(Video) Lelaki jerut, gantung kucing sampai mati

Seekor kucing ditemui mati tergantung selepas dijerut oleh seorang lelaki yang tidak berperikemanusiaan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 petang semalam di tangga blok pangsapuri Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pemilik haiwan peliharaan itu, Asrul, 40-an, berkata, dia menemui bangkai kucing itu di depan pagar rumahnya dalam keadaan mulut berbuih pada jam 2.30 petang. 
Asrul pada awalnya menyangka kucing itu mati akibat racun sebelum ditanam di belakang rumah. Tetapi tampil seorang jirannya memaklumkan bahawa dia terdahulu menemui bangkai kucing itu dalam keadaan tergantung dengan tali di tangga depan rumahnya, lalu diambil dan diletakkan di depan rumah Asrul.
“Jiran memaklumkan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memegang kucing sebelum mengikat leher haiwan itu dengan tali dan menggantungnya di tangga. 
“Saya lihat rakaman itu. Percubaan kali pertama dia mengikat leher kucing gegal sebelum dia mengejarnya dan mengikat kali kedua sehingga mati dijerut,” katanya. 
Difahamkan, itu adalah kejadian yang pertama kali berlaku di kawasan pangsapuri itu dan lelaki dalam video tersebut dipercayai bukan penghuni di kawasan itu. 
Asrul mengesyaki lelaki terbabit adalah orang luar yang sengaja membuat onar di kawasan kediamannya itu. 
Ekoran kejadian itu, Asrul telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju jam 2 pagi Selasa untuk tindakan lanjut. 
Timbalan Ketua polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Muhammad Najib Hamzah mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh Asrul dan pihaknya sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro

Sumber : TheReporter