Rumah Anda Banyak Nyamuk? Mungkin Anda Perlu Bela Pepatung, Ini Sebabnya

Jika anda tinggal di kawasan perkampungan terutamanya di kawasan berair tenang seperti sawah dan tasik, pasti anda sudah terbiasa dengan serangga bernama pepatung.

Perasan tak, serangga ini sering bermain-main di permukaan air? Bagi yang belum tahu, serangga ini akan bertelur di dalam atau berhampiran kawasan berair. Menariknya, ia hanya akan memilih kawasan air tawar yang bersih sahaja untuk bertelur sekaligus menandakan sumber air tersebut selamat untuk digunakan.

Nimfa yang lahir daripada penetasan telur pepatung mampu bernafas di dalam air dan akan menangkap organisma akuatik berbahaya seperti larva nyamuk.

Sebahagian besar hayat pepatung ialah dalam bentuk nimfa. (Gambar: NParks)

Fasa ini akan berterusan sehingga empat hingga lima tahun di mana anak pepatung akan terus hidup dalam bentuk nimfa dan tinggal di dalam air sebelum menjadi pepatung dewasa. Pepatung dewasa pula hanya mampu hidup selama kira-kira dua bulan sebelum mati.

Pepatung dewasa

Walaupun mempunyai jangka hayat yang singkat sebagai pepatung dewasa, serangga ini memainkan peranan yang besar dalam mengimbangkan ekosistem.

Di samping matanya yang besar untuk memburu serangga terbang yang lain, pepatung menggunakan enam kakinya untuk menyambar dan makan serangga tersebut di udara. Atas sebab ini, pepatung membantu para petani dan tukang kebun untuk mengurangkan penggunaan racun serangga bagi membunuh nyamuk dan serangga perosak lain.

Gambar hiasan.

Selain itu, penyakit yang dibawa oleh nyamuk dan lalat seperti malaria, demam denggi dan tularemia dapat diperangi dengan melepaskan sejumlah besar pepatung ke kawasan yang dilanda penyakit berkenaan. Walaubagaimanapun, pepatung mungkin turut menjadikan spesies lain yang bermanfaat sebagai makanan mereka.

Para penyelidik turut menggunakan pepatung sebagai indikator ekologikal bagi memantau taraf kesihatan ekosistem sesuatu kawasan. Pengurangan kuantiti serangga tersebut menandakan terjejasnya taraf kesihatan ekosistem air di kawasan tersebut.

Sumber: Sciencing, Dragonfly-site.com

Sumber : SiakapKeli