Mi Band 4 Dilancarkan – Skrin AMOLED Berwarna, Kawalan Suara, Harga Sekitar RM102

Xiaomi Mi Band adalah peranti boleh pakai yang boleh dikatakan agak popular. Ini kerana, Mi Band mempunyai banyak ciri dan fungsi menarik seperti penjejak kesihatan, kitaran tidur, pengimbas nadi dan banyak lagi dan dijual pada harga yang sangat murah. Mi Band yang pertama dilancarkan pada tahun 2014 dan sehingga tahun lepas sudah terdapat banyak variasi Mi Band, termasuk Mi Band 3 NFC.

Hari ini, Xiaomi telah secara rasminya melancarkan Mi Band 4 dan apa yang menarik dengan Mi Band 4 ini adalah, ia hadir dengan lebih banyak ciri dan fungsi dengan harga yang hampir sama dengan Mi Band 3. Mi Band 4 kali ini hadir dengan skrin AMOLED berwarna, dan tidak lagi menggunakan skrin OLED hitam/putih. Saiz skrin kali ini adalah sedikit lebih besar, iaitu 0.95-inci. Kemudian, Xiaomi turut menambah sokongan SWOLF – iaitu sistem menjejak pengguna ketika sedang berenang. Mi Band 4 juga kini mempunyai perlindungan air 50ATM dan tidak lagi terhad kepada IP68.

Paling menarik yang hadir pada Mi Band 4 kali ini adalah mikrofon terbina. Dengan mikrofon ini, pengguna boleh menggunakannya untuk mengarah pembantu digital seperti Xiao AI untuk melakukan tugas-tugas ringkas. Contohnya mengawal muzik pada peranti, menetapkan peranti kepada mod senyap, mengawal peranti-peranti berhubung di rumah atau juga bertanya soalan kepada Xiao AI mengenai cuaca atau informasi ringkas.

Seperti Mi Band 3 edisi NFC, Mi Band 4 turut terdapat versi NFC mereka. Melalui versi NFC ini, pengguna boleh membuat pembayaran nirtunai atau juga menyahkunci pintu rumah yang menggunakan sistem tombol pintar. Sistem pembayaran ini turut terdapat dalam versi kod QR bagi memudahkan penjual imbas untuk terima pembayaran. Cara pengecasan juga kini semakin mudah, sambungan magnetiknya kini berada di bahagian belakang peranti dan pengguna tidak lagi perlu membukanya dari tali jam untuk mengecas.

Mi Band 4 hadir dengan tiga variasi; Mi Band 4, Mi Band 4 NFC dan juga Mi Band 4 Avengers Edition. Mi Band 4 dijual pada harga RMB169 (~RM101) dan Mi Band 4 NFC dijual pada harga RMB229 (~RM138) sahaja. Versi Avengers adalah sedikit istimewa, kerana pengguna akan menerima plat besi khas dengan logo Avengers, tiga tali jam berbeza edisi Captain America, Iron Man dan Avengers. Yang mana tali jam ini mempunyai warna berbeza dan butang yang melambangkan setiap versi, ia dijual pada harga RMB349 (~RM210) sahaja.

Sumber : Amanz