AMD Memperkenalkan CPU Ryzen 9 3950X – CPU Gaming Pertama Dengan 16 Teras Dan 32 Bebenang Kuasa

Pada minggu lepas, di acara Computex Taipei, syarikat pembuat cip pemprosesan AMD telah memperkenalkan siri AMD Ryzen 3000 terbaru mereka berdasarkan cip Zen 2 yang dibina menggunakan proses 7nm yang menjanjikan prestasi sekurang-kurangnya 15 peratus lebih berkuasa berbanding CPU AMD Ryzen generasi sebelum ini.

CPU-CPU tersebut terdiri daripada model-model seperti AMD Ryzen 5 3600, Ryzen 5 3600X, AMD Ryzen 7 3700X, AMD Ryzen 3800X dan juga siri terbaru AMD Ryzen 9 yang mempunyai model CPU AMD Ryzen 9 3900X, yang mempunyai 12 teras fizikal dan 24 bebenang kuasa yang boleh dilewahjam sehingga 4.6GHz.

Hari ini di acara AMD Next Horizon Gaming, Dr Lisa Su, CEO syarikat AMD memperkenalkan model CPU terbaru dan paling berkuasa mereka yang dinamakan AMD Ryzen 9 3950X. Model terbaru ini hadir dengan 16 teras fizikal dan 16 bebenang kuasa dengan kelajuan asas 3.5GHz dan kelajuan lewahjam 4.7GHz.

Menurut Dr Lisa Su, CPU ini dibina khas untuk golongan gamer yang gemar menstrim video permainan mereka di platform seperti Twitch dan YouTube, dan masih mahu bermain permainan-permainan tersebut pada resolusi yang tinggi menggunakan satu mesin sahaja.

CPU AMD Ryzen 3950X ini akan hadir dengan penyejuk AMD Wraith Prism yang mampu mengekalkan suhu CPU ini pada tahap optimum, disamping membenarkan pengguna melewahjam CPU untuk mendapatkan prestasi yang terbaik daripadanya.

AMD turut mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan CPU ini pada bulan September kelak untuk harga $749.

Sumber : Amanz