Amazfit Verge 2 Dilancarkan – Menyokong e-Sim, ECG Dan Harga Bermula Sekitar RM602

Pada hujung bulan Mei, Amazfit telah hadir dengan satu penjejak kesihatan baharu Amazfit Verge Lite. Ia adalah versi ‘murah’ kepada Amazfit Verge yang biasa. Siri Verge ini menggunakan rekaan bulat dan mempunyai sistem tersendiri yang agak baik. Ia bukanlah jam tangan pintar penuh, tetapi adalah penjejak kesihatan yang juga berfungsi sebagai jam tangan.

Hari ini Amazfit telah melancarkan pengganti kepada Amazfit Verge, iaitu Amazfit Verge 2. Kali ini, Amazfit buat pertama kalinya menggelarkan Amazfit Verge 2 ini sebagai sebuah jam tangan pintar penuh dan bukan sahaja sebagai sepasang penjejak kesihatan. Verge 2 mempunyai skrin 1.39″ AMOLED, bahan binaan seramik microcrystalline zirconium dan tampak lebih premium dan elegan. Pada Verge 2, ia menjalankan satu sistem operasi baharu yang tersendiri. Ia mempunyai antaramuka serba baharu, papan pemuka lebih ringkas dan kawalan yang lebih memudahkan.

Apa yang menarik pada Verge 2 adalah, ia turut menyokong panggilan telefon dan Internet 4G melalui sokongan eSIM. Kemudian, seperti Apple Watch Series 4 – Verge 2 turut mempunyai sokongan ECG untuk menyemak kesihatan pengguna dengan data yang lebih jitu. Untuk ECG ini, Amazfit menggunakan cip Huangshan No. 1 AI yang turut boleh mengimbas nadi 24-jam yang lebih jitu, data penskrinan PPG dan ECG dalam masa nyata. Menjanakan Verge 2 adalah cip yang sedikit lapuk, iaitu Qualcomm Snapdragon 2500 dan dipadankan pula dengan RAM hanya 512MB dan storan 4GB. Bateri ja hanyalah 420mAh dengan ketahanan melebihi satu hari.

Amazfit turut bekerjasama dengan Tencent untuk menyertakan kemampuan penstriman muzik dan penggunaan aplikasi media sosial QQ. Verge 2 turut mempunyai sokongan NFC untuk pembayaran nirtunai dan juga kemampuan kawalan suara melalui Xiao AI. Terdapat tiga variasi Verge 2 iaitu; Verge 2, Verge 2 Avengers Edition dan juga Verge 2 ECG Edition. Harga jualan adalah seperti berikut; RMB999 (~RM602), RMB1499 (~RM903) dan juga RMB1299 (~RM783).

Sumber : Amanz