Aplikasi iCloud Untuk Windows Kini Ditawarkan Melalui Microsoft Store

Microsoft pada hari ini telah mengumumkan bahawa aplikasi storan awanan iCloud kini telah tersedia pada halaman Microsoft Store. Ia merupakan aplikasi yang sama seperti yang ditawarkan pada laman web Apple, namun kini dipermudahkan dari segi muat-turun dan kemaskini.

iCloud versi Microsoft Store ini tidak lagi akan mengeluarkan sebarang tetingkap kecil untuk mengemaskininya, kerana kesemuanya akan digalas melalui kemaskini di belakang tabir.

Dengan pemasangan iCloud pada Windows, anda dapat menikmati iCloud Drive pada File Explorer, sekaligus memudahkan anda menguruskan fail antara storan dan peranti. Anda juga boleh memilih fail dan folder yang yang ingin disimpan di PC, bagi memudahkan anda mengaksesnya ketika di luar talian.

Selain kemudahan penyimpanan fail, iCloud untuk Windows juga membenarkan anda melihat jumlah storan yang tersedia pada akaun anda. Anda turut boleh mengubah tetapan penyelarian fail pada Photos, Mail, dan Bookmarks terus melalui aplikasi ini.

Aplikasi iCloud untuk Windows telah sedia dimuat-turun bermula hari ini untuk memudahkan pengurusan fail di luar peranti Apple. Namun begitu, ia memerlukan kemaskini Windows 10 May 2019 yang terkini dalam membolehkan aplikasi ini terpasang pada PC anda.

Muat-turun: iCloud untuk Windows

Sumber : Amanz