafik ini adalah seperti berikut:

AMD Radeon 5700 XT
  • Unit Perkomputeran – 40
  • Pemproses Strim – 2560
  • Kelajuan asas – 1605MHz
  • Kelajuan gaming – 1755MHz
  • Kelajuan maksimum – 1905MHz
  • Memori – 8GB GDDR6
  • Sokongan PCIe – PCIe 4.0
AMD Radeon 5700
  • Unit Perkomputeran – 36
  • Pemproses Strim – 2304
  • Kelajuan asas – 1465MHz
  • Kelajuan gaming – 1625MHz
  • Kelajuan maksimum – 1725MHz
  • Memori – 8GB GDDR6
  • Sokongan PCIe – PCIe 4.0

AMD membina kad grafik ini menggunakan teknologi baru yang dinamakan Radeon DNA, ataupun RDNA dan proses 7nm yang membuatkan siri kad grafik ini hadir dengan prestasi 1.5 kali lebih berkuasa berbanding kad grafik AMD siri Vega, dan juga mempunyai penggunaan kuasa elektrik yang lebih cekap.

Kedua-dua kad grafik ini juga adalah kad grafik arus utama pertama yang hadir dengan sokongan untuk PCIe 4.0, dan dari segi kelajuan penghantaran data dua kali lebih pantas berbanding dengan PCIe 3.0, dan AMD menjanjikan bahawa kad grafik ini juga cukup berguna bagi mereka yang bekerja dengan kandungan video dengan resolusi tinggi dan saiz fail yang besar.

AMD turut memperkenalkan beberapa ciri baru pada siri kad grafik AMD Radeon 5700 ini, termasuklah Radeon Display Engine, dimana ia hadir dengan sokongan untuk FreeSync 2 HDR, yang akan menyokong paparan dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 120Hz dan 240Hz, sehinggalah resolusi 8K dengan kadar segar semula 60Hz.

Kedua-dua kad grafik ini juga hadir dengan rekaan penyejuk baru menggunakan satu kipas penyejuk dan sistem penyejukan vapor-chamber yang cekap dalam mengalirkan haba daripada komputer desktop yang mempunyai aliran udara yang bagus.

AMD berkata bahawa kedua-dua kad grafik AMD Radeon 5700 XT dan AMD Radeon 5700 ini akan tiba di pasaran dunia pada bulan Julai kelak pada tanda harga $449 untuk kad grafik AMD Radeon 5700X dan $379 untuk model AMD Radeon 5700.

Kedua-dua kad grafik ini akan tiba di pasaran dunia pada 7 Julai kelak, sama dengan pelancaran siri CPU AMD Ryzen 3000.

Sumber : Amanz